UNIVERSITI Taylor mengekalkan kedudukannya sebagai salah satu pusat pengajian terbaik apabila tersenarai dalam ranking QS World University Rankings by Subject 2019 menerusi program Hospitaliti dan Pengurusan Liburan baru-baru ini. Malah, ia berjaya mendaki tujuh anak tangga untuk tersenarai di ranking ke-14 dunia sekaligus memahat kedudukannya sebagai universiti peneraju di rantau Asia. Timbalan Canselor dan Presiden Universiti Taylor, Profesor Michael Driscoll berkata, pencapaian itu begitu siginifikan dengan perubahan dalam komponen reputasi majikan untuk subjek berkenaan. "Tahun ini, terdapat peningkatan yang sewajarnya daripada segi penilaian majikan terhadap institusi ini. Prestasi kukuh kami memberi bayangan bahawa pelajar kami dinilai oleh pemain industri dan membuktikan pendekatan yang dilaksanakan diterima dengan baik oleh mereka. "Universiti Taylor menerima markah yang tinggi daripada majikan dan reputasi akademik dalam subjek Hospitaliti dan Pengurusan Liburan. "Tugas cemerlang yang dilaksanakan pasukan akademik di pusat pengajian, selain pelaburan yang siginifikan untuk penyelidikan dan kolaborasi dengan lebih 500 rakan hospitaliti menyumbang kepada pencapaian ini. "Kami akan terus memperkukuhkan kedudukan, tidak kira menerusi pendekatan inovatif atau hubungan dengan industri, sekaligus bagi membawa kami selangkah ke hadapan untuk menjadi kuasa yang digeruni dalam disiplin ini di peringkat global," katanya. Profesor Michael Driscoll berpuas hati dengan prestasi cemerlang Universiti Taylor menerusi program Hospitaliti dan Pengurusan Liburan Dekan Eksekutif Fakulti Sains Sosial dan Pengurusan Liburan Universiti Taylor, Dr Neethiahnanthan Ari Ragavan turut berpuas hati dengan peningkatan kedudukan pusat pengajian itu dalam QS World University Rankings by Subject 2019. "Kualiti pendidikan yang ditawarkan di fakulti ini diperkukuh dengan input industri yang membolehkan ia membangunkan subjek atau modul yang membolehkan penuntut berintegrasi dengan suasana persekitaran kerja dengan lebih mudah. "Prestasi bagus ini mustahil untuk dicapai tanpa pihak dari indusri yang menjadi rakan kongsi cemerlang untuk pembangunan program bakat stratergik kami. Usaha sama ini membolehkan penuntut melihat sisi dalam industri untuk menjadi asas masa depan mereka. "Saban tahun, kami berkolaborasi dengan jenama peneraju aspek hospitaliti yang turut menjadi mentor kepada penuntut menerusi beberapa inisiatif. "Antaranya Student Employment Programme (Program Pengambilan Pelajar Bekerja) (STEP) , Future General Manager Programme (Program Pengurus Besar Masa Depan) (GeM) dan ELITE Leadership Porgramme for Tourism & Events (Program Kepimpinan Pelancongan dan Acara). "Program inovatif ini menempatkan pelajar dalam laluan yang pantas ke arah pengambilan kerja dengan majikan terbaik dari industri. "Ia turut menawarkan peluang sekali seumur hidup untuk menjadi sebahagian daripada organisasi global sementara bergelar mahasiswa. "Baru-baru ini kami memulakan projek Hotel Takeover yang mana penuntut kami berjaya menguruskan sebuah hotel yang beroperasi di Kuala Lumpur. "Dengan menyediakan peluang seumpama ini, mereka berupaya meraih dimensi baharu dan menjadikan mereka lebih bersedia untuk bekerja dalam persekitaran global. "Saya ingin berterima kasih kepada semua rakan kolaborasi kami yang percayakan Universiti Taylor. Saya teruja untuk usaha sama pada masa akan datang khususnya untuk generasi pemain industri hotel dan pelancongan," katanya. Taylor turut menjadi universiti pilihan oleh rangkaian hotel seperti Marriot International, Shangri-La Hotels & Resorts, Hilton Worldwide, Kumpulan Mandarin Oriental, Kumpulan Intercontinental Hotels, Starwood Hotels dan Resorts dan Accor Hotels menerusi kerjasama stratergik dalam pembangunan bakat dan kebolehpasaran kerja. Pendekatan yang memperkukuh hubungan dengan industri ini turut diadaptasi di semua pusat pengajian universiti ini, sejajar dengan falsafah Universiti Taylor yang fokus untuk menjadikan penuntut bersiap sedia menghadapi masa depan. Ia dicapai dengan melengkapkan kemahiran untuk membantu pelajar berkembang dalam pengalaman pembelajaran holistik, juga dengan pengetahuan dan kemahiran hidup. Malah, Universiti Taylor juga berjaya memecah masuk dalam subjek Pengajian Perniagaan dan Pengurusan untuk ranking QS 2019. Profesor Driscoll berkata, usaha yang diambil mencerminkan prestasi positif Universiti Taylor khususnya dalam subjek Hospitaliti dan Pengurusan Liburan. Ia turut memperlihatkan bahawa Taylor berjaya mencapai skor tinggi bukan sahaja untuk akademik malah turut cemerlang dalam reputasi untuk majikan. Berdasarkan QS World University Rankings by Subjects 2019, ia telah mengangkat universiti dengan prestasi cemerlang dalam setiap bidang. Malah, QS turut membuat perbandingan mengikut beberapa kunci prestasi yang menjadi petunjuk untuk reputasi akademik, majikan dan penyelidikan.