RAMAI pembaca menurunkan komen susulan laporan dalam beberapa portal online berhubung kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkenaan siasatan terhadap isteri Perdana Menteri yang dikaitkan dengan pembelian sebentuk cincin. Reaksi dibuat menunjukkan ramai 'sayang' terhadap SPRM dan mahu memerangi isu rasuah. SPRM melihat ada keperluan untuk menjelaskan fungsi dan perjalanan SPRM yang sentiasa bertindak secara bebas dan profesional. Tahun ini, SPRM meletakkan pendekatan 'Merakyatkan SPRM' sebagai strategi memenuhi harapan rakyat. Justeru, pelbagai stakeholder ditemui dari semasa ke semasa. Ini termasuklah wakil rakyat dan parti politik di peringkat nasional dan negeri. Minggu lalu, SPRM telah mengadakan pertemuan dengan PAS dan DAP. Pertemuan dengan parti-parti lain akan menyusul. Begitu juga di perigkat negeri. Pada 14 April 2015, Sabah telah mencipta sejarah apabila buat kali pertama kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) - parti yang memerintah dan pembangkang, hadir pada majlis yang sama dan menandatangani ikrar integriti. Ia susulan kepada tindakan 10 wakil rakyat Sabah, masing-masing lima Ahli Parlimen dan lima ADUN, telah menandatangani akujanji Komitmen Kerjasama dan Sokongan Pencegahan Rasuah, pada 8 Mac lalu. Langkah ADUN Sabah telah mencipta satu peristiwa bersejarah dalam sektor politik dan misi pencegahan rasuah di Malaysia. Sabah merupakan negeri pertama di mana wakil rakyat kedua-dua parti yang memerintah dan pembangkang menandatangani akujanji pada majlis yang sama. Musa (dua dari kanan) menyerahkan ikrar yang ditandatanganinya kepada Abu Kassim. Lebih-lebih lagi di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN), ketika sidang DUN sedang berlangsung. Majlis 14 April 2015 adalah satu perubahan penting. Usaha mencegah rasuah memerlukan kerjasama dan sokongan semua pihak tidak kira kedudukan dan pangkat. Rasuah merupakan musuh semua. Tidak kira kedudukan dan parti. Sehubungan itu, Ketua Pesuruhjaya telah meminta agar semua pihak memberi sokongan padu. Beliau meminta ahli-ahli politik meletakkan kepercayaan ke atas SPRM sebagai suruhanjaya bebas. SPRM hanya boleh menyiasat setiap kes yang ada unsur rasuah mengikut semangat Akta SPRM 2009. SPRM menjalankan kerja-kerja siasatan atas prinsip telus, bebas dan profesional tidak kira siapa individu terbabit. Tiada kes yang SPRM tidak siasat jika membabitkan unsur rasuah. SPRM pernah siasat kes cincin yang didakwa dibeli oleh isteri Perdana Menteri. SPRM pernah siasat Tan Sri Khalid Ibrahim dan Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, masing-masing mantan Menteri Besar Selangor dan Kelantan. Ini menunjukkan siasatan merentasi taraf dan status seseorang. Apabila berbicara di hadapan ADUN Sabah pada 14 April 2015, Abu Kassim menjadikan contoh siasatan berkenaan isu cincin bagi menunjukkan SPRM sebuah suruhanjaya yang bebas. SPRM tidak pilih bulu. Contoh itu bukan bertujuan membangkitkan cerita lama. Ia membuktikan SPRM menjalankan fungsinya dengan bebas seperti termaktub dalam Akta SPRM. Tetapi, tidak semua kes berakhir dengan tuduhan di mahkamah. SPRM perlu diperkasakan. Bagi menjadikan SPRM lebih bebas dan berkesan sebagaimana diharapkan oleh orang ramai, sebagaimana dizahirkan dalam komen pembaca dalam portal, Abu Kassim juga telah meminta wakil rakyat khususnya Ahli Parlimen menyokong usaha mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai SPRM dan soal pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM. Ia memerlukan sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat. Ikrar yang ditandatangani ADUN baru-baru ini bertujuan meningkatkan keyakinan dan kesanggupan ahli politik untuk bersama-sama SPRM dalam menolak jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. Ia permulaan yang baik. SPRM mahu menjadikan pemimpin politik sebagai ikon membanteras rasuah di mata masyarakat. SPRM gembira dengan sokongan dan kerjasama yang telah diterima setakat ini – di Sabah, Sarawak, di peringkat negeru dan pusat. Melaka juga menyatakan pendirian mahu ADUN mereka mengambil langkah yang sama. Malah, ia juga menandakan bahawa budaya integriti sudah mula diterima oleh pelbagai pihak. Ini petanda positif. Wakil rakyat menjadi contoh kepada yang lain - masyarakat, pengundi mereka. Jika amalan ini berterusan, SPRM yakin boleh berjaya dalam usaha mencegah rasuah dan memperbaiki persepsi negatif rakyat dalam jangka panjang. Usaha memerangi rasuah memerlukan kerjasama setiap anggota masyarakat. SPRM yakin kesemua 222 Ahli Parlimen dan lebih 500 ADUN akan menandatangani Ikrar Integriti satu hari nanti. SPRM berharap setiap Ahli Parlimen akan menyokong pindaan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan bagi memperkasakan SPRM. Komitmen SPRM: Setiap kes yang ada unsur rasuah akan disiasat. Tiada kes yang tidak disiasat. Statusnya dilaporkan kepada Panel Penilaian Operasi, iaitu badan bebas yang memantau perjalanan SPRM. SPRM satu-satunya suruhanjaya dan entiti penguat kuasa di Malaysia dipantau oleh lima badan bebas – hampir 50 ahli, yang terdiri daripada wakil rakyat Barisan Nasional (BN), DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), pemimpin NGO, badan profesional, peguam, akademik dan ahli akademik. Ini satu perbezaan ketara sejak 1 Januari 2009. Kita perlu anggap rasuah 'musuh semua', bukannya menjadikan SPRM sebagai musuh atau menyerang SPRM. Kita perlu meletakkan keyakinan pada sistem dan institusi, serta berusaha mengukuhkan sistem dan institusi sedia ada bagi memerangi rasuah dengan efektif. * ROHAIZAD YAAKOB merupakan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM.