suria

Satu suapan bagai ada di tanah Arab!

BAGI mereka yang ingin menikmati bufet hidangan Arab dengan harga berpatutan sepanjang Ramadan ini, Titanic Cafe & Restaurant adalah tempatnya.

Dengan harga serendah RM30 untuk dewasa dan RM20 untuk kanak-kanak, lebih 20 hidangan Timur Tengah khususnya dari Arab dan Syria ditawarkan untuk anda.

Hidangan yang paling popular di sini tentunya nasi kabsa, nasi mandy dan nasi maqlubah.

Berdasarkan tinjauan mStar Online sewaktu hari pertama Ramadan, tiga hidangan itu paling mendapat perhatian pengunjung.

Dihidang panas, ia sesuai dimakan bersama lauk sampingan seperti ayam dan daging.

Apa yang lebih istimewa, ia dimasak khas oleh dua chef yang berasal dari Syria.

Penulis juga berkesempatan merasai sendiri keenakan nasi mandy di restoran itu.

Lauk ayam yang dihidangkan dimasak dalam tempoh  lama menjadikan ia begitu lembut dan mudah untuk dipotong.

Dari segi rasanya pula, rempah ratus yang diperap meresap dengan sempurna. Ia bukan sahaja sedap, malah aromanya begitu membangkitkan selera.

Persekitaran premis berkenaan juga agak selesa kerana pengunjung boleh memilih untuk makan di dalam ataupun di bahagian luar restoran.

Selain hidangan yang dinyatakan di atas, mereka turut menghidangkan pencuci mulut tradisi Syria iaitu harissa.

Walaupun berkonsepkan makanan timur tengah, mereka juga ada menawarkan hidangan lain seperti pizza, burger, ais krim Arab dan banyak lagi.

Untuk minuman pula, anda boleh memesan kopi atau smoothie. Minuman biasa yang lain juga ada di sini.

Pendek kata, pengalaman menjamu selera di sini seolah-olah membawa anda mengembara jauh ke Asia Barat.

Dengan satu suapan sahaja, anda bagaikan sudah berada di tanah Arab. Begitulah ayat yang sesuai untuk menggambarkan keaslian rasa hidangan di Titanic Cafe & Restaurant.

Anda seharusnya tidak melepaskan peluang untuk berbuka di sana. Mana lagi nak cari restoran yang menawarkan bufet hidangan timur tengah dengan harga yang begitu murah.

Walaupun murah, keaslian dan keenakan rasanya terjamin. Jadi apa tunggu lagi, untuk tempahan, anda boleh menghubungi talian 03-41417076 atau 011-39888210.

Alamat: Titanic Cafe & Restaurant, G-9, PV 128, Jalan Genting Klang, 53300, Danau Kota, Kuala Lumpur.

Titanic, Ramadan, Syria

Artikel Lain