suria

PDRM, UiTM Kerjasama Bina Akademi Kepolisan

SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Khamis memeterai kerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) antara lain mewujudkan Akademi Kepolisan di UiTM bagi mendedahkan penuntut universiti itu mengenai kerjaya dalam bidang berkenaan dan peluang pengajian kepada anggota polis yang berminat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata PDRM menyambut baik hasrat UiTM bagi menubuhkan akademi berkenaan yang akan mempertingkatkan kemahiran dan kelayakan akademik anggota polis selain menjalankan kajian secara bersama bagi meningkatkan mutu perkhidmatan pihak berkuasa itu.

"Kita harap jiwa kepolisan ini akan didedahkan kepada penuntut UiTM yang bakal menjadi ketua negara pada masa depan supaya mereka faham bidang tugas polis dan dalam masa yang sama bagi pihak kita akan mempertingkatkan sistem penyampaian PDRM," katanya dalam sidang media selepas mewakili PDRM menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama itu dengan UiTM di sini.

Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar mewakili institut pengajian tinggi itu di majlis tersebut.

Dr Sahol Hamid berkata fasa pertama kerjasama PDRM dan UiTM untuk menggerakkan akademi itu, Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur akan terbabit secara langsung dalam pengendalian Kursus Bahasa Inggeris Komunikatif pada 18 hingga 22 Julai ini di UiTM membabitkan 25 anggota polis frontline dan polis pelancong di Lembah Klang.

Dr Sahol Hamid berkata persediaan untuk memulakan akademi itu telah lama disiapkan dan bakal bermula pada bila-bila masa lebih-lebih lagi selepas termeterainya MoU pada Khamis.

Beliau berkata akademi itu akan ditempatkan di kampus utama di Shah Alam dan diletakkan di bawah Fakulti Pengajian Polisi.

"Pelbagai kajian bersama boleh dilakukan antara UiTM dan PDRM dalam usaha menambahbaik bidang tugas kepolisan yang semakin mencabar dari sehari ke sehari. UiTM sendiri mempunyai makmal berteknologi tinggi dan canggih dalam bidang Sains Forensik, Forensik Undang-undang dan Forensik Perakaunan," katanya.

Dr Sahol Hamid berkata UiTM telah lama menjalinkan kerjasama dengan PDRM termasuk menawarkan peluang pengajian kepada anggota pangkat rendah (APR) di peringkat diploma kepada anggota yang berminat serta terbaru, mendapatkan kebenaran untuk menukar pegawal keselamatan di universiti itu kepada polis bantuan.

Antara perancangan dalam MoU itu termasuklah mewujudkan sebuah pejabat polis bantuan dalam kampus UiTM, peluang pengajian kepada APR melalui mod luar kampus, pengajian jarak jauh (PJJ) atau pengajian secara maya (e-PJJ).

Sementara itu, mengenai dakwaan beberapa anggota polis menggunakan kekerasan terhadap beberapa orang awam ketika perhimpunan haram Sabtu lepas, Ismail berkata pihaknya bersedia megambil tindakan tegas sekiranya terbukti anggotanya menyalahi prosedur operasi standard (SOP).

"Polis bertindak mengikut SOP dan udang-undang yang ditetapkan. Segala nasihat telah diberikan tetapi ada yang berdegil dan cuba mencetuskan kekacauan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain