KUALA TERENGGANU: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mewujudkan sudut pidato bagi melahirkan lebih ramai graduan yang petah berbicara dan mampu mengungkap buah fikiran dengan menyakinkan di hadapan umum.Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT, Muhammad Sufi Ibrahim Shah berkata dengan adanya sudut pidato itu ia boleh memberikan peluang kepada penuntut di UMT menyuarakan pandangan terhadap pelbagai masalah dalam kampus."Kita yakin ramai di sini yang berbakat sebagai pemidato tapi tidak ada tempat yang sesuai untuk mengetengahkan bakat mereka. Jadi, ini boleh dianggap sebagai platform terbaik untuk mereka berkumpul dan meluahkan pandangan masing-masing terutamanya berkaitan isu semasa."Sesiapa sahaja boleh ke sudut itu untuk berpidato setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 2 petang jika ada persoalan yang ingin dibangkitkan," katanya ketika ditemui di sini.Kebanyakan universiti lain termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Teknologi Mara telah memiliki sudut pidato, katanya.Muhammad Sufi berkata MPPUMT menyasarkan penglibatan sehingga 700 pemidato di universiti itu dalam tempoh setahun."Saya juga yakin setiap daripada 70 penuntut UMT akan ada sekurang-kurangnya seorang pemidato yang akan mewakili mereka," katanya. - BERNAMA