suria

Pesara Kongsi Tips Jimat Cermat

Kuneswari mengambil pelbagai langkah berjimat cermat untuk simpanan hari tua.

KOS kehidupan semakin hari semakin meningkat. Bagi mereka yang sedang menikmati zaman persaraan, menyekat cara perbelanjaan mewah mungkin dilihat sebagai satu-satunya cara untuk menjimatkan duit persaraan mereka.

Satu perkara yang pasti, setiap perbelanjaan akan dikira walaupun anda bertuah memiliki anak-anak yang memberi duit belanja untuk perbelanjaan harian.

Bagi golongan warga emas, satu cara untuk mula menyimpan adalah sentiasa mencari barangan dan perkhidmatan yang mempunyai diskaun.

Seperti Noor Aini Rahim, 67, melakukan langkah itu sejak sekian lama. Pesara yang pernah bertugas sebagai pembantu peribadi itu berkata, dia mampu menyimpan wang yang banyak kerana amalan membeli secara pukal barangan yang tidak mudah rosak dengan harga diskaun.

“Promosi tersebut yang terdapat di pasar raya dihebahkan melalui akhbar setiap hari,” katanya.

Menyediakan hidangan boleh menjadi cabaran apabila anda memasak hanya untuk dua orang. Tetapi perkara itu bukan cabaran bagi Noor Aini.

“Saya hanya memasak sekali sehari sahaja. Saya akan memasak untuk makan tengah hari, dan saya serta suami akan memakan baki hidangan untuk makan malam. Jika memasak makanan yang lebih rumit seperti rendang, saya akan memasaknya secara berlebihan dan menyimpan sebahagian makanan itu di dalam peti ais. Cara ini dapat menjimatkan masa dan wang,” tambahnya.

Sebagai seorang yang suka mengembara, Noor Aini menikmati harga khas bagi golongan warga emas dengan diskaun sebanyak 50 peratus berbanding harga normal.

Contohnya, warga emas berusia 60 tahun ke atas layak menerima diskaun 50 peratus bagi perkhidmatan komuter tanpa mengira destinasi. Namun, mereka perlu memohon kad  keahlian warga emas dengan yuran tahunan RM10 setahun.

“Apabila melancong, jangan menempah tiket penerbangan terlalu awal. Saya pernah melakukannya sekali dan tidak dapat menggunakan tiket yang ditempah kerana sesuatu berlaku pada hari tersebut.

Akhirnya saya terpaksa membayar lebih banyak kos untuk mengubah tarikh perjalanan, Jadi kini saya hanya mencari promosi pada tarikh yang hampir dengan waktu saya ingin melancong,” kongsi Noor Aini.

Bagi menempah hotel, dia menggunakan cara berguna dengan membuat perbezaan harga antara laman web Agoda.com dan Booking.com. Sebagai jalan selamat, Noor Aini memilih hotel yang tidak mengenakan sebarang caj apabila melakukan tempahan supaya dia tidak perlu mengeluarkan lebih wang jika berlaku perubahan pada saat akhir.

Pesara guru sekolah, Kuneswari Thevathasan, 77, baru-baru ini mengetahui dia boleh memohon kad khas untuk menikmati rebat wang pada setiap bulan daripada stesen minyak terpilih. Realitinya, diskaun tersebut tidak terhad pada golongan warga emas tetapi boleh dinikmati semua orang yang mempunyai kad berkenaan.

“Saya banyak berbelanja untuk membeli makanan dan petrol pada setiap hari. Bil-bil lain diuruskan oleh anak perempuan saya,” kata Kuneswari.

Pesara itu juga menanam sendiri sayur-sayuran di laman rumahnya. Antaranya kacang panjang, terung, daun kari dan serai yang sangat berguna untuk memasak. Kuneswari berkata, hobi seperti berkebun membantu dia untuk mengurangkan perbelanjaan harian.

“Saya tidak selalu keluar rumah. Jika ada pun, saya ke gereja dan di sana saya boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti menari, menghadiri kelas bahasa Mandarin dan Jepun dengan percuma.

Apabila kita semakin tua, aktiviti yang santai sudah memadai,” katanya.

