KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada Rabu telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Imperial College London untuk menghasilkan kenderaan yang mengeluarkan asap rendah karbon.Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr Zaini Ujang berkata, teknologi yang dihasilkan akan mengurangkan penghasilan karbon dioksida oleh kenderaan, sekaligus mengurangkan pencemaran.Di bawah perjanjian itu, sejumlah RM10 juta diperuntukkan untuk menghasilkan kenderaan menggunakan sel bahan api hidrogen, termasuk membangunkan dan menampilkan reka bentuk enjin kenderaan."Enjin itu juga boleh digunakan untuk kenderaan-kenderaan hibrid," katanya pada satu persidangan media di majlis menandatangani MoU dimana beliau mewakili UTM, manakala Imperial College diwakili Rektornya Prof Sir Keith O'Nions.Dr Zaini berkata, projek itu yang merupakan sebahagian daripada kolaborasi dengan Majlis Penasihat Teknologi Proton dan pembuat kereta sport Lotus, kini di peringkat akhir, dan ia dijangka siap tahun depan.Menurutnya, di bawah kolaborasi itu, UTM akan menghantar 10 pelajar bagi mengendalikan penyelidikan untuk ijazah PhD mereka di institusi pengajian tinggi British itu.Imperial College London adalah institusi pengajian tinggi beraliran sains dengan reputasi cemerlang dalam bidang pengajaran dan penyelidikan. - BERNAMA