suria

Air Selangor laksana inisiatif tingkatkan kesedaran pelanggan terhadap langkah penjimatan air

LAPORAN tahunan Panduan Industri Air Malaysia 2017 (MWIG) menyebut, purata penggunaan air di Selangor, termasuk Kuala Lumpur, pada 2017 adalah sekitar 222 liter per kapita sehari (l/k/h).

Angka ini adalah jauh lebih tinggi daripada penggunaan air yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, iaitu 165 l/k/h. Sekiranya purata penggunaan air ini bertambah tahun demi tahun seiring dengan pertambahan jumlah penduduk yang semakin meningkat, kapasiti air terawat yang sedia ada tidak dapat menampung keperluan pelanggan.

Mengambil kira jumlah penduduk Selangor yang dijangka meningkat kepada 10 juta orang pada 2025, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan Unit Konservasi Air bagi memupuk sikap menggunakan air secara berhemat di kalangan pelanggannya.

Air Selangor, operator air pertama di negara yang menubuhkan unit khas ini, telah merangkakan pelbagai program jimat air bersama pengguna domestik, institusi pendidikan, agensi kerajaan, institusi amal, rumah ibadat dan pertubuhan badan bukan kerajaan.

Baru - baru ini, Air Selangor bersama pejabat Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjong Sepat, Borhan Aman Shah telah menganjurkan program jimat air bersama kira-kira 200 orang penduduk Pantai Batu Laut, Tanjong Sepat.

Rekod penggunaan air di kawasan ini menunjukkan purata penggunaan sebanyak 234 l/k/h, satu kadar yang tinggi.

Objektif program ini adalah untuk memberi kesedaran kepada penduduk di Pantai Batu Laut tentang penting dan perlunya menjimatkan air bagi menjamin kelestarian bekalan di masa hadapan.

Penduduk di sini diberikan bidal air secara percuma, iaitu cakera plastik bersaiz syiling 10 sen dengan lima lubang untuk dipasang pada kepala paip dan pancuran yang sesuai.

Pemasangan bidal air ini boleh mengurangkan aliran air daripada pili, sekaligus dapat mengurangkan penggunaan dan pembaziran air. Penerangan mengenai cara penggunaan air secara efisien dan risalah “Tips Jimat Air” turut diberikan kepada penduduk dalam sesi pembentangan dan soal jawab yang dijalankan.

Abdul Aziz Abas dan Noreha Takiran, penduduk di Pantai Batu Laut yang menghadiri program ini berkata, mereka akan lebih berjimat cermat menggunakan air setelah mendengar taklimat pihak Air Selangor.

“Kami tidak terfikir bahawa kami boleh menggunakan semula air cucian sayur untuk menyiram pokok bunga. Sekarang, kami akan lebih berhemat dalam penggunaan air sekeluarga,” katanya.

Penduduk kawasan Tanjong Sepat telah digalakkan untuk memasang dan menggunakan bidet/spray nozzle pada pili-pili air bagi tujuan menyiram pokok dan membasuh kereta. Ini kerana, penggunaan alat jimat air ini di kawasan ini agak rendah berdasarkan kaji selidik yang dijalankan.

Melalui program ini, penggunaan air di Pantai Batu Laut akan dipantau selama 6 bulan bermula 16 Mac 2019 hingga 16 September 2019 yang melibatkan 1,435 akaun. Air Selangor mensasarkan penjimatan.

Air Selangor, Borhan

Artikel Lain