suria

UKM Wakili Malaysia Pada CIMA GBC 2011 Di Chengdu Bulan Depan

KUALA LUMPUR: Team Agilis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memenangi pusingan dalam negara bagi Cabaran Perniagaan Global (GBC) Ketiga.

Kemenangan berkenaan membolehkan mereka bertanding di peringkat dunia yang dijadualkan berlangsung di Chengdu, China, pada 23-24 Julai ini.

"Peringkat akhir dunia menjanjikan acara yang mencabar dengan 17 pasukan bertanding di peringkat antarabangsa bagi gelaran Juara Global," demikian menurut Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA) dalam satu kenyataan Khamis.

CIMA GBC 2011 merupakan pertandingan pengurusan perniagaan antarabangsa yang direka untuk menampilkan yang terbaik dalam pemimpin perniagaan berpotensi di kalangan mahasiswa.

Antara peserta yang bakal bersaing di Chengdu adalah pasukan yang menang dari Australia, Bangladesh, China, Hong Kong, India, Ireland, Timur Tengah, Pakistan, Filipina, Russia, Vietnam, Indonesia, Singapura, Afrika Selatan, Sri Lanka dan UK.

Di sana mereka akan membentangkan kes perniagaan kepada delegasi CIMA dan panel penilai yang terdiri daripada pakar yang akan memilih pemenang.

Kes perniagaan akan menumpukan kepada CeeCee, syarikat perniagaan fesyen global yang berdepan dengan isu berhubung hala tuju masa depan dan kestabilan syarikat.

Menurut CIMA, pusingan Malaysia berlangsung pada 11 Jun di mana Team Agilis mengalahkan 29 pasukan lain.

Tempat kedua diraih Team Horizon dari Kolej TAR manakala tempat ketiga disandang pasukan Team Underdogs dari HELP University. - BERNAMA

Artikel Lain