Radin Umar melancarkan Portal Sasaran Kerja Tahunan (SKT) Akademik, Sistem Akauntabiliti Kewangan Pusat Tanggungjawab (SAK-PTJ), Manual Pelan Pengurusan Bencana, Dasar Hijau dan Tabung Kebajikan Staf UPM di Majlis Perutusan 100 Hari Naib Canselor UPM di universiti berkenaan, Isnin. - Foto THE STAR Oleh RAJA FAISAL HISHAN SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) dipilih sebagai peneraju pusat penyelidikan aeroangkasa bertaraf dunia bagi Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC) dalam usaha mengembangkan bidang aeroangkasa di negara ini selain memenuhi keperluan industri. Naib Canselor UPM, Datuk Ir Dr Radin Umar Radin Sohadi berkata, sebagai peneraju pusat tersebut, UPM perlu bertindak sebagai kordinator bagi menggemblengkan pakar-pakar yang berada di Malaysia supaya dapat menyumbangkan kepakaran mereka untuk teknologi berkaitan aeroangkasa.Katanya, ini adalah salah satu inisiatif kerajaan mewujudkan perkongsian kukuh antara penggiat industri dan tenaga akademik dalam memperkembangkan industri aeroangkasa di negara ini."Industri strategik dan dinamik ini akan membawa banyak signifikan kepada negara dari segi aeroangkasa. UPM membida menjadi peneraju pusat penyelidikan aeroangkasa dan pembidaan itu melibatkan universiti tempatan."UPM diumumkan sebagai peneraju universiti oleh jawatankuasa bertindak baru-baru ini," katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perutusan 100 Hari Naib Canselor UPM, di sini, Isnin.Dalam majlis yang sama, Radin Umar turut melancarkan Portal Sasaran Kerja Tahunan (SKT) Akademik, Sistem Akauntabiliti Kewangan Pusat Tanggungjawab (SAK-PTJ), Manual Pelan Pengurusan Bencana, Dasar Hijau dan Tabung Kebajikan Staf UPM.Menurut Radin Umar, jawatankuasa bertindak itu yang juga rakan kongsi strategik usahasama tersebut terdiri daripada European Aeronautic Defence and Space Company (EADS), Rolls Royce, Composites Technology Research Malaysia (CTRM), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Kewangan, Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) dan Kementerian Pengajian Tinggi.Katanya, usahasama itu turut melibatkan Universiti Sheffield dan universiti tempatan seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM)."Penyelidikan aeroangkasa yang dibuat oleh universiti akan dapat menyokong industri tersebut. Dan UPM akan bekerjasama dengan industri khususnya dalam mengeluarkan standard-standard pembangunan industri yang bersifat realistik," katanya. Dalam pada itu, Perunding Teknikal bagi AMIC, Dr Mohd Roshdi Hassan berkata, antara penyelidikan yang dilaksanakan oleh AMIC ialah bahan api alternatif dari alga, kaedah baru pembentukan struktur pesawat dari bahan komposit, penggunaan bahan yang berasaskan biokomposit bagi panel dalaman pesawat dan juga yang berkaitan dengan avionik.AMIC merupakan satu pusat penyelidikan bersifat multidisplin kerana pakar-pakar dari UPM yang akan terlibat dengan AMIC datang daripada Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Sais dan Fakulti Pertanian.Penubuhan AMIC diluluskan oleh kerajaan Malaysia ketika Mesyuarat Majlis Aeroangkasa Malaysia pada 1 Disember tahun lalu.Sebanyak RM40 juta diperuntukkan pada AMIC. Untuk jumlah tersebut, RM20 juta datang dari kerajaan negara ini manakala RM20 juta dari EADS, Rolls Royce dan Sprit Aerosystem.AMIC dijangka akan memulakan operasinya pada pertengahan tahun ini dengan memulakan projek penyelidikan yang telah dikenalpastikan oleh jawatankuasa bertindak.Sementara itu, Radin Umar berkata, cabaran UPM di pentas antarabangsa bergantung kepada keupayaan universiti menguruskan bakat yang ada.Jelasnya, pihak pentadbir seharusnya menghargai dan meraikan kepelbagaian dan bakat yang ada di UPM; dalam perkataan lain "one size doesn't fit all"."Saya katakan mereka ini sebagai outstanding dan outliers. Mereka ini hebat tetapi adalah kita mempunyai sistem untuk mengambil kira bakat dan keupayaan tersebut?" katanya.Sehubungan itu, Radin Umar menjelaskan, pihak universiti melancarkan portal SKT Akademik dan SAK-PTJ untuk memberi kemudahan dan fleksibiliti kepada mereka dalam kategori itu untuk memilih sumbangan utama mereka kepada universiti.Katanya, menerusi portal tersebut, sistem penilaian prestasi warga akademik UPM yang lebih fleksibel dapat diketengahkan."Bagi mereka yang boleh menghasilkan jurnal bermutu tinggi, kita galakkan mereka untuk berbuat demikian. Mereka yang boleh mengajar dengan baik, teruskan mengajar. "Ia juga menguruskan stres yang dihadapi staf akademik. Sekiranya mereka tidak cemerlang dalam satu aspek, mereka boleh fokus kepada aspek lain. "Secara keseluruhannya, universiti masih mencapai keseimbangan dalam pelbagai aspek. Universiti akan memberi ruang dan peluang kepada golongan outstanding dan out-liers tadi untuk menonjolkan bakat mereka. Justeru, kita lihat portal tersebut membenarkan mereka untuk berbuat demikian," katanya.Tambahnya, sistem penilaian prestasi sedia ada yang cuba mencapai keseimbangan pada segala aspek seperti pengajaran dan penghasilan jurnal adalah tidak lagi realistik pada keadaan semasa."Kenapa kita hadkan tiga jurnal sekiranya mereka boleh hasilkan 10 jurnal dalam setahun? Ini kerana mereka biasanya cuba mengalihkan fokus kepada bidang lain untuk mencapai keseimbangan," katanya.Jelas Radin Umar lagi, pengurusan bakat yang pelbagai amat penting kerana staf yang berminat terhadap kerja mereka akan mencurahkan lebih banyak usaha dan komitmen. Sementara itu, Radin Umar memberitahu, pihak universiti mewajibkan semua pelajar tahun akhir menduduki ujian bahasa Inggeris sejak minggu lepas dan berakhir pada Jumaat ini bagi memantau tahap kompetensi mereka dalam bahasa Inggeris.Ini ekoran laporan My3s (Soft Skills Scale) yang dibuat oleh kumpulan penyelidik pada Oktober tahun lalu mendapati 67 peratus daripada pelajar semester pertama UPM mengakui tidak berupaya bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik.Katanya, mereka dinilai dari aspek lisan, penulisan dan bagaimana mereka melahirkan hujah dengan jelas."Selepas itu, pihak universiti akan mengkaji dapatan penilaian tersebut untuk merangka tindakan susulan kelak. Objektif utamanya adalah untuk menghasilkan graduan yang dikehendaki oleh majikan."Maksudnya mereka boleh bercakap, menulis, menyampaikan hujah, berpemikiran kritis dan mempunyai etika yang baik," katanya.