MIRI: Universiti Curtin, Sarawak akan menawarkan kursus Bacelor Sastera (Pengajian Borneo) untuk pengambilan Julai depan.Kursus itu adalah unik buat Curtin Sarawak yang mana ia merupakan satu-satunya kampus Curtin yang menawarkan kursus tersebut, di samping kurikulum dan bahan-bahan kursusnya diasaskan di sini.“Kami mengasaskan kursus ini dengan tujuan memelihara keunikan sejarah dan warisan sosio-budaya Borneo sejajar dengan komitmen kami dalam mempromosikan pemahaman Borneo secara menyeluruh,” kata Pro Naib-Canselor, Universiti Curtin, Profesor Ian Kerr.Kursus tersebut bakal merangkumi pengajian kebudayaan, sejarah, bahasa, politik, ekonomi, alam sekitar, sumber semulajadi, pembangunan mapan dan isu pribumi Borneo.Direka untuk mencabar pemikiran dan merangsang minat terhadap sejarah dan sosio-budaya Borneo, kursus tersebut turut memberi penekanan dari segi kemahiran seperti kemahiran merumus soalan-soalan berkaitan penyelidikan, menjejak dan menganalisa secara kritikal sumber bahan-bahan serta berkomunikasi secara efektif keputusan-keputusan yang diperolehi daripada penyelidikan yang dijalankan.Antara hasil pembelajaran yang akan diperolehi daripada pengajian kursus tersebut adalah kemampuan untuk menentukan pelbagai pendekatan berbeza bagi tujuan pembelajaran dan penyelidikan; menerangkan karektor utama dari segi sosial, kebudayaan dan sejarah serta mengenalpasti sejarah penting yang membentuk sosio-budaya kontemporari.Hasil pembelajaran ini juga akan membolehkan pelajar membezakan persamaan asas dan perbezaan antara pelbagai komuniti dan masyarakat pribumi dan bukan pribumi, di samping menganalisis organisasi sosial masyarakat dan corak migrasi yang menyumbang kepada kebudayaan kompleks Borneo dari segi geografi.Tambahan pula, pengajian kursus ini diselitkan elemen menarik yang sering dikaitkan dengan Borneo seperti orang utan dan burung kenyalang, hutan hujan dan alam semulajadi, sejarah zaman kolonial dan peperangan serta adat dan upacara suku kaum yang unik.Setelah tamat pengajian itu kelak, para pelajar akan berpeluang memilih karier dalam bidang perkhidmatan awam dan pendidikan atau menjadi wartawan, pegawai perhubungan awam, penulis skrip atau pengarah dokumentari.Kursus tersebut diajar dalam Bahasa Inggeris dan pemohon harus memastikan kompetensi mereka berbahasa Inggeris dengan menepati kelayakan yang dikehendaki oleh Universiti Curtin. Kursus ini ditawarkan sepenuh masa dan pelajar dapat menamatkan pengajian dalam masa minimum tiga tahun atau selama enam semester. Terdapat dua pengambilan setiap tahun iaitu pada bulan Mac dan Julai.Untuk keterangan lanjut mengenai Bacelor Sastera (Pengajian Borneo), layari laman web www.curtin.edu.my, hubungi Jabatan Perekrutan Pelajar Curtin Sarawak di talian +60 85 443939 atau e-mail [email protected].