"KOPI O satu…roti bakar sekaya satu set," jerit seorang lelaki tanpa segan. Terkejut Abang Fen... kuat betul jeritan pelanggan tetap gerai Pak Pin di Jalan Besar Tanah Liat, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Apa yang Abang Fen nak kongsi dengan kamu-kamu semua ni memang istimewa walaupun kopi o dan roti bakar sekaya boleh didapati di mana-mana. Menu istimewa gerai Pak Pin iaitu roti bakar dan kopi o menarik perhatian ramai kerana kaedah penyediaannya secara tradisional. Sebelum Abang Fen cerita tentang menu ringkas dan sedap itu, biarlah kita kenali dulu mengenai gerai Pak Pin yang diusahakan oleh Pak Yeh. Siapa mereka ini? kenapa namanya lain-lain? Biar Abang Fen terangkan dahulu ye... Gerai ini telah dibuka pada 1970 oleh Allahyarham Ariffin Ismail atau Pak Pin yang terkenal sebagai pembancuh kopi dan pembuat sekaya terkenal di sini, namun selepas dia meninggal dunia sejak hampir 30 tahun lalu, perniagaan tersebut diambil alih oleh anaknya Alias Ariffin, 63, atau Pak Yeh (gambar). Sejak 30 tahun lalu juga, Pak Yeh masih mengekalkan cara tradisional iaitu memasak air, membakar roti dengan menggunakan dapur kayu. Menariknya, kayu yang dibeli khas untuk memasak air akan digunakan juga bagi membakar roti, ertinya satu dapur untuk masak air dan bakar roti. Walaupun terdapat pihak meminta Pak Yeh menggunakan dapur gas untuk memasak air bagi mempercepatkan permintaan pelanggan namun dia tetap mengekal cara tradisional yang diwarisi daripada Allahyarham bapanya. Selain itu, gerai Pak Yeh menjadi tumpuan orang ramai kerana sekaya telur itik hasil resipi terun-temurun keluarganya. Walaupun hanya dipasarkan di satu tempat iaitu di gerainya, namun sambutan daripada pelanggan amat memberangsangkan. Pak Yeh mengambil masa selama lapan jam sehari untuk menyediakan 30 kilogram sekaya yang dimasak menggunakan kayu api. Keunikan sekaya ini adalah tidak menggunakan perasa tiruan, pengawet atau apa-apa juga barangan asas tiruan dan pewarna. Paling menarik, sekaya ini menggunakan telur itik sebagai bahan asas malahan tidak dicampur sedikitpun dengan telur ayam dan pewangi untuk menaikkan aromanya yang berasaskan daun pandan sahaja. Sekaya Pak Pin dijual pada harga RM3.50 sebotol dan Pak Yeh mampu menjualnya sebanyak 50 ke 70 botol sehari. "Saya kena jual dengan harga yang tinggi kerana sekaya ini menggunakan bahan asli dan telur itik. Lagi pun harga bahan mentah mahal namun Alhamdulillah pelanggan tak pernah merungut” katanya. Abg Fen juga sempat bertemu pelanggan yang tidak habis memuji bertapa 'kau' dan enak kopi Pak Yeh. "Setiap hari saya mesti mai sini minum kopi o, kalau tidak saya tak boleh duduk sebab teringat kopi O Pak Pin. Saya tinggal di Penanti tapi mai minum di sini, boleh tahan jauh tu” kata Chia Hock Soon, 79, (gambar) yang petah berbahasa Melayu. Seorang lagi pelanggan, Yusof Ishak, 56, (gambar) juga memuji keenakan rasa kopi o serta roti bakar sekaya Pak Pin. "Zaman sekarang mana nak cari kopi o dapur arang dan roti bakar dapur arang dengan sekaya asli telur itik, cuma kat sini saja yang ada,” ceritanya. Sebelum Abang Fen habiskan kisah gerai Pak Pin ini, di sini ada nombor telefon Pak Yeh iaitu 017-4585790. Kalau ada yang ingin tempah sekaya atau mahukan keterangan lanjut boleh hubungi terus kepada Pak Yeh. nota; tunggu artikel Abang Fen selepas ini, ada restoran sedap you....