MELAKA: Pengajian bidang sosial di universiti harus dipertingkat bagi membantu usaha kerajaan mentransformasikan masyarakat di negara ini menjadi sebuah komuniti yang berjaya dan maju.Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata untuk itu, universiti harus memastikan jumlah pengambilan pelajar dalam bidang tersebut sentiasa seimbang dengan bidang-bidang lain.Pada masa yang sama, persepsi masyarakat yang masih menganggap dasar berkaitan sosial sebagai kelas kedua perlu diubah supaya dasar itu dilihat sama penting dengan dasar lain, katanya kepada pemberita, di sini malam Rabu.Beliau yang ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Wacana kepimpinan Perdana Pembangunan Sosial juga melihat persepsi masyarakat itu sebagai antara faktor pengekang kepada pelaksanaan program pembangunan sosial di negara ini."Bagaimana kita mengarusperdanakan pembangunan sosial dalam pembangunan negara? Bukan ia tidak dilakukan tetapi dasar sosial seperti dasar sosial negara, dasar wanita, dasar belia, masih dianggap seolah-olah macam dasar kelas kedua oleh masyarakat tetapi kepada kerajaan tidak," katanya. - BERNAMA