suria

Parlimen Mahasiswa Medium Pelajar Suarakan Pandangan Berlandaskan Demokrasi

GEORGE TOWN: Parlimen Mahasiswa, sekirnya dilaksanakan secara berkesan, akan menjadi medium untuk mahasiswa menyuarakan pandangan terhadap isu tertentu berlandaskan sistem demokrasi.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata ia juga boleh melatih mahasiswa dalam proses membuat keputusan.

"Parlimen Mahasiswa dimulakan di Universiti Sains Malaysia (USM) dengan nama Dewan Perundingan Pelajar. Ia juga boleh dimulakan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lain dengan cara mereka sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pembentukan Parlimen Mahasiswa di sini, Jumaat.

Beliau berkata setiap IPTA yang ingin mewujudkan Parlimen Mahasiswa boleh menggunakan nama dan modul yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing.

Katanya bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat oleh Parlimen Mahasiswa itu diperakui oleh pihak univesiti, ia perlu diwujudkan secara sah di IPTA yang terlibat.

"IPTA yang ingin mewujudkan Parlimen Mahasiswa ini perlu memperinci cara pelaksanaannya. Di manakah kita akan letak Parlimen Mahasiswa ini, adakah di bawah Perlembagaan Universiti atau bidang kuasa lain?," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain