KUALA LUMPUR: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan memberikan biasiswa kecemerlangan kokurikulum yang pertama kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mulai sesi pengajian Mei ini.Presidennya Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum berkata biasiswa tersebut akan ditawarkan kepada 16 orang pelajar di peringkat permulaan."Ini bermakna setiap Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri (JPAN) termasuk Pahang (yang dibahagikan kepada tiga zon yang dipanggil Perhubungan Negeri) akan mendapat kuota seorang pelajar bagi setiap JPAN," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.Beliau berkata bilangan bissiswa tersebut akan bertambah pada masa akan datang sesuai dengan keupayaan pembiayaannya."Biasiswa kokurikulum ini ditawarkan kepada pelajar IPTA cemerlang dalam aktiviti koperasi sebagai pengiktirafan kepada mereka yang memberikan sumbangan besar kepada koperasi yang mereka anggotai," katanya.Mohd Ali berkata, koperasi sekolah di seluruh negara boleh mengemukakan calon yang layak untuk menerima biasiswa ini bagi pemilihan calon anugerah tersebut dan pada masa yang sama pelajar berkenaan mestilah diterima memasuki ke IPTA dan turut cemerlang dalam bidang akademiknya."Mereka sewajarnya diberikan pembiayaan pelajaran di peringkat pengajian tinggi supaya terus aktif dalam kegiatan koperasi semasa di pusat pengajian tinggi iaitu menganggotai Koperasi Siswa (Kosiswa) dan mendalami ilmu koperasi agar Gerakan Koperasi negara terus maju dan cemerlang," katanya.Selain itu, katanya Angkasa juga kini menganjurkan pelbagai program koperasi sekolah supaya boleh menilai pelajar yang akan dicalonkan untuk menerima anugerah biasiswa ini."Program ini memperlihatkan usaha Angkasa menerapkan semangat berkoperasi di kalangan pelajar."Malah kini Gerakan Koperasi Sekolah Malaysia telah diiktiraf sebagai Gerakan Koperasi Sekolah terbaik di dunia oleh Ikatan Koperasi Antarabangsa," katanya. - BERNAMA