suria

Wanita rugi RM66,000, pengantin lelaki tak muncul majlis kahwin

Segala persiapan majlis perkahwinan sudah dibuat sepenuhnya. Foto FB คลิปเด่นเป็นเรื่อง

SEORANG pengantin perempuan menyaman bakal suaminya kerana tidak muncul pada hari perkahwinan mereka.

Pengantin lelaki dilaporkan gagal muncul di hari perkahwinan pada 11 Mac lalu, walaupun segala persiapan sudah dilakukan sepenuhnya.

Sebaliknya, pengantin lelaki menafikan tuduhan tersebut dan mendakwa keluarga bakal isterinya mengancam untuk membunuhnya.

Susulan itu, Nack, 34, membuat laporan polis terhadap bakal suaminya, Ton, berusia 33 tahun.

Kejadian berlaku di wilayah selatan Nakhon Si Thammarat di Thailand.

Tindakan itu menyebabkan wanita berkenaan mengalami kerugian lebih 500,000 baht (RM66,100).

Nack memberitahu Ton sebelum ini bekerja sebagai jurujual, tetapi berhenti kerja untuk membuka kedai cat selepas perkahwinan.

Bagaimanapun ketika Ton menganggur, dia didakwa menggunakan wang Nack untuk perbelanjaan peribadi, meminjam kereta dan motosikalnya, kemudian menggadaikannya untuk mendapatkan wang tunai.

Namun begitu, Nack terus dengan rancangan untuk berkahwin dengan Ton.

Ton mendakwa dia pengsan di bilik mandi sehari sebelum perkahwinan dan terpaksa dikejarkan ke hospital.

Doktor menasihatinya untuk berada di hospital kerana kecederaan kakinya, tetapi Ton berkeras untuk keluar bagi menghadiri perkahwinannya. Doktor membenarkannya keluar keesokan hari.

Semasa Ton menerima rawatan, ahli keluarga Nack datang ke hospital dan didakwa mengancam untuk membunuhnya dan ibunya jika dia tidak menghadiri majlis perkahwinannya.

Ton bersama ibunya kemudian membuat laporan polis.

Pada masa ini, polis masih belum memberikan butiran lanjut mengenai prosiding undang-undang, dan bakal pengantin perempuan itu juga tidak membuat sebarang kenyataan lanjut.

Dalam pada itu, Ton mengakui dia sebelum ini pernah membatalkan perkahwinan dengan wanita lain, tetapi menjelaskan bahawa dia terpaksa berbuat demikian kerana mendapati wanita itu tidak setia dan menjalin hubungan dengan seorang rakan rapatnya. -Agensi

 

 

Artikel Lain