GEORGE TOWN: Peratusan mahasiswa yang keluar mengundi pada pilihan raya kampus boleh dijadikan panduan untuk mengukur kecenderungan mereka dalam bidang politik.Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata terdapat jurang besar pada peratusan keluar mengundi antara universiti yang terlibat pada pilihan raya kampus yang lepas."Pada pilihan raya kampus yang lepas, kita lihat ada universiti yang peratusan keluar mengundi mencapai 95 peratus dan ada juga universiti yang mencatatkan hanya 40 peratus," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pelajar Asean mengenai Kelestarian dan Globalisasi di Universiti Sains Malaysia di sini, Isnin.Saifuddin berkata salah satu cara untuk menarik minat dan mendedahkan mahasiswa dalam bidang politik dan demokrasi adalah dengan menggalakkan mereka terlibat dalam politik kampus."Pada kita politik adalah pilihan, kita tidak boleh memaksa orang melibatkan diri dalam politik tetapi kita mesti mencari jalan untuk melibatkan semua orang terutamanya orang muda dan mahasiswa dalam politik," katanya.Katanya ketika ini, terdapat kumpulan mahasiswa yang mengikuti perkembangan politik secara aktif manakala terdapat kumpulan lain yang seolah-olah tidak ambil peduli tentang perkara itu. -BERNAMA