PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta. Pemaju utamanya, Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) menyahut cabaran untuk membangunkan pusat pentadbiran negara itu, 25 tahun lalu. Tugas pertamanya adalah menempatkan semula lebih 30 kementerian dan menyediakan perumahan untuk penjawat awam, yang merupakan sesuatu yang strategik. Pengurus Besar PjH, Mhd Zaini Mohd Mukhtar berkata, menempatkan kementerian dan kakitangan terlebih dahulu adalah penting untuk membangunkan Putrajaya dengan pesat. “Jika menumpukan sektor swasta terlebih dahulu, kadar pembangunannya mungkin perlahan. “Sebab itulah kita menumpukan pembangunan pejabat kerajaan dan kuarters buat penjawat awam, bagi membawa masuk sejumlah besar penduduk untuk menghidupkan bandar baharu dalam tempoh singkat. “Ketika itu, menjual hartanah di Putrajaya merupakan satu cabaran kerana orang ramai tidak dapat menggambarkan prospek pembangunan di kawasan ladang pokok getah dan kelapa sawit berkeluasan 4,932 hektar. “Visi Tun Dr Mahathir Mohamad yang ideal mengenai bandar pintar sukar digambarkan oleh kebanyakan orang pada waktu itu,” katanya. Sebahagian hartanah berdekatan waterfront Putrajaya. Mhd Zaini berkata, Pejabat Perdana Menteri merupakan bangunan pertama yang disiapkan, diikuti dengan kementerian lain dan ketika itu barulah orang ramai mula melihat betapa bagusnya menetap di Putrajaya. “Lebih ramai mula berpindah ke Putrajaya dan lebih banyak unit perumahan dibangunkan bagi memenuhi kehadiran penduduk. “Kediaman dua tingkat membabitkan kos RM400,000 sejak lebih sedekad lalu, kini dijual pada harga RM1 juta. Lihatlah berapa nilai hartanah sejak bertahun-tahun lalu disebabkan oleh permintaan. “Kita telah menyiapkan bangunan kerajaan yang terakhir di Parcel F dan kini menumpukan pembangunan bercampur dan komersial,” katanya sambil menambah bahawa parcel tersebut bakal melibatkan pembinaan 10 blok pejabat. Mhd Zaini Mohd Mukhtar. Foto MOHD SAHAR MISNI Gaya hidup Mhd Zaini berkata, gaya hidup di Putrajaya merupakan tarikan utama yang membezakannya dengan bandar-bandar lain di Malaysia. “Kediaman atas tanah yang kami bangunkan tidak berpagar, ia seperti rumah-rumah kampung. “Ramai yang skeptikal tentang keselamatan, tetapi kita masih mempunyai kadar jenayah sangat rendah berbanding bandar-bandar lain di negara ini. “Kita mahu mencipta persekitaran yang sesuai untuk didiami dan salah satu daripadanya adalah memupuk kejiranan dengan mewujudkan persekitaran yang mana mereka mengenali jiran-jiran dan pada masa sama masih menghormati privasi masing-masing. “Pagar sehingga tingginya mencecah empat kaki dibenarkan atas faktor keselamatan, tetapi ramai tidak memasang sebarang pagar kerana tiada keperluan untuk berbuat demikian. “Orang bercakap mengenai sistem keselamatan berteknologi tinggi, tetapi keselamatan terbaik adalah jiran yang prihatin. Tiada keperluan untuk kamera litar tertutup (CCTV) apabila semua mengawasi antara satu sama lain,” katanya. Penyempurnaan projek di Parcel F menandakan berakhirnya pembinaan bangunan kerajaan di Putrajaya. Mhd Zaini berkata, ada had dalam pengubahsuaian yang boleh dilakukan pada bangunan seperti pilihan warna, bagi memastikan kesepadanan dengan kawasan persekitaran. “Kita mahu memastikan pembeli hartanah mendapat apa yang mereka beli dan bukannya terdedah kepada pengubahsuaian yang berlebihan. “Bagi merealisasikannya, kita juga meneliti untuk memenuhi keperluan semua pihak. Setiap orang mempunyai gaya hidup yang berbeza. “Oleh itu, kita mempunyai pelbagai pembangunan untuk orang ramai. Secara idealnya, kita mahu setiap orang yang melangkah masuk ke galeri pameran kami yang dapat mencari sesuatu yang disukai mereka. “Sebagai contoh, jika anda masih tidak yakin dengan idea kejiranan tanpa pagar, anda boleh memilih projek yang mempunyai konsep berpagar dan berpengawal atau apartmen servis,” katanya. Persekitaran Ramai pastinya bersetuju Tasik Putrajaya yang berkeluasan 600 hektar dan kawasan hijau memberi ketenangan kepada persekitaran bandar ini. “Anda mungkin boleh dapat kawasan lebih hijau di tempat lain, anda tidak boleh menikmati kawasan perairan seperti yang boleh ditemui di sini,” kata Mhd Zaini. “Nilai estetik amat dihargai kerana tasik buatan manusia ini. “Tun M mahukan kawasan dermaga yang luas, yang dicapai menerusi tasik buatan manusia dan pulau teras yang besar. “Sumber air sungai adalah keruh dan kita memerlukan penyelesaian mampan untuk menapis air tercemar ini sebelum dilepaskan ke tasik utama," katanya lagi. Lakaran artis mengenai projek Terra di Putrajaya. Foto RAJA FAISAL HISHAN Penubuhan Taman Wetland berfungsi sebagai sistem penapisan semula jadi untuk merawat air yang tercemar dari kawasan hulu bagi tadahan Putrajaya, yang menjadi habitat untuk kebanyakan spesies hidupan akuatik termasuk ikan kelah dan temoleh yang memerlukan air bersih untuk hidup. Kini, terdapat kawasan ini mencatatkan air Kelas 2b, yang bersesuaian dengan aktivit harian manusia termasuk sukan air. “Semasa fasa pembinaan, kita membina jambatan di tanah kering untuk menjimatkan kos, kerana membinanya di atas air akan menelan belanja yang lebih banyak. “Jadi dengan jambatan yang dibina sebelum pelepasan air, ramai yang skeptikal mengenai idea berkenaan. “Namun kini, kita mempunyai 38km waterfront dan hartanah yang menghadap tasik dianggap sebagai hartanah utama,” katanya. Fakta mengenai Putrajaya. Masa depan Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Pembangunan PjH, Hassan Ramadi berkata, syarikat berbangga telah membuktikan menjadi pemaju berkredibiliti dengan menunjukkan komitmen kepada kerajaan dan menumpukan pembangunan komersial sebagai daya tarikan, sejajar dengan PjH menyambut ulang tahun ke-25 tahun ini. “Menyiapkan bangunan-bangunan di Parcel F menandakan penyempurnaan projek bangunan-bangunan kerajaan. “Putrajaya direka sebagai sebuah bandar yang menyediakan peluang-peluang untuk mencari ketenangan dari tekanan dan desakan kehidupan moden. “Ia dirancang mengikut dasar dan panduan menyeluruh untuk kegunaan tanah, sistem pengangkutan, utiliti, infrastruktur, perumahan, kemudahan awam, teknologi maklumat dan taman-taman. “Tumpuan kini adalah untuk menambah keceriaan yang difasilitasi oleh pendigitan tadbir urus, kemajuan sosial yang seimbang untuk perlindungan alam sekitar dan kesejahteraan rakyat serta inovasi dalam teknologi dan hubungan yang dipertingkatkan menerusi pengangkutan awam seperti perkhidmatan rel oleh Transit Aliran Massa (MRT), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR). “Sejajar dengan teras strategik ini, PjH telah merancang pelbagai produk di seluruh sektor perumahan dan komersial untuk memenuhi keperluan pelanggannya, termasuk hartanah kediaman yang strategik dengan akses yang baik kepada perkhidmatan dan kemudahan, serta reka bentuk dan harga bagi memenuhi sasaran pasaran antara lainnya dari segi bajet, kualiti dan keselamatan,” kata Hassan. Hassan Ramadi. Foto PjH Beliau berkata, projek akan datang akan menyokong keperluan rakyat semasa dan akan datang. “Dalam perancangan itu terdapat projek jenis SoHo baharu yang membolehkan gaya hidup kerja dari rumah, dengan rumah pintar yang merangkumi ciri-ciri keselamatan dan penjimatan tenaga. “Infrastruktur baharu akan dapat menyokong teknologi komunikasi baharu,” katanya. Beliau turut mengatakan bahawa hartanah komersial akan mempunyai jangka hayat yang lebih lama apabila direka menjadi ‘lebih pintar’ dan lebih fleksibel bagi memenuhi pelbagai jenis perniagaan, dengan susunan seperti pejabat format besar yang konvensional, suite pejabat, ruang kerja bersama dan ruang pelbagai fungsi. “Hartanah komersial akan dibina di lokasi strategik yang terdiri daripada pembangunan bercampur di Waterfront untuk gaya hidup kehidupan-kerja dan pembangunan berorientasikan transit bagi meningkatkan mobiliti serta hubungan untuk memenuhi tuntutan tinggi kehidupan di bandar. “Projek PjH seterusnya adalah pembangunan campuran yang dipanggil Terra di Presint 8,” katanya. Konsep perumahan tidak berpagar di Putrajaya menggalakkan hubungan rapat antara jiran-jiran. Putrajaya tidak lama lagi akan kehabisan ruang untuk hartanah kediaman atas tanah dan beralih kepada bangunan berstrata. “Projek-projek akan datang di bandar ini akan sama seperti Terra, yang merupakan pembangunan bercampur dengan gaya hidup sekitar tasik utama Putrajaya. “Ia terletak berhampiran dengan persekitaran semulajadi, kawasan membeli-belah dengan pilihan kedai makanan yang banyak dan kediaman di tepi tasik,” kata Hassan. “Pembangunan PjH berhasrat untuk memenuhi keperluan semasa pemilik, penghuni dan pengguna serta menawarkan nilai pelaburan jangka panjang yang terbaik untuk generasi akan datang. “Sebagai pemaju, kita juga terus prihatin dengan aspek kitaran hayat bangunan kerajaan dan komersial. Oleh itu, kita sentiasa mencadangkan kerjasama dengan pemilik bangunan bagi mengemaskini atau menaik taraf hartanah mereka untuk prestasi yang lebih baik,” katanya.