suria

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

Malaysia mensasarkan 30 juta pelancong pada tahun 2020.

SEMANGKUK mi yang panas dan enak hadir dalam pelbagai variasi.

Dari laksa Sarawak ke laksa Johor serta asam laksa, rakyat Malaysia sememangnya menggemari juadah yang pedas.

Aroma laksa utara yang membangkitkan selera, terkenal di negeri seperti Kedah dan Perlis, itu semua digemari oleh Datuk Mohamaddin Ketapi.

"Kita mempunyai laksa yang enak. Tapi dalam semua laksa, secara peribadi, laksa utara menjadi pilihan terbaik saya," ujar Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu sambil tersenyum.

"Anda tak akan dapat merasainya di tempat lain," ujarnya yang berasal dari Lahad Datu, Sabah.

Tambahnya, ia makanan tempatan yang memberi kegembiraan dan menjadi salah satu kekuatan untuk menarik kedatangan pelancong menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) atau Visit Malaysia Year 2020.

Antara hidangan laksa yang cukup digemari ramai.

Selain makanan, banyak lagi elemen unik serta daya tarikan semulajadi negara ini yang berwarna-warni dan kaya dengan budaya.

Menjelang kehadiran tahun 2020 dalam tempoh kira-kira sebulan lagi, kementerian menetapkan sasaran 30 juta pelancong ke negara ini dengan jangkaan pendapatan sehingga RM100 bilion untuk sektor pelancongan.

"Ia masa yang sesuai di mana kadar pertukaran sangat bagus untuk mereka ke negara ini dan berbelanja.

"Pastinya Malaysia berbaloi dengan wang mereka," kata Ahli Parlimen Silam itu.

Selain itu, Malaysia juga akan mempromosikan permata semulajadi seperti cermin langit di Kuala Selangor yang mana tebing pasir menghasilkan refleksi langit serta Gunung Kinabalu dan alam semula jadi di Lembah Danum, Sabah.

"Malaysia dikurniakan dengan pelbagai nikmat, sebab itulah saya yakin bahawa kami dapat mencapai sasaran untuk TMM2020.

Datuk Mohamaddin Ketapi. FOTO: Bernama.

"Apa yang perlu dibuat ialah mempromosi dengan lebih meluas supaya orang tahu apa yang kita ada," ujarnya.

Mohammadin berkata demikian kepada Sunday Star dan mengungkapkan cabaran yang mungkin berlaku seperti "pelancong sifar dolar" dan perkara-perkara lain.

Tahun 2020 menarik untuk sektor pelancongan. Apa perasaan Datuk mengenainya ketika ini?

Kami sudah banyak melakukan kerja, dalam Malaysia dan di luar negara.

Pertubuhan seperti Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) banyak melakukan promosi. Saya optimis dengan kekuatan yang kita miliki, tentunya kita boleh menarik kehadiran pelancong.

Kecuali jika berlaku sebarang keadaan yang tidak diingini seperti jerebu. Jika berlaku, ia juga akan memberi impak kepada pelancongan negara jiran seperti Singapura, Brunei dan Indonesia.

Apa kekuatan Malaysia dalam TMM2020?

Tarikan dan budaya yang pelbagai. Kita juga ada kadar pertukaran yang bagus untuk pelancong asing. Kita adalah tempat yang baik untuk membeli-belah.

Tentu sahaja, kita ada makanan yang lazat serta pelbagai gaya menarik dari semua negeri.

Malaysia bagaikan lubuk membeli-belah buat pelancong asing.

Jika ke Sabah, anda dapat merasai hidangan asil mereka, begitu juga Sarawak, Kelantan dan lain-lain negeri. Kita juga mempunyai banyak kawasan eko-pelancongan, terutamanya hutan kita.

Baru-baru ini, ada salah faham antara Datuk dengan timbalan menteri mengenai pertunjukan Firaun Mesir. Bagaimana ia diselesaikan?

Pada asalnya saya dimaklumkan kertas cadangan sudah diluluskan. Bermakna saya tak kisah sekiranya timbalan menteri atau ketua setiausaha (KSU) mahu umumkan kepada media.

Dia (timbalan menteri, Muhammad Bakhtiar Wan Chik) memberitahu saya dia akan mengumpul dana untuk pertunjukan itu daripada sektor swasta. Saya tak akan halang mereka.

Hanya buat dengan cara yang betul. Kita telah buat keputusan, hanya menteri yang berkuasa dan ada hak mengumumkan perkara sedemikian kepada media.

Untuk pegawai kerajaan dan timbalan menteri, jika mereka mahu, mereka perlu maklumkan kepada menteri agar tidak berlaku pertindihan kenyataan seperti yang berlaku baru-baru ini.

Adakah akan ada rancangan sama untuk membawa masuk  pempamer luar sempena TMM2020?

Saya tak fikir begitu.

Apa harapan utama sempena TMM2020?

Saya harap semua NGO, agensi kerajaan dan rakyat Malaysia akan bekerjasama dalam memastikan TMM2020 menjadi agenda nasional yang berjaya.

Sky Mirror yang popular di Selangor.

Tak apa sekiranya gagal mencapai sasaran 30 juta pelancong. Sekurang-kurangnya kita harus capai matlamat pendapatan RM100 bilion dalam resit pelancongan.

Bagaimana jika kita gagal mencapai sasaran?

