suria

Lagi wartawan terkorban ketika buat liputan di Gaza, topi ikonik ‘press’ diletak pada jenazah sebagai penghormatan

Jenazah Mohammed Subh dan Saeed al-Taweel yang sudah dikafankan selepas terbunuh pada Selasa. -Gambar Arafat Barbakh/Reuters

SEKURANG-KURANGNYA enam wartawan Palestin telah terbunuh dalam tempoh beberapa hari, di tengah-tengah serangan berterusan Israel ke atas Gaza, demikian menurut rangkaian media dan pemantau kebebasan akhbar.

Dalam perkembangan terbaharu, wartawan Saeed Al-Taweel, ketua pengarang laman web Al-Khamsa News, dan dua lagi wartawan terkorban pada Selasa ketika merakam sebuah bangunan yang dijangka menjadi sasaran Israel.

"Malangnya, mereka telah menghantar notis amaran kepada bangunan Hiji tadi bahawa ia akan dibom," demikian kata-kata terakhir Al-Taweel sejurus sebelum terkorban, menurut rakaman yang diperoleh oleh Al Jazeera.

Al-Taweel, Mohammed Subh dan Hisham Alnwajha difahamkan berdiri pada jarak yang selamat, ratusan meter dari sasaran yang dinyatakan.

Bagaimanapun serangan udara mengenai bangunan yang berbeza, iaitu lebih dekat dengan mereka.

Ketiga-tiganya memakai jaket dan topi keledar yang jelas tertulis 'Press' (petugas media).

Pengebumian untuk Subh dan al-Taweel telah diadakan beberapa jam kemudian di sebuah hospital di Gaza.

Sebagai penghormatan, topi keledar ikonik yang dipakai oleh petugas media diletakkan pada jenazah mereka yang sudah dikafankan. -AlJazeera

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain