suria

Kerana Kelazatan Ikan Bawal, Warung Tersembunyi Jadi Tumpuan

KATA kawan-kawan Abang Fen, ada sebuah warung ikan bawal goreng yang sedap, tetapi untuk merasai kelazatan itu, kita perlu hadapi cabaran mencari premisnya yang  tersembunyi.

Tetapi cabaran itu hanya bagi mereka yang pertama kali melangkah masuk ke warung tersebut.

Tercabar dengan cerita itu, Abang Fen juga ingin tahu kenapa pelanggan gerai tersebut sanggup bersusah payah untuk menikmati ikan bawal goreng...sedap sangatkah?

Oleh itu, baru-baru ini, Abang Fen juga tidak terlepas untuk mencari gerai tersebut mengikut petua yang diberikan rakan-rakan demi pembaca mStar Online.

Warung bawal goreng itu dikenali sebagai Warung Kak Mah dan Abang Din, terletak di Kampung Datuk Keramat, Bukit Tengah, Seberang Perai Tengah ,Pulau Pinang.

Tetapi untuk sampai ke warung tersebut, perlu melalui Kawasan Perindustrian Perai.

Ketika berada di kawasan perindustrian tersebut, Abang Fen menghabiskan selama 20 minit untuk mencari gerai berkenaan, akhirnya memberhentikan kereta untuk bertenang seketika.

Bila Abang Fen ingatkan semula petua rakan, mereka memberitahu, jalan ke gerai itu terletak di tepi sebuah kilang kotak, masuk ke situ dulu barulah kita akan nampak gerainya.

Akhirnya Abang Fen sampai di hadapan warung ikan bawal goreng tersebut. Tidak dinafikan memang ramai pelanggannya.

Bukan sahaja penuh dengan kereta, bas persiaran yang membawa rombongan turut ke warung tersebut.

"Apa istimewanya warung ikan bawal goreng ini, sampai ramai macam ni sekali.

"Patut pun tidak dipanggil restoran walaupun ramai orang, sebab meja dan kerusi hanya diperbuat daripada kayu biasa sahaja,” bisik hati Abang Fen ketika melangkah masuk ke warung berkenaan.

Abang Fen kemudian meninjau lauk-pauk selain bawal goreng panas sebagai menu utama, ada juga sayur, ulam dan sambal belacan yang mula membuatkan selera makan membuak.

Gulai ikan bawal.

Tanpa membuang masa, Abang Fen meminta nasi putih, ikan bawal goreng, sambal belacan dan ulam untuk makan tengah hari.

Ketika pekerja warung tersebut menghantar bawal goreng bersama nasi dan ulam, dia turut meninggalkan kicap manis. Apabila dilihat di sekeliling, barulah Abang Fen tahu mengenai campuran yang akan melazatkan makanan itu.

Sebagai seorang penulis yang ingin berkongsi dengan pembaca, Abang Fen mula merasai nasi dengan ikan bawal goreng panas, disertai sambal belacan dan kicap manis.

Bayangkan, isi ikan bawal yang panas bersama sambal belacan dan manis-manis kicap di dalam mulut anda.

Sedapnya memang tidak terkata, ketika itu Abang Fen sedar, kenapa orang ramai termasuk menteri sanggup mencari warung tersembunyi ini untuk menikmati makan tengah hari.

Habis saja menjamah makanan lazat itu, Abang Fen memulakan misi mencari tuan empunya warung dengan niat untuk mencungkil rahsia serta mencari maklumat untuk dikongsi dengan you all.

Selepas bertanya dengan seorang daripada pekerjanya, Abang Fen ditemukan dengan seorang wanita iaitu  Razimah Hassan, 55, (gambar) di dapur warung tersebut.

Razimah memulakan perniagaan itu bersama suaminya Tajudin Hashim, 57, pada awal 1990-an.

"Waktu itu kami hidup susah tetapi saya dan suami pandai masak. Jadi kami ambil keputusan untuk mencuba dengan perniagaan ikan bawal goreng ini", cerita Razimah memulakan perbualan.

Perniagaan pasangan tersebut bermula dengan 5 kilogram ikan bawal sebelum ia mencecah 200 kilogram sehari ketika ini.

Semuanya kerana apa yang dihidangkan menepati cita rasa pelanggan.

"Saya tidak ada resipi istimewa sangat selain hanya masukkan serbuk kunyit dan garam untuk digaulkan bersama ikan bawal ini sebelum digoreng.

"Apabila hendak menggoreng pastikan minyak benar-benar panas kerana ikan akan masak dalam keadaan baik”, jelas Razimah memberikan tips dan rahsia keenakan ikan bawal goreng yang menggamit ramai pelanggan.

Kerana idea Razimah dan Tajudin juga, perniagaan ikan bawal goreng kini terkenal sehingga ke ibu negara.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila ia turut dikunjungi oleh menteri dan timbalan menteri seperti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Seri Noh Omar.

Ketika sedang merakam gambar warung tersebut, Abang Fen sempat mendapatkan pandangan seorang pelanggan tetap warung berkenaan iaitu Mohd Wazir Mat, 48.(gambar)


"Saya menjadi pelanggan warung bawal goreng ini sejak berusia awal 20-an kerana keistimewaan serta kelazatan ikan yang digoreng, sambal belacan dan kari ikan di sini memang tiada tandingannya.

Seorang pelanggan yang sedang menikmati makan tengah hari dengan lauk ringkas.

Warung tersebut dibuka seawal pukul 10 pagi dan ditutup pada pukul 8 malam dan menariknya tiada hari cuti dalam kalendar perniagannya.

Pelanggan boleh menikmati ikan bawal goreng pada hari apa sahaja.

Sebarang maklumat lanjut, boleh menghubungi Razimah ditalian 017-4277206 atau Tajudin (011-12477754).


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain