suria

Lebih 260,000 Rakyat Dikecualikan Cukai

KUALA LUMPUR: Lebih 260,000 rakyat akan dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan berikutan pengurangan dua mata peratusan dalam kadar cukai individu bagi mereka yang berpendapatan antara RM20,000 dan RM70,000.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemotongan tersebut pada Bajet 2018 dalam usaha membantu keluarga berpendapatan sederhana meningkatkan pendapatan boleh guna mereka.

Pengurangan tersebut akan memberikan manfaat kepada sebahagian besar kumpulan M40 dengan pendapatan isi rumah antara RM3,000 dan RM8,300 sebulan.

Jumlahnya akan diterjemahkan kepada simpanan antara RM300 dan RM1,000 bagi mereka yang berpendapatan rendah dalam kumpulan pendapatan bercukai.

Sehubungan itu, seramai 260,000 individu dijangka dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan.

Pakar ekonomi percaya bahawa wang tambahan yang ada akan membantu mengekalkan taraf hidup dan menaikkan pendapatan boleh guna kelas pertengahan.

Wang tunai tambahan juga bermaksud peningkatan dalam penggunaan persendirian yang akan membantu ekonomi negara.

"Potongan cukai pendapatan akan meningkatkan pendapatan boleh guna bagi kumpulan M40.

"Jadi, itu adalah antara manfaat yang diharapkan untuk golongan berpendapatan sederhana," kata pakar ekonomi dari Sekolah Perniagaan Universiti Sunway, Prof Dr Yeah Kim Leng.

Beliau berkata ia akan membantu menangani kos sara hidup yang tinggi di kawasan bandar.

Potongan cukai dua mata peratusan itu mungkin tidak mencukupi tetapi ia masih dapat memberikan lebihan wang tunai kepada banyak isi rumah yang berdepan peningkatan kos sara hidup, terutamanya bagi mereka yang tingal di bandar.

Noriani Hafiz, seorang kerani di Klang, berkata dia berterima kasih kepada kerajaan di atas potongan cukai tersebut dan menganggarkan akan memperoleh lebihan tunai RM300 berdasarkan pendapatannya sebanyak RM35,000 setahun.

Pasaraya Mydin adalah antara pusat tumpuan golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk membeli pelbarangan isi rumah.

Walaupun dia tidak berasa perbezaan yang ketara, dia masih menganggap ia sangat bermakna kerana dapat menyelamatkan wang lebihan untuk anak perempuannya atau membeli sesuatu untuk isi rumah.

Dia berkata, pelepasan cukai RM1,000 untuk yuran penjagaan anak (untuk penilaian tahun 2017) juga membantunya menguruskan perbelanjaan keluarga.

Fan Kam Leong, 27, yang memulakan pekerjaan di sektor swasta adalah antara mereka yang mendapat manfaat daripada potongan cukai.

"Ketika saya memulakan kerjaya dan dengan gaji yang rendah, beberapa ratus ringgit sangat bermakna kepada saya.

"Kerajaan telah melakukan perkara yang betul dengan tidak membebankan golongan berpendapatan rendah.

"Hidup di bandar memerlukan anda mempunyai kereta tetapi dengan MRT yang beroperasi sepenuhnya dan tambang yang berpatutan, saya tidak berhasrat untuk membeli kereta lagi. Jadi, wang tambahan yang saya dapat dari pengurangan cukai boleh diselamatkan," kata Fan, yang tinggal di Kajang dan bekerja di Kuala Lumpur.

Dia yang masih bujang berharap kerajaan dapat mengekalkan kadar cukai untuk jangka masa panjang.

MRT bukan sahaja membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas, malahan menjimatkan perbelanjaan pengangkutan rakyat di Lembah Klang.

Albert Lim, 31, seorang duda, gembira kerana dia akan membayar cukai yang lebih rendah ke atas gaji tahunan RM42,000 yang diperolehinya.

Lim yang memiliki dua anak perempuan berkata, dia kini boleh berbelanja lebih, malah mungkin dapat membawa keluarga pergi bercuti.

"Selepas membayar sewa rumah dan ansurans kereta, tak banyak baki dalam bank.

"Tetapi dengan pengurangan cukai ini, terdapat beberapa ratus ringgit tambahan untuk dibelanjakan atau disimpan. Dan dengan dua anak yang perlu difikirkan, ia banyak membantu," kata eksekutif itu.

Pengurangan dua mata peratusan tersebut akan menambahkan pendapatan tambahan sebanyak RM1.5 bilion yang boleh dibelanjakan oleh rakyat.

Perdana menteri berkata demikian ketika membentangkan bajet pada Oktober tahun lalu dan kerajaan akan terus meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah, serta merapatkan jurang pendapatan di negara ini.

Penganalisis ekonomi berkata, ia adalah satu langkah yang baik kerana jika kerajaan mampu menampungnya, mereka harus mengembalikan semula wang itu ke dalam poket rakyat.

"Rakyat akan mempunyai simpanan dengan adanya pelarasan itu, jadi ia adalah penting bagi mereka," kata pakar ekonomi Lee Heng Guie dari Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi.

Ketua Ekonomi Kumpulan AmBank Anthony Dass pula berkata wang tambahan akan membantu kumpulan M40 mengekalkan taraf hidup mereka.

"Potongan seperti ini akan memberikan wang tambahan kepada mereka walaupun terdapat peratusan kecil daripada mereka yang akan meletakkan wang itu ke dalam simpanan.

"Tetapi, sebahagian besar daripada mereka akan membelanjakannya kerana kecenderungan kecil untuk menggunakannya adalah cukup tinggi; 75 sen daripada seringgit yang diperoleh akan dibelanjakan," katanya memetik laporan sebuah akhbar.

Potongan cukai berkenaan membolehkan mereka yang berpendapatan antara RM20,001 dan RM35,000 setahun melihat penurunan kadar cukai dari lima peratus hingga tiga peratus, sementara yang memperoleh pendapatan antara RM35,001 dan RM50,000 akan turun dari 10 peratus hingga lapan peratus.

Manakala, mereka yang berpendapatan antara RM50,001 dan RM70,000 pula akan membayar sebanyak 14 peratus cukai dan bukannya 16 peratus seperti sekarang.

Kadar cukai tidak berubah bagi mereka yang berada di atas kelompok tersebut.

cukai, Bajet 2018

Artikel Berikut

Artikel Lain