suria

SPRM Perlu Diperkasa Bagi Memerangi Rasuah Secara Total - JKMR

JAWATANKUASA Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yakin keberkesanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meningkat sekiranya segala cadangan pindaan undang-undang dapat dipertimbang dan dilaksanakan kerajaan.

Pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, SPRM perlu diberi peruntukan secukupnya sekiranya diperlukan bagi membolehkan usaha operasi tangkapan dan pendakwaan dapat dipertingkatkan.

"Kalau ada kelompong (dalam Akta SPRM), ia wajar dikaji dan dibawa ke Parlimen, perlu dipinda.

"Tindakan tegas dan proaktif SPRM ini juga dapat dilihat melalui operasi melibatkan agensi penguatkuasaan yang secara langsung dapat menyelamatkan hasil negara daripada ketirisan dan menjamin  ketenteraman awam," katanya yang menganggap usaha sedemikian perlu dipergiatkan lagi.

Dalam pertemuan baru-baru ini, Abu Zahar yang juga Yang Dipertua Dewan Negara menambah: "Mungkin wajar diwujudkan undang-undang yang baharu."

JKMR adalah salah satu daripada lima badan bebas yang memantau perjalanan SPRM telah mengemukakan Laporan Tahunan JKMR 2013 kepada Dewan Rakyat pada 26 November 2014, manakala kepada Dewan Negara pada 4 Disember 2014, selaras terma rujukan JKMR. Laporan ini juga  dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Laporan Tahunan 2013 disediakan dengan meneliti Laporan Tahunan SPRM 2013 dan Ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah yang turut memantau perjalanan SPRM.

JKMR, yang dianggotai Ahli Parlimen dari semua parti politik, memuji tindakan tegas dan proaktif SPRM dalam usaha berterusan memerangi rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa melalui strategi penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan. Ini dapat dilihat menerusi peningkatkan kadar sabitan dan kemajuan kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah(CPI).

Ia dibentuk melalui Seksyen 14 Akta SPRM 2009 dan antara fungsinya adalah menasihati Perdana Menteri mengenai aspek masalah rasuah di Malaysia dan menyediakan laporan tahunan mengenai penunaian fungsinya kepada Perdana Menteri yang akan kemudiannya membentangkan laporan itu di Parlimen.

Tindakan tegas dan proaktif SPRM ini juga dapat dilihat melalui usaha operasi tangkapan dan pendakwaan baru-baru ini – Ops Kastam, Ops Tukul dan Ops Belot - yang melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan.

JKMR juga mengucapkan tahniah kepada SPRM atas pencapaian yang diperolehi melalui inisiatif program transformasi operasi, pengurusan modal insan dan pencegahan, termasuk atas pemilihan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed sebagai Naib Presiden Persatuan Agensi-agensi Pencegahan Rasuah Antarabangsa.

Pada masa sama, SPRM telah memperkukuhkan sistem dan prosedur agensi-agensi kerajaan dengan mengemukakan 427 cadangan penambahbaikan terhadap kelemahan-kelemahan yang dikenal pasti boleh membuka ruang dan peluang rasuah.

Pengiktirafan antarabangsa yang diterima kerajaan khususnya SPRM selaku agensi tunggal pencegahan rasuah di Malaysia, iaitu 23 kejayaan dan amalan baik daripada Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berkenaan Dadah dan Jenayah, harus dipuji.

Selain itu, pengiktirafan Panel Penilaian Antarabangsa (IRP) terhadap pelaksanaan Program Transformasi SPRM yang mempunyai lebih 30 inisiatif setakat ini juga sesuatu yang wajar diberi perhatian.

Namun begitu, usaha perlu dipergiatkan bagi mencegah jenayah rasuah secara lebih menyeluruh dan berkesan dengan merangka perancangan proaktif supaya pencapaian CPI negara meningkat dengan meminda dan memperkenalkan peruntukan undang-undang baharu.

Kata Abu Zahar, pihaknya berpendirian tegas bahawa sesiapa yang terlibat dalam jenayah rasuah wajar dibawa ke muka pengadilan atau diambil tindakan tegas.

"Maklum sahaja, persepsi orang ramai, masih ada yang masih belum puas hati, kononnya pendakwaan secara selektif. Bagi peluang kepada kerajaan, juga kepada kami semua untuk membuktian bahawa apa yang kita cakapkan itu, kita akan kotakan," katanya.

Malah katanya, semua pihak termasuk kerajaan dan SPRM perlu menukar cara bertindak sekiranya mahu meningkat ke kedudukan 30 teratas dalam CPI.

"Maka wajarlah kita mengubah cara kita bertindak. Kalau boleh dalam kedudukan 30, yang teratas," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai, agensi kerjaaan dan semua termasuk media juga memainkan peranan, memberi maklumat kepada rakyat.

"Sekarang kami mahu bertindak, pastikan objektif bisnes kita ini berjaya dilaksakan. Kita perlu ke depan, dengan semangat sebenar demi generasi akan datang," katanya lagi.



Fakta:

Cadangan JKMR 2013:
- Mewajibkan tapisan SPRM sebagai salah satu kriteria pelantikan anggota pentadbiran dan Pengerusi GLC
- Penubuhan entiti pemantau PDRM seperti mana Jawatankuasa Aduan SPRM sebagai mekanisme check and balance.
- Pindaan undang-undang yang baharu untuk membanteras sindiket perjudian tanpa lesen dan gejala maksiat.
- Isu pencerobohan tanah secara haram – pembentukan Jawatankuasa Khas oleh Kerajaan wajar dianggotai oleh SPRM

Cadangan JKMR 2012:
- Pindaan Seksyen 23 dan Seksyen 36 Akta SPRM 2009
- Mewujudkan peruntukan ‘corporate liability’ dan ‘misconduct in public office’
- Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah
- Pelaksanaan ‘cooling off period’ atau tempoh bertenang bagi penjawat awam yang bersara dari perkhidmatan, daripada dilantik oleh mana-mana pihak.
SPRM, Abu Zahar Ujang, JKMR

Artikel Lain