GEORGE TOWN: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu warga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) supaya berani mencabar status quo dalam usaha memperkasakan universiti itu.Tuanku Syed Faizuddin, yang juga Canselor UniMAP, bertitah mereka seharusnya berani mengambil risiko dan tidak takut dengan kesilapan malah menjadikan kesilapan sebagai antara cabaran besar untuk membaiki keadaan.Bertitah merasmikan pra-pelancaran 'Sedekad UniMAP' di atas kapal pelancongan Superstar Libra di perairan Pulau Pinang malam tadi, baginda berharap warga universiti itu sentiasa berfikiran terbuka dan positif serta kompeten dalam bidang masing-masing.Tuanku Syed Faizuddin mahu UniMAP yang bakal memasuki usia sedekad tahun depan mewujudkan tiga program baru iaitu teknologi sukan, marin dan eksotik bagi melebarkan saiz programnya.Raja Muda Perlis bertitah langkah itu sejajar dengan aspirasi kerajaan sama ada secara tersurat atau tersirat untuk membangunkan pendidikan tinggi negara. Sebelum itu, ketibaan baginda dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di atas kapal mewah yang boleh membawa lebih 1,500 penumpang itu disambut Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin dan Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP Tan Sri Dr Zainul Ariff Hussain.Sepanjang pelayaran, baginda dan Raja Puan Muda turut menyertai para dekan dan timbalan dekan UniMAP dalam program percambahan minda ke arah memperkasakan universiti itu bermula malam tadi sehingga awal pada Khamis. -BERNAMA