JAKARTA: Dua graduan perubatan dari Malaysia Dr Mohd Zafrullan Zamberi dan Dr Muhammad Nasum Abdul Kuthosee muncul mahasiswa paling cemerlang Universiti Kristen Krida Wacana (UKRIDA) di sini untuk kumpulan doktor Angkatan ke-82 universiti itu.Mereka masing-masing menduduki tempat pertama dan kedua daripada tiga penerima Anugerah Cum Laude, iaitu penghargaan tinggi universiti kepada mahasiswa berprestasi cemerlang yang memperoleh Purata Gred Nilai Kumulatif (PGNK) 3.50 dan ke atas dalam pengajian.Dr Mohd Zafrullan menamatkan pengajian dengan PGNK 3.58 manakala Dr Muhammad Nasim pula dengan PGNK 3.54. Penerima ketiga anugerah itu ialah seorang mahasiswa dari Indonesia yang mendapat PGNK 3.51.Sebagai mahasiswa paling cemerlang, kedua-dua pelajar itu diberi penghormatan mendahului senarai 120 graduan perubatan UKRIDA pada Majlis Pelantikan Doktor Angkatan ke-82, di universiti itu baru-baru ini.Sejumlah 26 graduan dari Malaysia, mengangkat sumpah sebagai doktor perubatan pada majlis itu.Dr Mohd Zafrullan menyifat kejayaannya itu sebagai bukti bahawa mahasiswa Malaysia boleh berjaya di mana saja dan bersyukur beliau dapat menamatkan pengajian dan latihan klinikal dengan jayanya."Pengalaman menjalani ko-asisten (latihan klinikal) di hospital di sini benar-benar memberi manfaat kerana kami dibenarkan merawat pesakit, membuat pembedahan kecil, menyambut kelahiran bayi dan latihan lain yang bersifat praktikal."Ia pengalaman yang berbeza daripada rakan-rakan kami yang membuat latihan klinikal di Malaysia, United Kingdom dan lain-lain," katanya.Atase Pendidikan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Ludinata Misnun berkata prestasi cemerlang mahasiswa Malaysia membuktikan mereka setaraf dengan lulusan doktor perubatan dari Malaysia yang menuntut di universiti-universiti luar negara yang lain.Sekaligus ia menafikan dakwaan kononnya mahasiswa perubatan Malaysia di Indonesia adalah doktor perubatan kelas kedua, katanya. -BERNAMA