suria

Tak puas hati nama gugur dari harta lebih RM25.7 juta... 10 anak buah failkan tuntutan, dakwa ibu saudara diperdaya penjaga

Harta kebiasaannya diwarisi oleh ahli keluarga. -Gambar hiasan

KISAH pewaris harta bukan dalam kalangan ahli keluarga bukanlah perkara baharu.

Terkini seorang wanita di Itali Maria Malfatti, bertindak menyerahkan keseluruhan harta yang dimiliki kepada penjaganya yang berketurunan Albania sekali gus mengetepikan 10 anak saudaranya yang mengharapkan warisan aset tersebut.

Tindakannya itu berikutan dia tidak pernah berkahwin mahupun mempunyai anak untuk mewariskan harta keluarga.

Susulan wasiat dibacakan, kesemua anak saudaranya terkejut dan meluahkan rasa tidak puas hati seterusnya menghubungi peguam serta memfailkan kes untuk membekukan harta Malfatti.

Malah mereka mendakwa mendiang telah hilang akal akibat usia tua sehingga diambil kesempatan oleh penjaga Albania tersebut.

Seorang hakim bersetuju untuk membekukan semua aset memandangkan risiko untuk dijual adalah terlalu besar, sementara siasatan menjelaskan keadaan.

Terdahulu, wanita ini meninggal dunia pada November tahun lalu pada usianya 80 tahun.

Difahamkan kekayaannya direkodkan sebanyak €5 juta (RM25,702,383) berikutan dia adalah keturunan salah satu keluarga paling terkenal di Rovereto, sebuah bandar di wilayah Trento di Itali.

Keturunan Valeriano Malfatti, bekas datuk bandar Rovereto dan naib presiden Parlimen Vienna, wanita itu memiliki beberapa aset berharga, termasuk beberapa pangsapuri, bangunan bersejarah di pusat bandar, serta sejumlah besar wang yang disimpan dalam akaun bank. - Oddity Central

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain