suria

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

Pemandu teksi, Eb Lim mendaftar SKSPS semasa aktiviti promosi di Gurney Drive, Pulau Pinang. Foto ZHAFARAN NASIB/The Star

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

Jika apa-apa berlaku semasa mencari rezeki dan membawa penumpang, apakah jaminan yang mereka ada di kemudian hari?

Oleh itu, pemandu teksi, e-hailing, kereta sewa termasuk bas, seharusnya beringatlah supaya tidak menyesal. Fikir-fikirkan, bukan saja mengenai diri anda, tapi juga keluarga tersayang.

Bagaimanapun, jangan panik kerana Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merangka skim perlindungan keselamatan sosial  kepada anda yang menjalankan pekerjaan sendiri.  

Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) diwujudkan untuk menyediakan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan sebagai permulaan, skim ini diwajibkan ke atas pemandu teksi, e-hailing, kereta sewa  dan  bas sebelum ianya diperluaskan kepada sektor informal yang lain.

Bagi pemandu teksi, Akta ini berkuat kuasa mulai 1 Jun 2017, pemandu e-hailing mulai 1 November 2018, manakala bagi pemandu bas pada 1 Februari 2019.

Ketua Penguatkuasa Perkeso Pulau Pinang, Norlela Aripin (kanan) showing Arikrishnan dan seorang kru 988FM mengenai faedah SKSPS.

Ikuti wawancara bersama Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed mengenai kepentingan dan faedah SKSPS.

1) Aktiviti penguatkuasaan bermula 1 Ogos 2019, bermakna sudah hampir sebulan. Bagaimana dengan maklum balas yang diterima oleh Perkeso?

Perkeso melancarkan Ops Patuh mulai 1 Ogos 2019 bertujuan bagi mengesan pemandu teksi dan e-hailing yang tidak mendaftar dan mencarum dengan Perkeso. 

Sehingga kini, seramai 59,194 pemandu telah mendaftar dan mencarum. Sebelum Perkeso melancarkan Ops Patuh, jumlah pemandu teksi, e-hailing dan bas yang berdaftar hanyalah 31,232 pemandu. 

Ini menunjukkan peningkatan yang ketara dalam jumlah pemandu teksi dan e-hailing yang berdaftar dengan Perkeso sejak Ops Patuh dilancarkan.

2) Daripada 59,194 pemandu itu, berapa ramai pemandu teksi, kereta sewa dan e-hailing?

Daripada jumlah tersebut, 21,639 adalah pemandu teksi manakala 34,067 adalah pemandu e-hailing dan 3,488 pula dalam kalangan pemandu bas.  

Bagaimanapun, jumlah ini hanyalah 16.91 peratus daripada jumlah pemandu teksi, e-hailing dan bas yang dianggarkan berjumlah 350,000 di seluruh negara. Masih ramai lagi pemandu yang mengabaikan tanggungjawab untuk mendaftar dan mencarum dengan Perkeso.

Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

3) Kenapakah sehingga kini masih ada lagi yang tidak mendaftar dan mencarum di bawah akta ini?

Masih ramai lagi pemandu yang tidak mendaftar dengan Perkeso disebabkan kesedaran tentang kepentingan mencarum adalah rendah.  Mereka tidak memikirkan apa akan berlaku kepada mereka dan tanggungan mereka jika kemalangan atau kematian (berkaitan bencana pekerjaan) berlaku.  

Siapa yang akan menanggung perbelanjaan jika ketua isi rumah mengalami kemalangan atau meninggal dunia? Dengan caruman serendah RM13.10 sebulan atau 43 sen sehari, mereka akan mendapat perlindungan di bawah SKSPS yang memperuntukkan lapan jenis faedah.   

4) Apakah faedah-faedah yang dimaksudkan itu?

Faedah-faedah yang disediakan adalah: 

Faedah Perubatan: Perkeso tanggung sepenuhnya kos rawatan perubatan di klinik panel Perkeso atau klinik/hospital kerajaan seandainya pencarum ditimpa bencana kerja.

Faedah Hilang Upaya Sementara: Pencarum menerima bayaran antara RM30 hingga RM105.33 sehari (bergantung kepada pilihan caruman) bagi bayaran cuti sakit akibat bencana kerja.

Faedah Hilang Upaya Kekal: Bayaran berkala atau pukal bergantung kepada  peratusan penilaian hilang upaya.

Faedah Elaun Layanan Sentiasa: Menerima elaun bulanan sebanyak RM500 bagi pencarum yang tidak berdaya dengan teruk sehingga sentiasa memerlukan layanan dari orang lain.

Faedah Orang Tanggungan: Orang tanggungan yang layak akan menerima bayaran secara berkala sepanjang hayat setelah pencarum meninggal dunia akibat bencana kerja. Bagi balu/duda, bayaran tetap akan diterima meskipun setelah berkahwin semula.

Contoh kes 1: 

Pemandu teksi di Lembah Kelang, Nyak Fauzul Abdul Aziz meninggal dunia akibat bencana kerja kira-kira 20 hari selepas mendaftar dan mencarum. Allahyarham mula mencarum sebanyak RM49.40 sebulan (RM592.80 setahun) mulai 4 September 2018. Sehubungan itu, balu, Puan Irawati Zainal Abidin dan 3 anak menerima Faedah Pengurusan Mayat  berjumlah RM2,000 serta Faedah Orang Tanggungan dalam bentuk pencen bulanan sebanyak RM3,555. Anak-anaknya akan terus menerima wang bulanan sehingga berusia 21 tahun atau berkahwin ataupun jika melanjutkan pelajaran, sehingga memperolehi ijazah pertama.

Faedah Pengurusan Mayat: Bayaran RM2,000 dibayar kepada waris 

Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional 

Perkeso menanggung kos rawatan pemulihan seperti fisioterapi, implan dan rawatan hemodialysis. Perkeso turut membekalkan alat pemulihan, menyediakan latihan vokasional serta menawarkan khidmat rawatan di Pusat Rehabilitasi Perkeso secara percuma. Bagi yang sudah pulih, Perkeso turut menawarkan program kembali bekerja atau “Return To Work” (RTW). 

Seramai 25,018 atau 71.1 peratus Orang Berinsurans (OB) yang mengikuti program RTW telah kembali semula bekerja antara tahun 2007 hingga Jun 2019.

Faedah Pinjaman Pendidikan: Kemudahan dalam bentuk pinjaman atau biasiswa buat anak penerima faedah berkala Perkeso; bergantung kepada syarat-syarat ditetapkan.

Semasa aktiviti promosi Perkeso dan Suria FM mengenai kepentingan SKSPS di KLIA, Sepang. Foto MOHD SAHAR MISNI/The Star

5) Bagi yang ingkar, Perkeso mengeluarkan Notis Amaran dan juga mengenakan kompaun. Jadi setelah hampir sebulan ini, berapa banyak Notis Amaran dan juga kompaun yang telah dikenakan dan melibatkan berapa ramai pemandu?

Sepanjang bulan Ogos 2019 (sehingga kini) sebanyak 1,427 pemeriksaan telah dilakukan dan 444 Notis Amaran telah dikeluarkan kepada pemandu teksi dan e-hailing kerana belum berdaftar dan mencarum. 

Pendekatan penguatkuasaan dan pengesanan ini juga sedang dilakukan secara berkala di seluruh negara. Pegawai-pegawai Perkeso akan meneruskan penyamaran dan mengambil tindakan jika didapati mereka tidak berdaftar dan mencarum dengan Perkeso.  

Perkeso akan mengambil tindakan pendakwaan ke atas pemandu yang gagal mematuhi Notis Amaran tersebut.  Saya menyeru kepada pemandu-pemandu supaya segera mendaftar dan mencarum dengan Perkeso sebelum tindakan pendakwaan dikenakan ke atas mereka yang boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.   

6) Bagaimana pula dengan mereka yang dihadapkan ke mahkamah. Sudah adakah yang dikenakan tindakan sedemikian? 

Setakat ini, belum ada sebarang pendakwaan dibuat. Begitupun Perkeso tidak teragak-agak untuk berbuat demikian sekiranya pemandu masih ingkar setelah diberi Notis Amaran. 

7) Kita beralih pula kepada faedah yang bakal diterima setelah mencarum SKSPS. Kalau kita lihat, ada lapan faedah yang disebut tadi. Bagaimana Perkeso memantau mereka yang benar-benar layak menerima faedah-faedah di bawah skim ini?

Perkeso telah mewujudkan Skuad Perkeso Prihatin di setiap pejabat Perkeso di seluruh negara, selaras dengan aspirasi Perkeso untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan melangkaui ekspektasi serta kesejahteraan pelanggan. Misi utama penubuhan skuad ini adalah untuk bertindak secara proaktif dengan pantas dan segera dalam membantu pencarum serta orang tanggungan mereka apabila berlaku sesuatu kejadian luar jangka atau musibah.  

Pegawai Perkeso akan ‘turun padang’ dengan pergi ke rumah atau tempat tinggal pencarum bagi mendapatkan dokumen-dokumen yang diperlukan tanpa menunggu pencarum itu hadir ke pejabat Perkeso bagi membuat tuntutan.  

Sebagai contoh, kes kemalangan maut yang berlaku ke atas pemandu teksi, Nordin Kapas pada 12 Ogos 2019, di mana pihak Perkeso mendapatkan  semua dokumen yang diperlukan dan menyampaikan sendiri Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 kepada waris Nordin pada 15 Ogos 2019. Warisnya juga layak menerima Faedah Orang Tanggungan berupa pencen bulanan sebanyak RM945 (Nordin mencarum Pilihan Pertama iaitu RM13.10 sebulan atau RM157.20 setahun). Tindakan pantas ini dapat dilaksanakan kerana wujudnya Skuad Perkeso Prihatin.


Wisma Perkeso.

8) Sehingga kini, berapa ramai penerima faedah skim ini dan berapa banyak jumlah faedah yang telah dibayar? 

Sehingga kini, jumlah penerima faedah adalah seramai 155 orang dengan jumlah bayaran sebanyak RM413,252.

9) Pemandu teksi, kereta sewa, e-hailing dan pemandu bas adalah tertakluk di bawah skim SKSPS ini, bagaimana pula bagi pekerja sendiri yang lain?

Adalah menjadi hasrat Perkeso untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial kepada semua sektor infomal yang lain seperti peniaga kecil, nelayan dan petani dalam waktu terdekat. 

Perkeso turut melihat kepada industri-industri baharu yang lahir dari Revolusi Industri 4.0 dengan penemuan pelbagai teknologi baharu  seperti automasi, internet of thing (IoT), analisis dan big data, integrasi sistem, penggunaan robotik dan cloud. Kemunculan industri-industri baru membentuk kaedah dan jenis pekerjaan yang berbeza di mana para pekerja di sektor-sektor ini juga perlu diberi perlindungan keselamatan sosial. 

Oleh itu, Skim Keselamatan Sosial Pekerjaaan Sendiri (SKSPS) di bawah Akta 789 akan diperluaskan kepada pekerja yang bekerja sendiri dalam gig economy dan juga 18 sektor bekerja sendiri yang lain seperti pemilik tunggal, penggiat seni, petani, nelayan dan sebagainya. Walau bagaimanapun, ianya tertakluk kepada keputusan dasar kerajaan. 


Pengurus Besar Cawangan Faedah Perkeso, Ismail Abi Hashim (kiri) menyerahkan cek pengurusan jenazah dan faedah caruman Allahyarham Nordin Kapas kepada balunya, Jenab Sulaiman (kanan). Nordin yang bekerja sebagai pemandu teksi meninggal dunia dalam kemalangan di KM132 Kuala Lumpur-Temerloh pada 12 Ogos lepas. Foto Bernama

10) Saranan Datuk Seri kepada pendengar mengenai kepentingan skim ini.

Saya mengambil kesempatan ini menyeru semua pemandu teksi, kereta sewa, e-hailing dan bas supaya segera mendaftar dan mencarum dengan Perkeso. Sepanjang Ops Patuh ini, Perkeso menggerakkan semua pegawai pemeriksa di seluruh negara untuk mengesan pemandu yang masih belum mendaftar dan mencarum.  

Tindakan penguatkuasaan ini diambil bukan untuk membebankan sesiapa ataupun mengumpul dana bagi kerajaan; ini adalah tidak benar. Tetapi kami di Perkeso ingin memastikan semua pemandu yang bekerja sendiri mendapat perlindungan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.  

Berdasarkan fakta yang dinyatakan, ternyata banyak kebaikan dan faedah buat mereka yang bekerja sendiri sekiranya mencarum dengan Perkeso, terutama jika  berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. Skim yang dirangka ini  sememangnya langkah untuk menjamin kehidupan lebih terjamin bagi individu yang menjadi sumber rezeki keluarga.

Jelas sekali insentif perlindungan ini manfaat buat pencarum dan keluarga. Sehubungan itu, tidak hairanlah usaha berterusan dilakukan Perkeso bagi memastikan lebih ramai kumpulan sasar mengambil pendekatan bijak untuk mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) untuk masa depan lebih terjamin.

Artikel Lain