SEORANG tukang cuci di Stadium DRV PNK Inter Miami telah dipecat selepas didapati melanggar peraturan kelab kerana meminta tandatangan Lionel Messi. Cristian Salamanca, lelaki yang berasal dari Colombia bekerja untuk sebuah syarikat yang mendapat kontrak membersihkan tempat untuk pelbagai acara sukan dan muzik. Pada Rabu lalu, dia telah ditugaskan untuk membersihkan kawasan berhampiran di mana kedua-dua pasukan, Inter Miami dan Orlando City, dijangka tiba sebelum sepak mula di arena Fort Lauderdale. Menghidu peluang untuk bertemu idolanya, Salamanca sudah siap sedia memakai jersi pasukan Argentina di sebalik pakaian seragam kerjanya. "Nasib baik, saya berada di luar ketika bas tiba dan semua pemain keluar. Yang terakhir ialah Messi. "Saya menjerit kepadanya. Hei, juara dunia. Dia (Messi) menoleh untuk melihat. Saya mengangkat baju seragam saya. Saya telah menunjukkan baju pasukan Argentina dan pen. "Dia memberi saya autografnya. Pasukan keselamatan datang serta-merta. Mereka membawa saya keluar dan memecat saya tetapi ia masih berbaloi setiap saat!" katanya. Untuk makluman, kelab bola sepak tersebut melarang pekerja mengganggu bintang pasukan sama ada meminta tandatangan atau bergambar semasa bekerja. Selepas Salamanca dipecat, dia terpaksa mendapatkan bantuan isterinya yang bekerja di dalam stadium supaya mengambil barang-barangnya. -Mirror Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube