Tidak mahu kelihatan dengan imej yang membosankan, Farish hadir dengan sepasang sut berwarna biru gelap koleksi peribadinya yang dibeli di H&M. Busana itu ternyata menyerlahkan penampilannya pada malam anugerah tersebut.
Tidak lari daripada tema itu, menurut Farish Black tie merujuk kepada kod pakaian khusus untuk majlis semi-formal yang berlangsung pada sebelah malam.
"Orang selalu fikir Black Tie kena pakai sut atau pakaian berwarna gelap, ia tidak sebenarnya kerana warna biru gelap juga masih termasuk dalam tema Black Tie.
"Oleh itu saya pilih warna biru gelap ini supaya warna ini lebih menonjolkan diri saya sebenar dan pada saya ia sesuai dengan majlis ini," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Farish turut memberi suntikan kreatif dengan menyuaipadankan boh tie berwarna biru dan sapu tangan dengan tema warna sedondon koleksi peribadinya.
Jelas Farish, dia lebih gemar mengayakan boh tie berbanding tie biasa yang dilihat seperti terlalu formal dan kurang sesuai untuk acara hiburan.
"Saya suka pakai boh tie berbanding tie biasa dan saya banyak koleksi boh tie untuk majlis-majlis tertentu. Bagi majlis Anugerah Lawak Warna 2014 ini saya pilih warna sedondon dengan baju.
"Bagi saya pakai boh tie ini lebih nampak kemas dan santai jika dibandingkan tie yang nampak seperti mahu ke pejabat," ujarnya.
Bagi melengkapkan penampilan malam Jumaat lalu itu, Farish menyarungkan kasut kulit berwarna coklat bersesuaian dengan sut biru gelapnya.
Pemerhatian penulis, Farish seorang yang bijak menyuai padan dan memberi penampilannya terbaik untuk hadir ke majlis hiburan.