suria

TEKS UCAPAN MENTERI PENGAJIAN TINGGI PADA MAJLIS PERASMIAN KOLEJ MASTERSKILL KUCHING

BERIKUT adalah Teks Ucapan Penuh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin Pada Majlis Perasmian Kolej Masterskill Kampus Kuching, Selasa, 28 Jun 2011.

1. Pertamanya, sukalah saya melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah Taala, kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, maka dapat saya bersama-sama hadir ke Majlis Perasmian Kolej MASTERSKILL, Kampus Metro Kuching dan juga Penyerahan Komputer Riba kepada pelajar-pelajar MASTERSKILL.

2. Saya juga mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan Pendidikan MASTERSKILL Berhad (MEGB) dan warga Kolej MASTERSKIL kerana menjemput saya untuk merasmikan Majlis pembukaan Kolej MASTERSKILL Kampus Metro Kuching ini.

3. Saya dimaklumkan, kampus Metro Kuching ini merupakan kampus keenam selepas pertubuhan kolej universiti iaitu di Cheras dan kampus-kampus pengajian seperti di Johor Bahru, Ipoh, Kota Bharu dan Kota Kinabalu. Dengan wujudnya keenam-enam kampus Masterskill di seluruh negara, saya difahamkan ia mampu menyediakan lebih 19,000 tempat pengajian dalam pelbagai bidang pengajian dan merangkumi pelbagai peringkat pengajian; iaitu dari peringkat diploma hinggalah ke peringkat ijazah lanjutan. Tahniah dan syabas kepada MEGB dan juga warga-warga MASTERSKILL.

PELAN STRATEGIK PENGAJIAN TINGGI NEGARA DAN PERANAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI SWASTA

4. Sepertimana yang kita sedia maklum, negara kita pada ketika ini sedang pesat membangun dan juga memperkasakan sektor pengajian tingginya, melalui perlaksanaan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN). Hasrat perlaksanaan pelan ini adalah murni, yakni bagi memastikan Malaysia sebagai sebuah negara membangun dan sedang meningkat maju, dapat menyediakan sebuah ekosistem pengajian tinggi yang bukan sahaja diiktiraf sebagai bertaraf dunia, malah mampu menjadi hab kecemerlangan pengajian tinggi serantau.

5. Semenjak pelan ini mula dilancar dan dilaksanakan, pelbagai pelan tindakan, agenda kritikal serta program – program telah berjaya dibangunkan serta dilaksanakan bertujuan untuk menjurus sektor pengajian tinggi negara, samada dari sektor awam mahupun swasta yang menjurus ke arah pembangunan iklim sektor pengajian tinggi negara yang mampu bukan sahaja melahirkan institusi pengajian tinggi yang bertaraf dunia dan diiktiraf, malah mampu menzahirkan agenda pembangunan modal insan yang mampu mendepani cabaran semasa dan akan datang dalam konteks global.

6. Dalam fasa kedua Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN), yang baru sahaja dilancarkan baru-baru ini, pihak kementerian telah mengambil beberapa pendekatan untuk melonjakkan lagi sumbangan sektor pengajian tinggi dalam menghasilkan modal insan unggul dan usaha menjayakan Malaysia Inovatif melalui 5 fokus-fokus baharu iaitu pengukuhan usaha melahirkan modal insan, memperkayakan kreativiti dan inovasi, memaksimumkan ekosistem pengajian tinggi, memanfaatkan globalisasi dan kepemimpinan institusi yang bertransformasi.

7. Perancangan dan gerak kerja bagi menjayakan fokus – fokus utama bagi Fasa kedua pelan tindakan ini sedang dijalankan, dan ia memerlukan penglibatan secara holistik yang bukan hanya melibatkan pihak kementerian sahaja, malah perlu mendapat sokongan dan juga penglibatan kesemua “stakeholders” yang terlibat dalam pembangunan dan kemajuan sektor pengajian tinggi negara. Dan tentunya sebagai salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang ada dalam negara, pihak Masterskill seharusnya terlibat secara proaktif dalam usaha kerajaan untuk membangun dan memaksimumkan ekosistem pengajian negara yang lebih dinamik, berdaya saing serta berteraskan inovasi dan kreativiti ini.

8. Dalam hal ini, kementerian sememangnya mengalu-alukan penyertaan dan penglibatan IPTS yang lebih aktif dan strategik agar setara dengan peranan yang dimainkan oleh Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam negara. Dengan jumlah IPTS yang semakin berkembang berbanding IPTA iaitu 488 buah termasuk 52 buah IPTS bertaraf universiti (25 universiti, 22 kolej universiti dan 5 kampus cawangan universiti luar negara) sehingga Mei 2011, saya percaya IPTS boleh menyumbang secara kritikal dan berimpak tinggi dalam pembangunan dan kemajuan negara.

MASTERSKILL DAN PERKEMBANGAN PENGAJIAN SAINS KESIHATAN DI MALAYSIA

9. Seperti yang kita sedia maklum, bidang pendidikan telah dipilih sebagai salah satu daripada Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA). Menjelang tahun 2020, bidang ini disasarkan menyumbang kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) sebanyak RM60.7 bilion berbanding hanya RM27.1 bilion pada tahun 2009. Dalam konteks ini, empat bidang pengajian telah dipilih sebagai kluster disiplin untuk diberikan fokus bagi menjayakan Program Transformasi Ekonomi atau ETP iaitu kewangan dan perniagaan Islam, pendidikan sains kesihatan, kejuruteraan lanjutan serta hospitaliti dan perlancongan.

10. Perkembangan ini sudah tentunya menjadikan bidang pengajian sains kesihatan khususnya antara bidang pengajian yang semakin penting dan berkembang di IPT dalam negara. Saya dimaklumkan sehingga kini, terdapat tujuh buah IPTA dan 62 buah IPTS yang sedang menawarkan pengajian sains kesihatan dalam pelbagai program di seluruh negara. Ini termasuk tiga IPTS di Sarawak iaitu Universiti USCI, Pusat Teknologi & Pengurusan Lanjutan (PTPL) Sarawak dan Kolej Masterskill (Kampus Metro Kuching).

11. Sebagai sebuah kumpulan pembekal pengajian tinggi negara yang meletakkan bidang tujahan atau nic sains kesihatan bersekutu dan perubatan, pihak Masterskill mempunyai peranan yang tersendiri dalam membantu pihak kementerian membangun dan memperkasakan sektor pengajian tinggi negara. Apatah lagi, melalui Program Transformasi Ekonomi yang berinisiatifkan sektor swasta, IPTS seperti Masterskill mempunyai kelebihan yang tersendiri dalam menyumbang kepada kejayaan NKEA dan seterusnya transformasi negara.

12. Peranan kritikal yang perlu dimainkan oleh Masterskill ini perlu didukung dengan kekuatan yang perlu ada pada mereka. Dalam bidang sains kesihatan misalnya, pembangunan modal insan bukan sahaja melibatkan faktor penguasaan ilmu semata-mata, tetapi turut merangkumi aspek-aspek lain seperti pengurusan dan perkhidmatan. Ini kerana graduan yang ingin dihasilkan bukan sahaja perlu memiliki tahap penguasaan ilmu yang baik dan tinggi, malah menguasai aspek pengurusan manusia dan juga ketrampilan perkhidmatan yang bermutu dan memenuhi kehendak pelanggan. Oleh yang demikian, pihak Masterskill perlulah memastikan penyediaan pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti dan bernilai tinggi perlu diberi fokus utama dalam institusi – institusinya.

13. Selain itu, dalam menjayakan agenda pembangunan modal insan yang berkualiti, institusi pengajian tinggi tentunya perlu sentiasa proaktif bagi mempertingkatkan kualiti dan jaminan nilai perkhidmatan yang diberikannya dari segenap segi. Institusi perlulah menerapkan nilai peningkatan kualiti berterusan atau “continous quality improvement” dalam tadbir urus, penyediaan ilmu dan juga keberhasilan graduan yang bernilai tinggi dalam pasaran modal insan diperingkat nasional dan global. Usaha ini dapat dijayakan sekiranya institusi seperti Masterskill sentiasa mengambil usaha untuk melihat keserataan institusinya di peringkat nasional dan global.

14. Melalui proses keserataan atau “benchmarking” maka sesebuah institusi itu dapat menilai dirinya, melakukan penambahbaikan serta dapat menerapkan inovasi semasa bagi mempertingkatkan daya saing dan kualiti institusi. Hanya melalui proses inilah sesebuah institusi akan dapat bukan sahaja bersaing dengan baik dalam sektor pengajian tinggi negara malah usaha ini juga akan dapat membantu meningkatkan kualiti pembangunan modal insan negara khususnya dalam sektor sains kesihatan.

MEMAKSIMUMKAN PERANAN MASTERSKILL

15. Sewaktu melancarkan Pelan Tindakan Fasa Dua, Pelan Startegik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) baru- baru ini, saya telah memberikan perhatian yang serius kepada IPTS. Dalam hal ini, saya telah menggesa supaya peranan dan sumbangan IPTS tidak boleh hanya dilihat dari sudut akses dan kemasukan pelajar semata-mata sebaliknya perlu memaksimumkan peranan dan sumbangan mereka dalam aspek-aspek lain termasuk penyelidikan dan inovasi. Sehubungan dengan itu, IPTS khususnya Masterskil perlu memainkan peranan yang lebih aktif bukan sahaja dalam usaha perkembangan ilmu melalui proses pembelajaran dan pengajaran, malah turut juga mempelopori cabaran membangunkan ilmu pengetahuan baharu dan pengkomersilan melalui proses penyelidikan dan inovasi.

16. Tentunya sebagai institusi sektor pengajian tinggi swasta, yang lebih dekat dan lebih sedia maklum dengan kehendak industri, institusi ini mampu membangunkan penyelidikan dan inovasi dalam bidang – bidang dan pemfokusan yang mampu mendatangkan manfaat dan mencipta kekayaan, terutamanya dalam bidang sains kesihatan. Ini sebenarnya selari dengan harapan kita untuk melihat IPTS dapat mempelbagaikan sumber pendapatan mereka.

17. Selain itu, pihak Masterskill juga perlu memikir dan menjalankan usaha – usaha pembangunan ilmu ini secara bersepadu dan berkumpulan. Justeru itu, perlulah adanya usaha untuk berkolaborasi dengan institusi – institusi pengajian tinggi yang sealiran dengannya, dari dalam dan luar negara dalam bidang ilmiah; terutamanya dari aspek pembangunan ilmu dan juga peningkatan kualiti dalam sektor pengajian sains kesihatan dan perubatan. Usahasama dan kolaborasi ini juga akan turut membantu agenda pengantarabangsaan institusi ini untuk menjadi institusi yang dirujuk atau “referred institution” dalam bidang tujahannya.

18. Dan apabila bercakap soal pengantarabangsaan, saya menyarankan Masterskill juga perlu mempergiatkan usaha khususnya mempertingkatkan kemasukan pelajar dari luar negara untuk mengikuti program pengajian dalam kampus – kampusnya, sebagai salah satu cara untuk menzahirkan ekosistem pengajian tinggi negara sebagai hab pembelajaran bertaraf dunia di peringkat serantau dan antarabangsa.

SARAWAK DAN PENGAJIAN TINGGI

19. Seperti negeri-negeri yang lain, Sarawak tetap diberikan perhatian dalam soal pengajian tinggi. Sejak dari tahun 1997 hingga Februari 2011, sebanyak RM2.19 bilion jumlah pinjaman telah diluluskan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 95,936 orang pelajar Sarawak di IPT seluruh negara. Selain itu, Sarawak harus berbangga kerana memiliki pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang dapat menjana modal insan tempatan untuk pembangunan dan kemajuan negara.

20. Selain memiliki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Sarawak, Negeri Bumi Kenyalang ini juga mempunyai 34 INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI SWASTA (IPTS) sama ada di peringkat universiti mahupun kolej swasta.

21. Saya difahamkan hampir 10,000 pelajar sedang mengikuti pengajian di 34 buah IPTS di seluruh Sarawak. Walau bagaimanapun, kita mendapati sebahagian besar daripada anak-anak Sarawak mengikuti pengajian mereka di IPT Semenanjung. Sehubungan dengan itu, saya berharap, dengan wujudnya Kolej Masterskill, Kampus Metro Kuching ini, ia boleh menarik minat lebih ramai minat dan penyertaan daripada anak-anak tempatan di Sarawak untuk belajar di sini tanpa merantau jauh ke Semenanjung. Saya percaya kualiti yang ditawarkan oleh IPTS di Sarawak adalah sama dengan apa yang ditawarkan oleh IPTS di Semenanjung.

22. Pada hari ini juga, pihak Masterskill akan melancarkan Program Pemberian Netbook Masterskill yang bernilai RM10 Juta. Program ini berperanan menyediakan kemudahan teknologi kepada para pelajarnya dalam usaha pihak Masterskill menambah nilai perkhidmatan dan juga mutu pengajaran dan pembelajaran di kalangan para pelajarnya. Usaha ini adalah amat baik dan akan berperanan untuk meningkatkan kualiti pembelajaran di kalangan para pelajar dan diharap akan dapat memberikan nilai tambah sewajarnya kepada pengalaman pembelajaran para pelajar ketika menuntut di institusi ini.

23. Akhir kata, izinkan saya untuk sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur diatas kesudian mereka untuk menjemput saya ke majlis pada hari ini, dan dengan lafaz “ Bismillahirrahmanirrahim” saya dengan rasminya melancarkan Kolej Masterskill Kampus Metro Kuching.

Artikel Lain