suria

Yayasan Raja Muda Selangor Didik Remaja Berbakat Jadi Cemerlang

Muhammad Syazwan Shawaluddin (kanan) bersama mentornya, Yogi B. Gambar Ihsan Yayasan Raja Muda Selangor.

SHAH ALAM: Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) yang ditubuhkan 15 tahun lalu berlandaskan matlamat untuk membantu golongan remaja dengan kemahiran yang terpendam kini telah bersedia megenengahkan bakat-bakat baru yang berpotensi berjaya pada masa depan.

Yayasan ini yang ditubuhkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika baginda masih lagi bergelar raja muda Selangor telah mengenalpasti bakat-bakat terpendam ini menerusi beberapa program yang dijalankan sejak 2006.

Antaranya ialah ‘Talent for the World Programme’, ‘Self-Discovery for Young Adults’ Workshop’, Kursus Kemahiran, Program Keusahawanan dan program tambahan  seperti program amal bersama anak yatim.

Salah seorang bakat muda terpendam yang bakal ditonjolkan oleh YRMS menjelang Mei nanti ialah anak muda yang bercita-cita menjadi penyanyi rap bernama Muhammad Syazwan Shawaluddin.

Hasil daripada gilapan YMRS ini, Muhammad Syazwan diharap akan mampu menyerikan lagi Industri hiburan tanah air hasil didikan Yogeswaran atau yang lebih dikenali dengan nama Yogi B. Yogi adalah ahli kumpulan rap popular, Phoetic Emmo.

Pengerusi YRMS, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda memberitahu, Syazwan begitu teruja buat pertama kali berjumpa dengan bintang pujaannya Yogi B pada waktu itu.

“Secara spontan dia mengeluarkan lirik yang dihasilkannya sendiri lalu menunjukkannya  kepada Yogi B dan menyatakan dia mahu menjadi seorang penyanyi rap suatu hari nanti,” cerita beliau ketika ditemui pada majlis ramah mesra dengan media di sini pada Selasa.

Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.

Berdasarkan minat yang mendalam itu, beliau telah meminta Yogi B menjadi mentor buat Shazwan dalam Program ‘Talent For The World’ dan percaya percaturan itu bakal membuahkan hasil.

"Kami akan memperkenalkan Syazwan kepada umum sekitar bulan Mei nanti dan saya berharap masyarakat akan memberi peluang kepadanya," tambah beliau.

Menurutnya, program ini merupakan satu usaha YRMS membantu anak-anak muda atau belia yang kurang bernasib baik dan tidak mempunyai peluang menyambung pelajaran tetapi mempunyai bakat dan kemahiran tertentu yang boleh digilap.

"Kami akan menyediakan tempat dan memberi peluang kepada golongan belia yang masih menganggur dan tidak mempunyai kerja untuk mengikuti kursus kemahiran yang dianjurkan oleh pihak kami," kata beliau lagi.

YRMS juga turut menyediakan kursus kemahiran yang merangkumi latihan teknikal kepada 1,300 belia dari seluruh negara dalam melahirkan lebih ramai lagi anak muda yang berjaya.

Kesemua belia dilatih dengan latihan yang berasaskan kemahiran tanpa mengira bangsa, jantina mahupun agama dan segala maklumat penting belia yang menyertai program ini akan disimpan oleh YRMS melalui sistem 'Tracer Study'.

"Program yang kami jalankan di sini terbukti berjaya apabila belia-belia yang pernah dilatih oleh kami telah memulakan perniagaan mereka sendiri dengan jayanya," tambah beliau.

Selain Shazwan, antara belia yang berjaya digilap menerusi program YRMS ialah Goh Chiu Kuan dan Wong Eng Leong.

Goh Chiu Kuan

Goh Chiu Kuan merupakan seorang anak buruh kasar dan juga penarik beca di Teluk Intan, Perak. Dia mengikuti program ini beberapa tahun lalu dalam bidang seni kreatif yang merangkumi kemahiran pembuatan tembikar, lukisan dan ukiran.

Kesempitan hidup keluarganya menjadi penghalang untuk dia meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi namun disebabkan minat mendalam terhadap bidang seramik, kini dia berjaya mengasah bakatnya dalam bidang itu selepas mendapat bantuan dari YRMS.

Karya seninya telah menerima beberapa pengiktirafan antaranya mewakili Malaysia ke Kem Belia Asean kali ke-4 di Yangon dan Pagan, Myanmar (2002) dan juga telah terpilih untuk menyertai Program Kapal Belia Asia Tenggara-Jepun (2005).

Manakala, bagi  Wong Eng Leong pula, dia merupakan seorang anak kepada pembeli besi buruk terpakai di Kelantan. Wong terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti belajar kerana tidak mampu untuk menampung kos pengajian selepas kematian bapanya.

Wong Eng Leong

Dia menyertai program ini dalam bidang seni kreatif yang merangkumi kemahiran pembuatan tembikar, lukisan dan ukiran beberapa tahun lalu kerana tidak berpeluang untuk meneruskan pengajiannya ketika itu.

Kini hasil karya Wong telah mendapat pengiktirafan di beberapa pameran antaranya Pameran Lukisan di Galeri MIA pada tahun 2000, Pameran Pemasangan dan Eksperimen di Galeri MIA (2001), Pameran Sonneratia di Balai Seni Lukis Negara (2002), Pameran Anugerah Seni Nokia di Galeri Seni Ramsay Ong (2003) dan Pameran ‘Talent For The World’ di Balai Seni Lukis Negara (2005). 





Artikel Berikut

Artikel Lain