Seorang lagi pesara, Tay Kim Tee bersetuju dengan Kuneswari. Dia menggalakkan golongan warga emas untuk aktif dalam persatuan dan berjumpa kawan-kawan dengan lebih kerap.

“Kita perlu berkomunikasi supaya fikiran kita sentiasa aktif. Saya mengenali ramai pesara yang tidak melakukan apa-apa sepanjang hari dan hanya duduk di depan computer atau bermain mahjong. Keadaan itu tidak bagus,” katanya.

Terdapat banyak cara untuk golongan warga emas menjadi aktif dan tidak memerlukan sebarang kos.

“Anak perempuan saya secara sukarela mengedarkan makanan kepada golongan gelandangan pada waktu malam. Saya fikir aktiviti tersebut sangat bagus untuk golongan warga emas. Jika anda pesara professional, kemahiran anda boleh dikongsikan bersama masyarakat orang asli. Terdapat banyak tugas sukarelawan yang boleh dilakukan,” jelas Kim Tee.

Lelaki berusia 69 tahun itu merupakan Presiden Persatuan Warga Emas Taman Desa. Dia sebelum ini bekerja sebagai penjawat awam dalam sektor landskap.

Selain makan malam, Kim Tee kebiasaannya berkunjung ke restoran yang menawarkan harga makanan murah berdekatan rumahnya. Dia juga gemar berjalan kaki ke kedai tersebut berbanding memandu, bagi menjimatkan petrol dan membuatkan dirinya kekal cergas.

Apabila membeli barangan runcit, Kim Tee akan berkunjung ke pasar raya berdekatan, De Market yang menawarkan diskaun khas antara pukul 8.30 pagi dan 11 pagi.

Bagi perbelanjaan perubatan, Kim Tee menasihati waga emas untuk menggunakan sepenuhnya kemudahan kerajaan bagi memotong kos keseluruhan rawatan.

“Terdapat kaunter khas bagi golongan warga emas mempercepatkan proses rawatan dan hampir kesemunya adalah percuma," katanya.

Bagi mereka yang mengalami masalah jantung, anda boleh merujuk kepada pakar di Institut Jantng Negara (IJN) yang menawarkan harga perubatan lebih murah berbanding hospital swasta.

Jiran Tay, Goh Pai Nyap, 74, menikmati perbelanjaan yang murah bagi perkhidmatan dan perubatan di hospital kerajaan.

“Apabila anda mendapatkan rawatan di hospital swasta, kos rundingan boleh mencecah beratus-ratus ringgit dan tidak ramai warga emas boleh membayarnya. Di hospital kerajaan, anda hanya perlu membayar RM10 sahaja,” kata Pai Nyap, pesara jurutera elektrik.

Bagi menjana wang simpanan, Kim Tee dan Pai Nyap menggunakan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia yang ditawarkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Skim ini bertujuan menggalakan individu yang bekerja sendiri dan golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap, menyimpan secara sukarela mengikut kemampuan masing-masing.

Kim Tee berkata, skim itu beroperasi seperti akaun simpanan bank yang mempunyai kadar faedah tinggi.

“Anda boleh memasukkan deposit sehingga RM60,000 dan menikmati kadar faedah sehingga 6.75 peratus pada setiap tahun. Bagi warga emas, anda boleh mengeluarkan wang tersebut sekali bagi setiap 30 hari. Skim ini sangat bagus untuk golongan warga emas,” katanya.

Pai Nyap berkata, individu yang menghampiri usia 55 tahun perlu merancang untuk menyimpan duit dalam akaun KWSP bagi menikmat kadar faedah yang tinggi.

“Ramai orang berfikir mereka perlu mengeluarkan duit KWSP apabila berusia 55 tahun tetapi tindakan tersebut tidak tepat. Anda perlu merancang dengan lebih bijak dan mengeluarkan wang bagi menampung bagi menampung keperluan dan menyimpan sedkit wang bagi menikmati keuntungan.”

Satu lagi nasihat yang baik untuk warga emas? “Hidup mengikut kemampuan. 

“Jangan cuba menunjuk-nunjuk. Jika tidak mampu, jangan lakukannya," kata Kim Tee.

Noor Aini Rahim, IJN, De Market

Artikel Lain