suria

Kolej Islam Bernilai Lebih RM30 Juta Akan Dibina Di Beaufort

SEMPORNA: Sebuah kolej Islam bernilai lebih RM30 juta akan dibina di Beaufort, kira-kira 90 kilometer dari Kota Kinabalu, untuk menyediakan pendidikan agama kepada lebih ramai belia di Sabah.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Nasir Tun Sakaran berkata kolej berkenaan yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun bakal menawarkan pelbagai disiplin pengajian Islam kepada rakyat Malaysia, khususnya di Sabah.

"Lokasinya sudah pun dikenal pasti dan peruntukannya juga sudah pun diluluskan oleh kerajaan. Kini hanya menunggu masa untuk memulakan pembinaan namun dijangka tidak lewat dari akhir tahun ini.

"Tujuannya ialah supaya lepasan sekolah menengah yang berminat dalam pengajian agama tidak perlu pergi jauh-jauh belajar untuk menuntut ilmu," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun ini tidak bermakna pelajar tidak digalakkan menimba pengetahuan di luar Sabah, misalnya di Semenanjung atau Mesir untuk menambah pengetahuan dan pengalaman, kata Nasir. Beliau berkata selain dilengkapi prasarana moden, kolej berkenaan juga mengambil kira perkembangannya pada masa depan kerana ia bakal dibina di atas kawasan seluas lebih 12 hektar.

Buat permulaan, katanya pelajar akan ditawarkan pengajian di peringkat diploma namun secara beransur-ansur sehingga peringkat lebih tinggi beradasarkan prestasi kolej pada masa akan datang.

Nasir yang juga menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam di Sabah, berkata langkah kerajaan membina kolej berkenaan menunjukkan komitmen tinggi kerajaan negeri dalam menyediakan prasarana pendidikan bermutu untuk melahirkan modal insan berkualiti tinggi seperti dihasratkan negara.

"Bagi pihak kepimpinan, kita melihat masyarakat Islam ini memerlukan bimbingan asas agama. Dengan adanya pusat-pusat pengajian seperti ini, lepasan kolej berkenaan kelak akan kembali ke kampung halaman masing-masing untuk membangunkan masyarakat setempat," katanya.

Beliau berkata keperluan negeri Sabah kepada generasi yang ahli dalam bidang agama memang masih amat diperlukan terutama di kawasan luar bandar atau kampung-kampung.

Nasir yakin dengan adanya kolej Islam itu nanti serta pembinaan bangunan baru untuk Sekolah Menengah Agama Toh Puan Hajah Rahmah di Kinarut yang sudah hampir siap, ia akan membantu masyarakat Islam dan kerajaan negeri untuk mencapai hasrat berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain