suria

UiTM Kenal Pasti 15 Bidang Pengajian Industri Pertahanan Untuk Ditawarkan

MERBOK: Universiti Teknoloji Mara (UiTM) bersedia memikul tanggungjawab untuk menubuhkan fakulti pengajian berkaitan pertahanan sekiranya diminta oleh kerajaan, kata Naib Canselornya, Datuk Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Beliau berkata, UiTM sudah mengenal pasti 15 bidang pengajian berkaitan industri pertahanan untuk ditawarkan setelah setahun merancang perkara berkenaan.

"Perkara ini telah dimaklumkan kepada Menteri Pengajian Tinggi. UiTM bersedia melaksanakannya pada bila-bila masa yang dikehendaki kerajaan.

"Sudah sampai masanya pengajian berkaitan industri pertahanan ditawarkan dalam negara supaya Malaysia tidak bergantung kepada pakar luar selamanya, memandangkan bilangan yang ditawarkan dalam bidang ini juga sangat terhad.

"Memiliki kepakaran pertahanan bukan bertujuan untuk berperang. Dalam masa aman, kelahiran lebih ramai pakar membantu perkembangan industri ini yang boleh dieksport," katanya kepada pemberita pada Program Apresiasi UiTM Merbok, Rabu.

Menurut Dr Sahol Hamid, bidang yang boleh ditawarkannya ialah bertaraf profesional seperti teknologi kapal selam, peluru berpandu, radar, kereta kebal dan teknoloji komputer pertahanan.

UiTM sudah menghubungi beberapa universiti terkemuka dunia dan negara seperti India dan China telah menyatakan kesediaan mereka membantu penubuhan fakulti pertahanan, katanya.

Artikel Lain