suria

Kolej Yayasan Sabah Rancang Perkenal Program Ijazah

KOTA KINABALU: Kolej Yayasan Sabah (KYS) merancang untuk memperkenalkan beberapa program peringkat ijazah dan diploma yang dijangka dilaksana selewat-lewatnya tahun depan.

Ketua Eksekutifnya Dr Dayang Aminah Ali berkata antara program itu ialah filem dan dokumentari, serta seni visual.

Buat masa ini KYS menawarkan Diploma Animasi dan Diploma Multimedia menerusi usahasama dengan Universiti Kuala Lumpur, dan KYS ingin mempelopori bidang baru ini dengan lebih mendalam bagi mengembangkan industri seni dan kreatif di Sabah, katanya dalam satu kenyataan, di sini, Jumaat.

Selain itu katanya, KYS juga mahu melahirkan ramai wartawan dan usahawan yang dapat menyokong industri terbabit di Sabah.

Sejak penubuhannya pada 1990, KYS yang berteraskan keperluan industri menerusi Diploma Teknologi Automotif dan Diploma Teknologi Binaan Bangunan telah menghasilkan kira-kira 5,000 modal insan berkemahiran.

Buat masa ini, Dayang Aminah berkata KYS mempunyai hampir 3,000 pelajar yang mengikuti pelbagai program peringkat sijil dan diploma di dua buah kampusnya di bandar raya ini.

Selain itu, beliau berkata KYS juga membina kampus baru yang dijangka siap pada 2013.

Kampus baru itu dapat menampung 4,000 pelajar dan ini akan meningkatkan pengeluaran modal insan di Sabah, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain