LANGKAWI: Kolej Universiti Insaniah, institusi pendidikan yang dimiliki kerajaan Kedah, akan mewujudkan kursus-kursus yang membolehkan pelajarnya menguasai bidang pengajian ekonomi dan syariah dalam masa yang sama bagi melahirkan pakar dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam.Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata ketika ini pelajar menguasai satu bidang sahaja iaitu ekonomi atau syariah dan terpaksa mempelajari bidang lain setelah memasuki bidang kewangan.Beliau berkata ketika ini mereka yang ingin bekerja dalam kewangan Islam adalah graduan kewangan yang terpaksa mempelajari bidang syariah ketika memasuki pasaran kerja ataupun graduan syariah yang terpaksa belajar mengenai kewangan, dan ini memakan masa yang lama untuk melahirkan pakar dalam kewangan Islam."Di Insaniah kita nak mereka belajar dua-dua sekali (Syariah dan Kewangan). Kewangan Islam ini mampu menyelesaikan masalah kewangan yang melanda dunia sekarang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Second Langkawi Persidangan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam di sini Isnin.Beliau berkata Insaniah telah mendapat kepercayaan daripada Bank Pembangunan Islam (IDB) yang berpusat di Jeddah, Arab Saudi bagi mengumpulkan ulama dan profesional dalam perbankan untuk sama-sama berbincang memajukan lagi kewangan Islam."Selalunya kalau ada persidangan seperti ini hanya profesional dan ahli akademik yang terlibat. Tetapi seminar kali ini turut melibatkan ulama supaya pandangan mereka dapat didengar."Kita akan teruskan usaha ke arah itu. Kita juga akan dapatkan kerjasama pusat-pusat penyelidikan kewangan Islam untuk membolehkan sistem ekonomi Islam mendapat tempat di persada dunia," katanya.Beliau berkata persidangan kali ini akan membincangkan cara-cara melakukan perniagaan yang berlandaskan Islam bukan sahaja yang dilaksanakan di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia."Persidangan kali ini akan melihat prinsip-prinsip syariah secara menyeluruh. Sebagai contoh, bank sepatutnya menjadi 'protection of wealth'.Tetapi apa yang berlaku, bank kaya penyimpan tidak. Bank sepatutnya melindungi penyimpannya," katanya.Persidangan tiga hari itu yang bermula Isnin disertai lebih 200 ulama dan profesional kewangan Islam dari 10 negara.Sebanyak 62 kertas kerja akan dibentang selain sesi perbincangan bersama kumpulan ulama dan profesional. - BERNAMA