Saya yakin dan optimis. Tetapi kadang-kadang sukar untuk meramalkan apa yang akan berlaku.

Wujud juga cabaran seperti "pelancong sifar" atau pelancong yang datang ke tetapi tidak membelanjakan wang untuk perniagaan tempatan. Akibatnya, perniagaan tempatan tidak meraih faedah.

Apa yang kita mahukan ialah lebih banyak pelancong dan lebih banyak pendapatan ekonomi. Tetapi, terima kasih kepada zaman digital, lebih banyak perniagaan tempatan dan industri desa telah berada dalam talian. Ini membolehkan warga asing menempah penginapan mereka secara terus dengan pengendali tempatan.

Kraftangan tradisional seperti songket dan batik juga boleh dipasarkan secara dalam talian dan usaha tersebut akan menghasilkan pendapatan bagi penduduk desa negara ini.

Datuk pernah berkata kadar bayaran masuk ke muzium kita perlu disemak. Adakah kementerian akan mencadangkan kenaikan harga tidak lama lagi?

Bayaran masuk muzium kita sangat rendah berbanding sesetengah negara. Jika tidak silap saya, beberapa muzium di luar negara mengenakan caj sebanyak RM45 untuk setiap kemasukan.

Bayaran masuk muzium di sesetengah negara luar jauh berbeza dengan harga di negara ini.

Di Malaysia, sekitar RM5 sekali masuk. Kenaikan harga kecil, sekurang-kurangnya membolehklan lebih banyak usaha untuk mengekal dan memperindah muzium kita.

Kami akan mengkaji segala kemungkinan dan bayaran, namun ia bukanlah kebimbangan utama kami.

Apa cabaran dihadapi Malaysia dalam mempromosi pelancongan?

Malaysia perlu meningkatkan aktiviti pengiklanan dan promosi, terutamanya dalam pemasaran digital untuk menangani kekurangan pendedahan Malaysia di peringkat dunia sebagai destinasi pelancongan utama.

Kekurangan sambungan perjalanan juga menghalang usaha kami mempromosikan Malaysia secara meluas. Malaysia memerlukan lebih banyak penerbangan terus dari pasaran jarak jauh.

Malaysia menyasarkan kemasukan 30 juta pelancong pada 2020. FOTO: BERNAMA.

Pada masa ini, Malaysia tidak mempunyai penerbangan terus dan kapasiti tempat duduk dari destinasi jarak jauh seperti ke Eropah dan Amerika Syarikat.

Bagaimana Datuk merancang untuk menangani masalah ini?

Dengan Program Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Bersama (JIDTP), kami berharap dapat meningkatkan akses ke Malaysia menerusi kerjasama penerbangan, operasi penerbangan sulung dan carter.

Tourism Malaysia dan Airports Holdings Bhd bekerjasama dengan pelbagai syarikat penerbangan dan pengendali pelancongan antarabangsa melalui Jidtp untuk meningkatkan hubungan dan memperkenalkan pakej percutian yang menarik ke negara ini.

Bagaimana dengan penggunaan sosial media?

TMM2020 memberi tumpuan kepada pemasaran digital menggunakan pelbagai platform media sosial. Kami memberi tumpuan kepada teknologi terkini, pemasaran media sosial dan pengaruh yang membawa perhatian kepada Malaysia.

Kami juga telah memperkenalkan tanda pagar khusus untuk Visit Malaysia 2020 iaitu #vm2020, #VisitMalaysia2020 dan #MalaysiaTrulyAsia.

Apa komen Datuk mengenai kebimbangan keselamatan bagi pelancong asing?

Secara asasnya, Malaysia merupakan negara pelancongan yang selamat. Kecurian dan keganasan tidak begitu biasa, tetapi kita juga perlu sentiasa berjaga-jaga.

Banyak tarikan ikonik di Malaysia termasuklah Menara Berkembar Petronas.

Terdapat beberapa kes culik di Semporna, Sabah, tetapi kerajaan yakin bahawa tapak dan resort pulau di pantai timur Sabah selamat. Semporna adalah salah satu daripada 10 daerah yang terletak di bawah Zon Keselamatan Timur Timur Sabah.

Jika dapat bercakap dengan pelancong asing mengenai Malaysia, apa yang Datuk mahu katakan?

Jangan terlepas apa yang kami ada di sini. Kami mempunyai banyak tarikan dan budaya.

Di Sabah sahaja, kita mempunyai 37 kumpulan etnik yang berbeza, dengan makanan dan pakaian tradisional mereka sendiri, cara hidup, kepercayaan dan adat istiadat. Anda tidak dapat melihat hal ini di tempat lain.

Kami mempunyai pelbagai jenis lokasi pemandangan semula jadi seperti gunung, pulau-pulau yang indah dan pantai. Anda juga boleh merasai teh tarik terbaik di sini, hanya di Malaysia.

Bagaimana dengan mesej kepada rakyat di negara ini sendiri?

Kita menggalakkan rakyat Malaysia agar bercuti dalam negara. Senang nak kemana sahaja dengan jalan darat dan sambungan lebuhraya.

Pergi jalan-jalan dengan laluan darat atau terbang ke Sabah dan Sarawak, memandu dari Selangor ke Kota Bharu atau Pulau Pinang.

Saya nak cakap, kita adalah negara terbaik. Dengan makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah juga murah.

Artikel Lain