suria

Buah-Buahan, Tenusu Sumber Perisa Aroma Makanan

PENGHASILAN perisa aroma makanan tanpa rasa dan warna tentu dapat menarik perhatian ramai terutama di kalangan masyarakat yang begitu pentingkan kesihatan.

Berdasarkan kajian berterusan dengan meletakkan kualiti sebagai faktor utama pelaksanaannya, anak Malaysia mampu merealisasikannya.

Sehingga kini, lebih 2,000 produk ditawarkan, antaranya perisa buah-buahan, produk tenusu dan kopi dan lain-lain.

Perisa buah-buahan yang dihasilkan merangkumi lebih 37, antaranya laici, anggur, mangga, tembikai, oren, pic, nanas, markisa, epal Fuji, beri campuran dan banyak lagi.

Bagi perisa produk tenusu dan bakeri pula seperti krim, madu, pandan, susu mentega, kaya, susu segar, kayu manis dan jagung manis.

"Misalnya, pada musim mangga Harumanis dan atas permintaan pelanggan, perisa berasaskan buah ini dihasilkan.

"Ia memerlukan kepakaran dan kajian oleh pakar-pakar terlatih," kata pengasas Suci Harumatiques Sdn Bhd, Mohd Fuad Ahmad.

Kata pengusaha berusia 54 tahun ini, bagi memastikan produk Suci terus berkembang, syarikat menggunakan ejen di China, Thailand, Eropah dan Timur Tengah.

Pengiktirafan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Makanan Sihat Tanggungjawab Industri daripada Kementerian Kesihatan turut membantu untuk memperluaskan pasaran Suci.

Suci turut menyertai program Ramuan Halal Asia (HLIA) 2015 anjuran Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.

Acara anjurkan HDC bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menarik kira-kira 50 syarikat pengeluar ramuan yang mengetengahkan produk dan perkhidmatan berkaitan industri halal.


Artikel Lain