KOTA KINABALU: Pengajian bertaraf dunia pada kadar mampu, fleksibiliti pekerjaan, di samping gaya hidup multi-etnik yang selamat dan mesra adalah antara sebab Kanada menjadi destinasi kegemaran pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian.Kanada memberi permit kerja tiga tahun kepada pelajar antarabangsa selepas mereka menyelesaikan kursus pengajian.Ini adalah kelebihan yang ada pada negara itu berbanding pesaingnya yang lain seperti Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS), kata Pesuruhjaya Perdagangan Kanan Suruhanjaya Tinggi Kanada di Kuala Lumpur, Douglas Bingeman.Bercakap kepada wartawan di Pameran Pendidikan Kanada di sini hari ini - satu daripada tiga lokasinya tahun ini - Bingeman berkata dengan sekitar 10,000 program ditawarkan, negara itu berjaya menarik kemasukan 178,000 pelajar antarabangsa dari lebih 160 negara pada 2009.Beliau berkata sejarah perhubungan pendidikan Malaysia-Kanada yang bermula sekitar tahun-tahun 70an dan 80an menunjukkan Kanada adalah tempat popular bagi rakyat Malaysia melanjutkan pengajian."Pada tahun ini, dari Malaysia saja, kami mensasarkan intake kira-kira 600 pelajar, peningkatan dari kira-kira 500 pelajar setiap tahun dalam beberapa tahun lepas," katanya pada pameran sehari itu yang disertai oleh lapan institusi Kanada dan Jabatan Visa dan Imigresen Kanada.Suruhanjaya Tinggi itu akan juga mengadakan pameran serupa di Kuching pada 23 Februari, dan di Kuala Lumpur pada 27 dan 28 Februari. - BERNAMA