IFTAR secara bufet cukup sinonim dengan warga kota, namun jika masakan tertentu dimasak 'secara langsung' dan dihidang panas-panas khas untuk anda, tentunya kepuasan berbuka akan lebih terasa. Hidangan panas dan segar ini dapat dinikmati di Cinnamon Coffee House, Hotel One World, yang memperkenalkan konsep masakan 'kuali panas' sebagai tarikan utama buat tetamunya. Sesuai dengan tema 'Berbuka Bersama Chef Di Hotel One World', pengunjung diberi peluang memilih sendiri makanan laut segar seperti udang galah, ketam, ikan, kepah atau lala sebelum ia diserahkan kepada chef yang telah bersedia memanggangnya di atas dapur yang sudah panas. Sementara menunggu hidangan tersebut masak, rugi jika anda tidak menjengah ruang sebelah dan memilih sayur-sayuran seperti timun laut, cendawan atau brokoli, juga untuk dimasak oleh chef yang sudah menunggu bersama senduk dan kuali panasnya. Junior Sous Chef Muhamad Zahid Zainol Rashid berkata, lebih 10 ketua chef terlibat untuk memasak sambil bermesra dengan pengunjung bagi memeriahkan promosi bufet Ramadan tahun ini. "Kita ada chef khas di ruang tertentu seperti di ruang 'live cooking', dapur kawah, nasi kandar, sup gear box dan makanan Jepun serta barat. "Ketika inilah chef dapat beramah mesra dan melayan permintaan pengunjung," katanya. Muhamad Zahid berkata, kira-kira 300 jenis makanan termasuk pastri disediakan kepada mereka yang memilih untuk berbuka di sini pada tahun ini. "Disebabkan permintaan tinggi, kambing bakar terus disediakan pada tahun ini pada hari Isnin hingga Khamis. "Istimewa buat pengunjung, kita sediakan daging rusa panggang pada Jumaat hingga Ahad," katanya sambil menambah selain daging kambing, warga kota juga semakin menggemari daging rusa panggang. Menawarkan suasana berbuka yang ringkas tapi elegan, tetamu akan 'disambut' dengan aneka makanan pembuka selera dan pencuci mulut Barat dan tradisional sebaik sahaja mereka memasuki Cinnamon Coffee House yang dihias indah. Anda pasti teruja melihat warna-warni ais krim pelbagai perisa, aneka kek dan roti, kuih tradisional dan buah-buahan yang disajikan di meja bufet. "Manisan yang disediakan tidak sekadar manisan biasa. Kita turut menyediakan beberapa sajian detoks dan 'sugar free' supaya pengunjung berasa lebih selesa dan sihat selepas makan sajian utama ketika berbuka," katanya. Sajian utama seperti lauk-pauk, nasi ayam, sup gear box, murtabak, nasi kandar dan dapur panas boleh diperolehi di bahagian tengah atau ruang utama Cinnamon Coffee House ini yang mampu menampung sehingga 450 pengunjung dalam satu masa. "Kita mahu tetamu meneroka ke segenap ruang dan singgah ke setiap meja bufet atau 'warung' yang terletak di bahagian luar," katanya.