suria

UniMAP Tingkatkan Penguasaan B. Melayu

KANGAR: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan terus meningkatkan penguasaan bahasa Melayu kepada tenaga pengajar dan para pelajar antarabangsanya selain turut mendedahkan mereka dengan budaya masyarakat majmuk di negara ini.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, mereka didedahkan dengan bahasa Melayu sebaik menyertai program minggu suaikenal dan sebaik memasuki semesta pembelajaran, mereka perlu mengambil susbjek bahasa Melayu sekurang-kurangnya untuk satu semester.

"Bagi memantapkan lagi penguasaan bahasa kebangsaan itu, para pelajar antarabangsa juga perlu mengikuti program homestay yang memerlukan mereka tinggal bersama keluarga angkat bagi meningkatkan penguasaan bahasa Melayu serta menghayati budaya masyarakat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Kamarudin berkata, selain program homestay, universiti kejuruteraan itu juga akan menganjurkan perogram "Sanggar Budaya" yang dibiayai sebahagiannya oleh Kementerian Pengajian tinggi yang melalui program itu, mereka juga perlu menetap bersama keluarga angkat untuk memantapkan lagi penguasaan bahasa itu.

Menurutnya, pihaknya juga sedang merangka festival bagi mengetengahkan keindahan bahasa Melayu untuk para pelajar antarabangsa melalui Pusat Hal Ehwal Antarabangsanya yang penyertaanya adalah terbuka untuk semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara. Festival itu yang belum lagi dinamakan akan mengandungi kegiatan berpuisi, berpidato dan berdebat bagi menguji tahap keupayaan mereka dalam bahasa Melayu.

Kamarudin berkata, UniMAP juga terbabit dalam program Maraton Pembudayaan Puisi 1Malaysia yang membabitkan penyertaan ratusan peserta berpuisi tanpa henti yang turut memperlihatkan keupayaan tenaga pengajar antarabangsanya iaitu dari Yemen dan Filipina berpuisi dalam bahasa Melayu.

Maraton itu dianjurkan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dengan kerjasama UniMAP, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Menyentuh mengenai saranan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk memperkukuh bahasa Melayu dalam konteks pembelajaran dan pengajaran serta penyelidikan di institusi pengajian tinggi, beliau berkata, UniMAP sentiasa menyokong penuh usaha murni itu kerana ia bertepatan bagi melahirkan modal insan intelektual untuk negara.

"Hanya dengan penguasaan bahasa Melayu yang baik, dapat kita pastikan pelajar tidak lupa kepada parkara asas yang mendasari perpaduan kaum dan kejayaan negara selama ini," katanya. Kamarudin berkata, usaha memartabatkan bahasa Melayu bukan bertujuan mengetepikan bahasa asing malah setiap individu perlu menguasai sebanyak mungkin bahasa lain.

Bagaimanapun menurutnya, sebagai warga Malaysia, sewajarnya setiap individu perlu menyematkan rasa sayang dan bangga dengan bahasa Melayu kerana sebuah negara tanpa bahasa jatinya akan kelihatan lemah dan tidak bermakna. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain