suria

Hiba anak kembali ke pangkuan keluarga, 25 tahun lalu lari dari rumah kerana takut bersunat

Agus (baju biru) pulang ke pangkuan keluarga selepas 25 tahun menghilang. -foto istimewa

SEORANG pemuda akhirnya kembali ke pangkuan keluarganya setelah hilang selama 25 tahun.

Agus Samadi Eko Lelono yang berasal dari Klaten, Jawa Tengah, Indonesia lari dari rumah 25 tahun lalu gara-gara takut untuk berkhatan.

Dia yang ketika itu sedang belajar di kelas 2 Sekolah Dasar lari bersama jirannya yang mengalami gangguan mental.

Memetik TribunSolo.com, keberadaan Agus pada mulanya dikesan dari akaun YouTube Sinyo Official.

Menerusi satu video, Agus dirakam sedang berada di Pasar Kepek, Bantul, Yogyakarta.

Kebetulan, ada jiran yang melihat video tersebut dan terus memberitahu abang Agus, Damar Wulanto, 47.

Damar terus memeriksa ciri dan fizikal individu tersebut dan tidak menolak dia adalah adiknya yang hilang 25 tahun lalu.

Damar mengenali adiknya yang kini berusia 38 tahun itu dari parut luka di kepala dan kaki kanan.

"Mula-mula tak sangka setelah diteliti ciri-ciri luka sama, dan gerak-geriknya sama seperti dulu, ya benar itu adik saya," katanya, Rabu.

pulang

Amini menangis kegembiraan bertemu semula anaknya selepas 25 tahun berpisah. -foto Tribunsolo

Damar berkata, selama 25 tahun dia dan keluarganya mencari Agus.

Malah, Damar juga pernah berhenti sekolah selama satu tahun demi mencari adiknya itu.

Dia berusaha mencari Agus bermula dengan Stesen Solo Balapan, Boyolali hingga Yogyakarta tetapi gagal.

"Pernah buat hebahan di radio dan sebar gambarnya pada masa itu," katanya.

Setelah 25 tahun berlalu, Agus kini bertubuh tinggi dan tegap akhirnya pulang dan bersatu kembali dengan keluarganya.

Suasana pilu dapat dirasai di kediaman ibu Agus, Amini yang berusia 67 tahun.

Amini, ibu kepada tiga anak pengsan tidak lama sebelum pertemuannya dengan Agus dan menangis apabila melihatnya anaknya pulang.

Jiran dan penduduk sekitar juga teruja menyambut Agus pulang.

Amini berkata anak lelakinya itu 'lari' ketika mahu disunatkan bersama kanak-kanak lain di kampung itu.

Dengan kepulangan Agus, Amini berkata dia dan keluarga sangat gembira apatah lagi pemuda itu nampak sihat.

"Alhamdulillah sangat gembira, anak saya sihat. Tak sangka dia akan pulang," kata Amini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan