suria

TITAS Perlu Kaedah Baru Tarik Minat Pelajar

SERDANG: Pengajar kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) di institusi pengajian tinggi digesa meningkatkan keupayaan serta mencari kaedah penyampaian baru bagi menyemai minat pelajar terhadap kursus tersebut.

Pengerusi Sekretariat Jawatankuasa Induk TITAS Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Prof Madya Dr Zaid Ahmad berkata, kursus TITAS tidak semestinya meliputi isu sejarah semata-mata sebaliknya perlu meliputi elemen ketamadunan yang relevan pada masa kini.

Perkara itu menurutnya boleh menarik minat para pelajar dalam subjek tersebut seterusnya menyemai sikap saling faham-memahami serta hormat-menghormati dalam masyarakat negara ini yang berbilang etnik, budaya dan agama.

"Saya berpendapat kursus ini perlu menjadi semasa, relevan dan dinamik. Ini selari dengan perspektif kajian ketamadunan itu sendiri yang mengetengahkan ketamadunan masa lalu, masa kini dan masa depan.

"Kita ingin berbincang tentang isu masa kini, dan apa yang akan terjadi pada masa hadapan," katanya ketika berucap merasmikan bengkel Training of Trainers TITAS Siri 1/2011) di sini baru-baru ini.

Bengkel tersebut yang julung kali dianjurkan oleh UPM dengan kerjasama Jabatan Pengajian Tinggi, KPT bertujuan untuk meningkatkan keupayaan serta mencari kaedah baru yang boleh memberi nilai tambah dalam penyampaian kursus itu.

ToT TITAS 2011 disertai oleh 94 peserta yang terdiri daripada tenaga pengajar subjek TITAS di 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara.

Bengkel dirasmikan oleh Pengarah Pengurusan Pembangunan Akademik Jabatan Pengajian Tinggi KPT, Prof Madya Dr Zarida Hambali.

Mengulas mengenai ToT TITAS 2011, Prof Madya Dr Zaid yang juga pensyarah di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia UPM berharap ia dapat mencetuskan motivasi bagi merangsang kecemerlangan minda dan seterusnya melahirkan tenaga pengajar TITAS yang berwibawa.

"Saya berharap penganjuran program ini dapat memberi dorongan kepada semua pengajar kursus TITAS untuk melipatgandakan usaha ke arah kelangsungan kursus ini," katanya.

Artikel Lain