suria

UUM Tuan Rumah Festival Filem Dan Video Pelajar Malaysia Mac Ini

KUALA LUMPUR: Universiti Utara Malaysia (UUM) akan menjadi tuan rumah Festival Filem dan Video Pelajar Malaysia ke-lapan (FFVPM) dari 2 hingga 6 Mac ini.

Festival anjuran bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu dijangka akan disertai oleh pelajar-pelajar bidang perfileman dari IPTA dan IPTS seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Finas Fatimah Ahmad berkata cetusan idea memperkenalkan FFVPM pada dasarnya pertujuan menggalak penghasilan kerja kreatif yang bermutu tinggi di kalangan para pelajar dalam bidang penghasilan filem, komunikasi dan multimedia.

"Ia juga bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan terhadap hasil karya para pelajar. FFVPM ini selaras dengan usaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) melahirkan generasi muda yang hebat berkarya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat festival bertema 'Cendekia Senima ke Persada Dunia' itu di sini, Khamis.

Katanya 11 kategori dipertandingkan pada festival itu, termasuk Filem Terbaik, Video Klip Terbaik, Anugerah Pengarah Terbaik, Anugerah Penyunting Terbaik, Filem Animasi dan Anugerah Grafik Terbaik.

Selain itu, beberapa aktiviti menarik turut diatur sepanjang FFPVM, seperti pameran, forum diskusi dan dua seminar yang akan membincangkan topik isu semasa Industri Filem tanah air.

"Dan julung kalinya, satu konvesyen yang akan mengumpulkan seniman-seniman filem dan pakar-pakar bidang perfileman tanah air dan luar negara akan diadakan pada hari terakhir festival," katanya.

Terdahulu, beliau menyerahkan cek sumbangan RM100,000 kepada UUM sebagai bantuan bagi menjayakan festival itu, selain Finas turut akan memberi bantuan teknikal dan khidmat nasihat.

Menurutnya, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim dijangka akan merasmikan festival itu pada majlis penutup dan peyampaian anugerah FFPVM. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain