LETUPAN besar tercetus di pusat ibu kota Istanbul pada 4:30 petang waktu tempatan, Ahad. Sejumlah besar pasukan tindakan kecemasan telah digegaskan ke tempat kejadian di Jalan Istiklal berdekatan Taksim Square, Istanbul. Gambar di tempat kejadian mendedahkan cebisan badan terdampar di serata tempat. Naib Presiden Turki, Fuat Oktay berkata letupan itu dipercayai adalah serangan pengganas yang didalangi seorang wanita. "Kami mengesyaki ia adalah serangan pengganas dijalankan oleh seorang wanita yang meletupkan bom terbabit," katanya. Oktay mengesahkan enam mangsa telah terkorban manakala lagi 81 mangsa cedera. Walaupun begitu, angka tersebut dijangka akan meningkat semalaman. Presiden Turki, Racep Tayyip Erdogan berkata mereka yang menjadi dalang kepada serangan itu akan dibawa ke muka pengadilan. "Kami tidak akan tunduk kepada tuntutan pengganas. "Rakyat Turki diberikan kepastian mereka yang bertanggungjawab di sebalik serangan itu akan mendapat balasan yang setimpal," ujar Erdogan sebagai respons kepada serangan itu. - The Sun Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI