Radin Umar Radin SohadiBERIKUT adalah teks ucapan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi, pada Majlis Perutusan 2012, Jumaat 3 Februari 2012.ALHAMDULILLAH, saya panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah kurnia-Nya maka dapatlah kita sama-sama berkumpul di Majlis Perutusan Tahun Baru 2012.Rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua warga UPM.Setiap kali kita melalui tahun baru bermakna berlaku pertambahan usia tetapi pada masa yang sama mengingatkan kita bahawa jangka hayat kita semakin berkurangan.Justeru, kita perlu menggunakan peluang yang ada dengan sebaik-baiknya untuk memberi sumbangan terbaik demi agama, bangsa dan negara sebagaimana sabda Rasulullah Salallah Alaihi Wasalam menerusi sepotong hadis yang bermaksud, “Rebut lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati” (Hadis riwayat al-Hakim danal-Baihaqi).Oleh itu, janganlah lagi kita bertangguh-tangguh untuk melakukan perubahan dan kebaikan agar tidak menyesal di kemudian hari.PELAN STRATEGIK & KPIDalam perutusan 100 hari saya pada bulan April 2011, saya telah menegaskan bahawa kita akan teruskan Pelan Strategik yang telah digubal untuk tempoh 2011–2013 dan melaksanakan penambahbaikan untuk mencapai matlamat yang telah digariskan.Untuk itu, kita telah menggubal KPI Naib Canselor dengan 42 Petunjuk dengan penekanan kepada tiga perkara penting iaitu;Pertama, KPI yang berorientasikan outcome based supaya ia lebih bermakna dan memberi impak kepada pengurusan UPM.Kedua, KPI Naib Canselor diperturunkan dan disejajarkan kepada JPU. KPI JPU seterusnya diperturunkan dan disejajarkan kepada Dekan dan Pengarah dan seterusnya disokong oleh KPI staf supaya ada perkongsian dalam kalangan seluruh warga kerja UPM.Ketiga, pencapaian KPI Naib Canselor diukur setiap 3 bulan untuk menentukan kemajuan, tindakan pembetulan dan perubahan petunjuk prestasi yang perlu dilakukan.PENCAPAIAN SASARANAlhamdulillah pada tahun 2011, secara keseluruhannya kita telah mencapai 92.74% daripada sasaran.Bagi KPI Akademik kita telah mencapai sasaran 89.33%, Penyelidikan dan Inovasi 92.61%, Hal Ehwal Pelajar 95.60%, Jaringan Industri dan Masyarakat 100%, Sumber Manusia 76.89%, Pengurusan Kewangan 80%; dan Perkhidmatan Perpustakaan 96.29%.Setinggi-tinggi syabas dan tahniah diucapkan kepada semua. Dalam sektor akademik, pencapaian dalam skor kendiri SETARA sangat memberangsangkan dengan 84.61% berbanding 72.4% pada tahun 2010.Saya yakin kita berpeluang untuk meningkat rating kita ke Tier 6 dalam Penilaian SETARA 2011 akan datang.Dalam komunikasi berbahasa Inggeris di bawah My3S, kita mencapai 86.15% berbanding 78.36% pada 2010. Saya berpendapat inisiatif UPM melaksanakan TOCIE atau Test on Communication in English ke atas pelajar telah mula membuahkan hasil.Malah Senat UPM telah menetapkan kompetensi tahap 4 perlu diperoleh oleh pelajar ambilan baru 2011/2012 yang lepas sebagai salah satu syarat bergraduat.Dalam masa yang sama kita sedang membangunkan instrumen untuk meningkatkan kompetensi bahasa Melayu kerana masih ada 5%graduat yang masih lemah dalam kemahiran bahasa Melayu meskipun mereka memperoleh kredit dalam keputusan SPM.Ia juga akan dijadikan syarat bergraduat bagi ambilan baru nanti. Apa yang menarik lagi untuk dikongsi ialah pencapaian 43.95% kemasukan pelajar cemerlang peringkat bacelor tahun 2011 dengan CGPA 3.500 berbanding 30.25% yang dicapai pada 2010.Ini membuktikan bahawa UPM merupakan destinasi pilihan untuk pelajar yang cemerlang.Di pentas pengajian siswazah, kita telah berjaya mengeluarkan 369 graduat PhD yakni bilangan paling tinggi yang dikeluarkan oleh universiti dalam negara pada tahun 2011.Saya kira dengan potensi yang ada, kita patut menyasarkan pengeluaran 400 graduan PhD untuk tahun ini dan 500 graduan menjelang 2014.PENCAPAIAN LAIN-LAIN BIDANGSektor penyelidikan dan inovasi pula menunjukkan pencapaian yang cemerlang dengan melepasi sasaran 120% mengikut penilaian kendiri MyRA atau Malaysia Research University Assessment berbanding 109% pada tahun 2010.Dalam bidang penerbitan, kita mencapai faktor impak 2,200 berbanding 1,020 pada tahun 2010.Pencapaian angka 2,000 ini adalah sangat penting kerana dari sudut psikologinya, universiti berkenaan telah mencapai taraf setanding dengan universiti bertaraf dunia.Bagi CIJ pula, kita mencapai 2,338 berbanding 1,600 pada tahun 2010. Justeru, tahniah dan terima kasih diucapkan kepada para penyelidik dan para pelajar.KENAIKAN TARAFKita sedia maklum bahawa Institut Biosains telah diangkat tarafnya menjadi Higher Institutions’ Centres of Excellence (HICoE) dalam bidang vaksin haiwan dan terapeutik oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.Di bawah Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara, sebanyak 20 HICoE disasarkan menjelang tahun 2020. Berdasarkan pencapaian pada tahun 2011, saya kira empat lagi institut di UPM iaitu Institut Pertanian Tropika, Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan, Institut Penyelidikan Produk Halal, dan Institut Penyelidikan Matematik telah bersedia untuk memohon status HICoE.PENJANAAN PENDAPATAN & KEBOLEHPASARAN GRADUANSaya ingin mengangkat topi kepada Timbalan Naib Canselor (HEPA) kerana menyahut cabaran dan berjaya memecahkan ruyungnya dari sudut penjanaan pendapatan daripada Alumni.Sebanyak RM5.97 juta telah diperoleh daripada Alumni pada tahun 2011 berbanding hanya RM800 ribu tahun 2010. Saya pasti ramai lagi dalam kalangan mereka yang berjaya ingin menyumbang dan beramal jariah kepada alma mater mereka demi generasi akan datang.Dari segi Graduate Employability, 83% graduat tahun 2011 mendapat pekerjaan dalam tempoh 6 bulan selepas bergraduat berbanding 75% tanda aras nasional.Kesemua domain GSA khususnya Kemahiran Kerja Berpasukan, Kemahiran Keusahawanan, Etika dan Moral, dan Pemikiran Kritis dan Penyelesaian Masalah juga telah tercapai.Pemerkasaan pembelajaran berpusatkan pelajar, kokurikulum berkredit yang menekankan domain afektif dan psikomotor serta kehidupan kampus Insya-Allah akan memperkasa atribut pelajar dan menjadikan mereka sebagai "functional graduates".Sektor Jaringan Industri dan Masyarakat juga menunjukkan pencapaian yang membanggakan. Pada tahun 2011, sektor ini berjaya membuat penetrasi kepada 1,758 atau 24% daripada 7,229 syarikat bertaraf Government Link Company, Multi-National Company, Public Listed Company dan lain-lain yang telah dikenalpasti sebagai strategik untuk UPM.Peratus pencapaian amat membanggakan berbanding 9% tahun 2010. Dari sudut Kepuasan Majikan terhadap graduat UPM, kita berjaya mencapai skor kendiri 12.26 berbanding 9 pada 2010 daripada skor maksimum 13 mengikut instrumen SETARA.Pada awal tahun 2011, saya telah mencabar Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) untuk menjana pendapatan khususnya sumbangan daripada industri.Saya katakan, portfolio Jaringan Industri dan Masyarakat kerjanya memang bertemu dengan industri untuk menjana wang dan memasarkan graduan kepada majikan.Kalau main golf, mesti bawa masuk geran ke UPM dan saya juga ingin lihat bangunan di UPM dinamakan atas nama penderma dari industri.Beliau telah menyahut cabaran tersebut dan telah berjaya menjana sebanyak RM26.5 juta berbanding RM14.01 juta pada 2010 dengan bantuan tuan-tuan dan puan-puan sekalian.Tahniah diucapkan. Cuma aspek penetrasi komuniti perlu diteliti semula untuk melihat sejauh mana penetrasi itu membawa kesan kepada mereka dan bukan setakat bilangan program sahaja.Pelaksanaan bandar Biomass Serdang yang dimulakan baru-baru ini mungkin boleh dijadikan contoh terhadap program berasaskan komuniti yang menghubung jalinkan kepakaran UPM dengan komuniti setempat yang amat bermakna demi kelestarian alam sekitar, penggunaan sumber yang lestari serta kesejahteraan masyarakat setempat.SUMBER MANUSIAUntuk sektor Sumber Manusia, kita telah berjaya memperoleh satu pensijilan MSISO 9001:2008.Di bawah satu pensijilan ini, prosedur dan sistem kerja telah dapat diseragamkan di seluruh universiti. Dengan ini, keberkesanan dan kecekapan dapat ditingkatkan di samping penjimatan besar dalam kos mendapatkan pensijilan.Dari segi pengurusan bakat pula, peratus pensyarah dengan kelayakan PhD telah meningkat kepada 77.96% berbanding 75.6% tahun 2010.Dalam pada itu, kita juga menghadapi cabaran untuk mengekalkan pensyarah kita daripada dipancing oleh universiti lain khususnya di bawah Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam yang mana mobiliti staf tidak lagi memerlukan syarat mendapat perlepasan dengan izin.Dari sudut lantikan pegawai bukan akademik, apa yang perlu kita tingkatkan bukanlah kelayakan akademik semata-mata tetapi lebih kepada kebolehan melakukan pelbagai tugas atau multi-tasking.Saya berharap Pejabat Pendaftar dapat menyediakan atribut multi-tasking untuk pegawai kita. Pengalaman melawat Kyoto Universiti tahun 2006 memberi iktibar tentang multi-tasking yang mana Miss Honda seorang diri sahaja mampu memberi taklimat tentang Kyoto Universiti di samping bertindak sebagai pemandu van, pembancuh teh, pembentang sejarah dan hala tuju universiti dan menjawab semua soalan dengan tepat dan profesional.Satu lagi isu penting berkenaan sumber manusia yang belum dapat diselesaikan ialah pewujudan instrumen penilaian prestasi yang telus, objektif, stabil dan mantap.Bagi Kumpulan Pegawai Akademik, sistem yang sedia adalah objektif dan stabil. Namun, bagi Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional, saya difahamkan penyediaan instrumen baru mencapai 40% manakala bagi Kumpulan Pelaksana pula masih belum dimulakan.Saya sedar penyediaan instrumen penilaian bagi skim yang bersifat heterogeneous bukanlah satu perkara mudah,tetapi ia bukanlah satu perkara yang mustahil.Di bawah Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam, penilaian yang objektif sangat ketara pentingnya kerana ia melibatkan Exit Policy.Sebagai majikan kita kena berlaku adil dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya. Penilaian secara subjektif hendaklah dielakkan.PENGURUSAN KEWANGAN & PERKHIDMATANUntuk sektor pengurusan kewangan, sektor pengurusan kewangan berjaya memperoleh RM42.3 juta menerusi pelaburan berbanding RM37.3 juta pada 2010.Jumlah RM42.3 juta ini melebihi amaun RM40 juta yang disasarkan untuk 2011. Tentang Clean Bill atau Sijil Bersih daripada Ketua Audit Negara pula, kita akan ketahui kedudukannya pada pertengahan tahun ini.Akhir sekali untuk sektor perkhidmatan perpustakaan, kita juga telah mencapai sasaran bagi Kepuasan Pelanggan dalam kalangan pelajar prasiswazah dan pascasiswazah dari segi akses kepada bahan maklumat dan perkhidmatan dengan purata 75.4% dan 71.81% pelajar memberi skor 4 daripada 5.Walaubagaimanapun, dari segi kepuasan staf terhadap perkhidmatan perpustakaan, tindakan penambahbaikan perlu diambil segera berikutan hanya purata 61.34% yang memberi skor 4 daripada 5 berbanding sasaran 70%.Secara keseluruhannya, seperti dikatakan pada awal tadi, kita telah berjaya mencapai sasaran tahunan. Moga-moga pencapaian ini menjadi pemangkin kepada kita semua untuk mempertingkat lagi produktiviti dan mutuperkhidmatan.KEJAYAAN MENYELESAIKAN ISU YANG TERTANGGUHKita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana kita telah dapat atau hampir dapat menyelesaikan beberapa isu yang tertangguh sejak sekian lama.Pertama ialah kes Desasiswa Catering Services Sdn. Bhd. UPM telah memasuki perjanjian perkhidmatan makanan dengan Desasiswa Catering Services Sdn. Bhd. dengan konsesi selama 15 tahun pada tahun 1999 untuk mendapatkan perkhidmatan makanan yang bersih, efisien dan sedap dengan harga yang berpatutan di seluruh premis kampus UPM Serdang.Walau bagaimanapun,perkembangan semasa sejak pertengahan dekad 2000 memperlihatkan bahawa sistem perkhidmatan penyediaan makanan ini tidak mampu memenuhi ekspektasi warga kampus.Lantas, sistem ini dilihat sebagai tidak lagi sesuai untuk diteruskan, ditambah pula dengan harga yang tidak kompetitif.Peranan Desasiswa Catering Services Sdn. Bhd. akhirnya lebih tertumpu kepada menyediakan ruang dan tempat kepada pengusaha makanan yang dilantik olehnya.Beberapa siri rundingan telah kita adakan dan Alhamdulillah, akhirnya kedua-dua pihak bersetuju dan telah menandatangani perjanjian penamatan awal kontrak.Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Ibrahim Ahmad Badawi yang telah memberikan komitmen yang tinggi demi kepentingan bersama.Dengan perjanjian penamatan awal ini, kampus UPM akan membuka satu dimensi baharu dalam perkhidmatan makanan. Perkhidmatan makanan dalam kampus akan dikendalikan sendiri oleh UPM melalui UPM Holdings.Saya memberi komitmen perkhidmatan makanan yang disediakan adalah bermutu dan setimpal harganya. Kita juga akan menyediakan menu 1Malaysia untuk memenuhi selera pelajar yang berbilang bangsa di samping dapat memperkenalkan menu 1Malaysia kepada pelajar antarabangsa.Kedua, ialah Hospital Serdang. Kedudukkan Hospital Serdang sebagai Hospital Pengajaran UPM telah menjadi perdebatan sejak dulu.Mengikut sejarahnya, Lembaga Pengarah UPM pada 28 November 1998 telah meluluskan permohonan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mendapatkan sekeping tanah UPM seluas 45 ekar sebagai tapak Hospital Serdang tanpa pampasan tertakluk kepada balasan dan syarat tertentu seperti berikut:-* Pertama, pihak pengurusan hospital membenarkan Universiti menggunakan kemudahan yang ada di hospital itu untuk menampung keperluan program pengajian, terutamanya kemudahan sebagai Hospital Pengajaran Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM.* Kedua, syarat yang sama di atas hendaklah dikenakan kepada pihak yang mengambilalih hospital itu sekiranya hospital itu diswastakan kemudian.Namun hasrat asal tersebut tidak menjadi kenyataan apabila Hospital Serdang mula beroperasi pada 15 Disember 2005 kerana tumpuan yang berbeza.Memang wujud perbezaan antara Hospital Pengajaran dengan hospital Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagi Hospital Pengajaran, falsafah, tadbir urus dan core business hospital tersebut hendaklah menjurus kepada pengajaran dan pembelajaran.Tidak dinafikan Hospital Serdang setakat ini banyak membantu Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, namun masih terdapat halangan untuk Fakulti berkembang sebagai full-fledged faculty Universiti Penyelidikan.UPM telah pun mengemukakan Memorandum Jemaah Menteri untuk mendapatkan Hospital Pengajaran. Jemaah Menteri telah memutuskan supaya Hospital Serdang dijadikan Hospital Pengajaran UPM dengan menggunakan pendekatan Blue Ocean Strategy yang mana ianya diurus tadbir secara bersama oleh UPM dan Kementerian Kesihatan Malaysia.Menerusi Blue Ocean Strategy, Hospital Serdang akan mempunyai autonomi penuh dan berupaya mencapai peningkatan dalam beberapa perkara.Pertama ialah pengajaran, yang mana bilangan kemasukan tahunan pelajar perubatan UPM dapat ditambah daripada 120 kepada 250 orang.Kedua, agenda penyelidikan dan inovasi dapat dipertingkat dengan memperkasa program pengajian siswazah.Dengan ini peranan Hospital Serdang dalam menjana doktor pakar dan sub-pakar dapat diperkasa dan secara langsung memberi khidmat yang lebih bermakna kepada rakyat.Ketiga, kita dapat mengurangkan kos operasi Hospital Pengajaran dengan menyasarkan kos RM400 juta untuk 250 pelajar berbanding sekarang sebanyak RM280 juta untuk 120 pelajar.Keempat, kepakaran Hospital Serdang yang tertumpu kepada cardiothorasic dapat dikembangkan mencakupi kepakaran baharu seperti psikiatri, pembedahan umum, telinga, hidung dan tekak dan sebagainya dengan memanfaatkan kepakaran UPM.Pengendalian dan penyelidikan penyakit zoonotik yang berpunca daripada haiwan seperti Selsema Burung dan H1N1 dapat diperkasa dengan wujudnya kerjasama rapat antara kepakaran kedua-dua pihak.Begitu juga dengan bidang penjagaan orang tua, pencegahan dan penemuan awal kanser dapat dimanfaatkan secara optimum melalui kerjasama rapat dengan Hospital Serdang.Satu lagi isu lama yang tertunggak dan berjaya diselesaikan ialah pendudukan bangunan MDTC di atas tanah UPM.Kehadiran MDTC di UPM ialah dengan mandat menggalakkan pertumbuhan inkubator melalui teknologi dan inovasi yang dihasilkan.Dengan ini banyak syarikat baharu dapat dibiakkan untuk mampu bersaing di dunia perniagaan sebenar. Namun demikian, ketidaksediaan sistem governans terdahulu serta perubahan persekitaran menyebabkan mandat berkenaan perlu diteliti semula demi kepentingan UPM, MTDC dan negara.Alhamdulillah, hasil daripada perbincangan antara UPM dengan MTDC, persetujuan telah dicapai dengan termeterainya perjanjian konsesi antara UPM dengan MTDC baru-baru ini.UPM memberi hak kepada MTDC menyewa ruang premis atau tanah kepada pihak ketiga. Antara quick wins UPM dalam perundingan ini ialah:(1). Penyerahan semula kepada UPM ruang pejabat yang menempatkan Pejabat TNC (Penyelidikan dan Inovasi) di Tower II dengan nilai sewaan berjumlah RM62,500 sebulan atau RM11.25 juta bagi tempoh 15 tahun.Manakala anggaran nilai bangunan yang diserahkan adalah berjumlah RM7.5 juta.(2). Penjimatan sewa ruang Pejabat TNC (JIM), APEEC dan Bahagian Sumber Agribio di Tower I, bangunan MTDC-UPM berjumlah RM62,500 sebulan atau RM11.25 juta untuk tempoh 15 tahun kerana sewaan ditamatkan 15 tahun lebih awal mulai 31 Disember 2011 ekoran perpindahan pejabat berkenaan ke bekas bangunan Fakulti Pertanian 2.Itulah sebabnya kenapa pihak Pengurusan Universiti begitu menggesa Fakulti Pertanian supaya berpindah segera ke Kompleks Agrobio yang baharu untuk mengatasi masalah kekurangan ruang dan menjimatkan kos sewaan.(3). Pengecilan ruang tanah yang digunakan dari 80 ekar ke hanya 29 ekar.(4). Penumpuan semula mandat asal iaitu membantu syarikat inkubator untuk berkembang dan mengkomersilkan produk dan secara langsung membantu UPM dalam agenda inovasi negara.Satu kejayaan terbaharu menarik untuk dikongsi ialah program keusahawanan siswazah MTDC-UPM.Seramai 17 usahawan siswazah terlibat dalam program keusahawanan siswazah dengan 10 syarikat terbitan UPM untuk mengkomersialkan 13 teknologi UPM.Menerusi program ini, siswazah akan terlibat secara langsung membangunkan produk hasil penyelidikan yang dijalankan oleh mereka dengan penyelia masing-masing.Ini akan mewujudkan satu program immersion yang cukup berkesan kepada siswazah kerana berupaya meneroka alam sebenar keusahawanan.Mereka akan lebih berani mencuba, kreatif, tekun, bertanggungjawab dan berkeyakinan dalam dunia keusahawanan.CABARAN MASA HADAPANMemasuki tahun 2012 ini kita berhadapan dengan pelbagai cabaran, antaranya:Pertama, mentransformasikan Sekolah Pengajian Siswazah Pengurusan sebagai Top Business School di peringkat antarabangsa menerusi Putra Business School;Kedua, membangunkan tanah UPM secara bersepadu untuk menjana pendapatan di samping bertindak sebagai pertahanan kepada permintaan terhadap tanah UPM yang semakin agresif;Ketiga, mentransformasikan ladang UPM agar menjadi ladang contoh, dapat menjana pendapatan dan menjadi lebih efisien;Keempat, menjuarai agenda pertanian negara sebagai pemangkin ekonomi pertanian berpendapatan tinggi;Kelima, menginstitusikan semangat Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam yang berteraskan kepada prestasi tinggi dan organisasi yang kejat;Keenam, menginstitusikan inovasi dalam penyelidikan;Ketujuh, menghayati semangat Akta Universiti dan Kolej Universiti;Kelapan, menyahut cabaran sebagai universiti dengan autonomi penuh;MENTRANSFORMASIKAN GSM SEBAGAI PUTRA BUSINESS SCHOOL Sebagaimana kita sedia maklum, Sekolah Pengajian Siswazah Pengurusan atau GSM merupakan salah satu Top Business School atau TBS di Malaysia.Untuk melonjakkan kedudukan GSM di peringkat antarabangsa kita akan mentransformasikan GSM dengan menubuhkan Yayasan Putra Business School di bawah Akta Syarikat 1965 dengan status ‘company limited by guarantee’ selaras dengan keputusan Kabinet supaya TBS mempunyai autonomi sepenuhnya dan diterajui oleh yayasan.Yayasan Putra Business School mempunyai autonomi sepenuhnya dan kuasa untuk mewujudkan sistem dan prosedur tersendiri dan tidak terikat kepada prosedur perkhidmatan awam yang dapat membantu mempercepatkan kemajuannya.Ini termasuklah melantik profesor berasaskan pengalaman industri yang amat diperlukan oleh sesebuah business school.Oleh itu, kriteria pelantikan tentulah tidak akan sama dengan kriteria yang digunakan oleh profesor biasa.Sebagai Yayasan, ia tidak boleh menawarkan program akademik. Dalam hal ini, kita akan menubuhkan ‘Putra Business School’ atau ringkasnya PBS di bawah Akta 555.Walaupun tidak memakai ungkapan ‘universiti’ pada namanya, PBS adalah bertaraf universiti sebagaimana amalan di luar negara seperti Harvard Business School.Namun di peringkat awal, PBS akan meneruskan semua program GSM sehingga jenama dan reputasi PBS dikenali seantero dunia.PBS akan bertanggungjawab kepada Senat UPM dari segi akademik dan kepada Board of Governors dari segi pengurusan dan pentadbiran.Justeru, PBS tetap milik UPM, memperjuangkan Matlamat Keenam Pelan Strategik UPM, tidak berteraskan keuntungan tetapi mempunyai kuasa autonomi sendiri untuk terus cemerlang dalam mentadbir urus PBS demi mencapai matlamat, misi dan visi UPM.AKREDITASI ANTARABANGSASaya juga mengambil kesempatan di sini untuk memaklumkan bahawa GSM dan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan sedang dalam proses mendapatkan the Association of Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) iaitu akreditasi antarabangsa yang diberikan khusus kepada sekolah perniagaan.Proses akreditasi ini memerlukan kepatuhan kepada 21 piawaian. Pada masa ini hanya 643 universiti di dunia termasuk 5 dari Asia Tenggara yang telah mendapat pengiktirafan AACSB.Proses mendapatkan akreditasi ini mengandungi 16 peringkat tapisan.UPM akan memasuki peringkat ke-15. Pada peringkat ini, UPM akan menerima kunjungan Peer Review Team(PRT) yang akan mengaudit UPM, khususnya FEP dan GSM pada 27 hingga 30 Mei 2012.Insya-Allah UPM bakal menjadi universiti pertama di Malaysia yang berjaya mendapatkan akreditasi AACSB.MEMBANGUNKAN TANAH UPM SECARA BERSEPADUTanah UPM kini diibaratkan sebagai lombong emas yang sentiasa menjadi idaman pemaju dan ahli perniagaan.Pernah satu ketika ada cadangan kampus UPM dipindahkan ke kawasan lain kerana tanah UPM diibaratkan terlalu mahal untuk aktiviti pertanian.Dalam tempoh setahun saya menjadi Naib Canselor, kita telah menerima lima cadangan untuk mengambil tanah UPM.Persoalannya, sejauh mana kita boleh bertahan daripada desakan dan permintaan seperti ini kerana alasan mereka juga bersandarkan kepentingan negara.Greenpatches hanya terdapat di UPM di tengah-tengah kawasan pembangunan pesat negara. Model ternakan 70-an seekor lembu seekar tanah tidak boleh dipertahankan lagi apatah lagi apabila 'lombong emas' kita dianggap sebagai ‘tanah terbiar’ oleh mereka.Kita mungkin boleh meneruskan model seperti itu tetapi di tanah yang lebih murah yang tentunya terletak jauh dari kampus Serdang.Tentunya kita tidak mahu apa yang telah berlaku kepada Institut Penyelidikan Getah Malaysia dan MARDI berkenaan pengambilan tanah, juga berlaku kepada UPM.Namun jika model sedia ada dikekalkan, saya pasti nasib yang sama juga akan menimpa UPM. Mulai tahun ini kita akan memberi penumpuan khusus kepada keperluan strategik guna tanah UPM selaras dengan keputusan Lembaga Pengarah Universiti baru-baru ini.Kita perlu menghalusi dan menjawab beberapa persoalan strategik. Berapakah keluasan tanah yang sebenarnya diperlukan untuk pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan?Adakah lebih baik kita memperoleh aset yang lebih jauh dari UPM untuk tujuan pertanian?Adakah lebih strategik kita majukan sendiri land bank kita untuk membiayai keperluan pendidikan dan penyelidikan UPM bagi masa hadapan?Atau adakah kita masih boleh melayani nostalgia kita sedangkan risiko harta kita boleh hilang begitu sahaja amat tinggi atau pun eloklah kita berpijak di bumi nyata dengan mengorbankan sahaja nostalgia tersebut untuk membangunkan model baharu pembiayaan pendidikan masa depan cucu-cicit kita yang akan belajar di UPM?Telah tiba masanya kita memajukan sendiri land bank UPM secara agresif untuk kepentingan masa hadapan.Ini bermakna intensiti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan perlu ditingkatkan berbanding sekarang.Begitu juga dengan tanah yang dikhususkan untuk tujuan komersial. Ia seharusnya mendatangkan hasil yang mampu membiayai keperluan UPM pada masa akan datang.Beberapa bulan yang lepas, Lembaga Pengarah Universiti telahpun bersetuju meluluskan pelan pembangunan tanah UPM. Kawasan arboretum sejajar dengan Lebuh Raya Kuala Lumpur – Seremban akan dibangunkan sebagai kawasan show case untuk perniagaan.Begitu juga dengan kawasan komersial berhadapan Hospital Serdang. Dengan terbinanya kedua-dua kawasan tersebut, UPM dapat menjadikannya sebagai sumber pendapatan berterusan kepada wakaf berbanding membiarkan kawasan tersebut begitu sahaja dan diambil orang.Selain itu, kita juga telah mengenal pasti kawasan yang akan dijadikan green lung dalam kampus UPM untuk memastikan polisi dan imej universiti hijau dikekalkan.Kehadiran lingkaran lebuh raya di dalam kampus menyebabkan ada tanah UPM yang tersepit. Ini menyebabkan kejatuhan nilai tanah kerana sukar untuk dibangunkan.Namun kita perlu lebih inovatif mengatasi masalah ini. Tanah tersepit antara lebuh raya SILK, KL-Seremban, dan ERL telah dijadikan kawasan arboretum baharu UPM untuk menggantikan arboretum yang digenangi air.Begitu juga dengan tiga (3) pocket land yang terkeluar dari Kampus utama UPM dan tidak dapat dibangunkan akibat pembinaan lebuhraya SKVE dan susur masuk ke Hospital Serdang.Kedudukan tanah tersebut yang terasing dari lot asal telah menjadi pocket land yang sukar untuk dibangunkan di samping mengambilkira kewujudan kuil hindu di atas plot tersebut.UPM sedang menimbangkan kaedah terbaik untuk memanfaatkan tanah tersebut dengan menukar ganti plot-plot tanah tersebut dengan aset harta yang ditawarkan di Prima Avenue 3 yang dibangunkan oleh IOI Properties.MENGKOMERSIALKAN TANAHDengan kelahiran banyak IPTA, peruntukan operasi yang diberikan oleh kerajaan telah mencapai tahap tepu.Sebagai universiti berautonomi penuh, tentulah kita dianggap lebih mampu berdikari berbanding IPTA yang masih muda.Justeru,kita perlu menguruskan dan membangunkan tanah yang masih ada untuk manfaat yang optimum. Kita perlu membangunkan dan mengkomersialkan tanah UPM.Pendapatan yang dijana kelak kita masukkan dalam Wakaf Ilmu untuk generasi akan datang lebih-lebih lagi golongan miskin yang tidak mampu membiayai pengajian untuk belajar di UPM.Untuk merealisasikan strategi ini, kita akan menggunakan UPM Holdings sebagai ‘vehicle’.Ini penting kerana pengkomersialan akan melibatkan risiko. UPM tidak boleh memasuki aktiviti komersial secara langsung untuk mengelakkan sebarang risiko yang boleh menjejaskan fungsi utama kita dalam pengajaran, penyelidikan dan pembangunan, dan khidmat profesional.TRANSFORMASI LADANGTuan-tuan dan puan-puan sekalian pertanian merupakan satu bidang pelbagai disiplin yang sangat penting untuk strategi keselamatan negara.Jika kita tinjau sejarah lama, tentera Napoleon Bonaparte yang terlalu gagah dengan 600,000 orang dan 50,000 ekor kuda akhirnya gagal untuk menakluki Rusia di musim sejuk pada 1812.Ramai pengkaji dan penganalisis sejarah membuat kajian apakah punca kegagalan Napoleon yang merupakan seorang pemimpin yang bijaksana dalam perancangan dan strategi.Antara sebab utama kegagalan Napoleon ialah pihak Rusia telah mengambil strategi memusnahkan bekalan makanan yang menyebabkan tentera Napoleon tidak mendapat bekalan makanan termasuk untuk kuda mereka.Tentera Napoleon yang tidak mendapat bekalan makanan yang mencukupi telah menjadi lemah dan terdedah kepada penyakit.Iktibar daripada sejarah Napoleon membuktikan bahawa makanan adalah punca utama kelangsungan manusia dan keselamatan negara.Justeru, adalah satu kesilapan besar jika bidang pertanian tidak diberikan perhatian sewajarnya. Jika negara mengalami kekurangan bekalan makanan, negara akan kucar-kacir malah tidak mustahil rakyat yang kebuluran akan bangkit memberontak.Bidang pertanian tetap menjadi bidang keutamaan walau sejauh mana maju dan membangun sesebuah negara. Adalah menjadi harapan saya melihat kegemilangan Serdang sebagai pusat pertanian dikekalkan.Dahulu orang ramai berduyun-duyun datang ke UPM di musim Konvokesyen untuk membeli anak benih, anak pokok, buah-buahan dan hasil ladang UPM.Sumbangan kita menerusi penyelidikan dan produk yang dihasilkan amat bermakna sekali kepada masyarakat. Saya berpendapat, kita perlu mentransformasikan semula ladang UPM dengan kadar segera lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang yang mana nilainya yang begitu tinggi.Ladang UPM perlu menjadi ‘happening area’ aktiviti pertanian dan tempat untuk pelajar mengalami pengalaman sebenar dalam bidang pertanian. Aktiviti pengajaran perlu diadakan dengan lebih kerap dan aktiviti penyelidikan perlu diperkukuhkan di ladang berkenaan.Pelajar hendaklah diberi peluang semaksimum mungkin dalam amalan ladang untuk menghayati bidang pertanian dan meningkatkan domain afektif dan psikomotor selain domain kognitif yang diperoleh menerusi bilik kuliah dan pembacaan serta diskusi.Ladang UPM perlulah dijadikan sebagai ladang contoh. Dusun kita hendaklah mengeluarkan buah-buahan terbaik dan diuruskan dengan cekap.Ladang UPM sewajarnya menjadi tempat membiaknya pokok yang terbaik dan bukan pokok yang berpenyakit dan layu.Ternakan di ladang UPM hendaklah menjadi contoh ternakan yang sihat dan gemuk. Ini bukan sahaja menambah pendapatan tetapi meningkatkan kepercayaan orang ramai terhadap kepakaran pertanian UPM.Pada tahun lepas, UPM telah menerima geran LRGS sebanyak RM10 juta untuk penyelidikan jaminan makanan atau food security untuk menghasilkan benih baru padi yang dapat meningkatkan tahap produktiviti.Kita juga masih menunggu keputusan permohonan geran LRGS yang dianggarkan bernilai RM15 juta untuk penyelidikan ternakan ayam.Dengar khabarnya ia adalah positif. Saya yakin dengan komitmen dan daya usaha penyelidik kita, Insya-Allah kita dapat menghasilkan outcome yang mempunyai impak tinggi demi kepentingan jaminan makanan negara dan mempertingkat citra UPM sebagai peneraju pertanian dan menggamit lebih banyak geran penyelidikan dalam amaun yang lebih besar.PUSAT RUJUKAN BARUUntuk makluman sidang hadirin, kita sedang membida geran untuk menubuhkan Animal Research and Testing Center.Pusat ini akan menjadi pusat rujukan kebangsaan dan serantau dalam penyelidikan dan inovasi berkaitan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit dan ujian produk haiwan.Menerusi Pusat ini, UPM akan dapat membantu mempertingkat tahap kecukupan produk makanan berasaskan haiwan, menangani ancaman penyakit berjangkit dan pembangunan produk.Sekadar mendakwa pertanian adalah bidang niche UPM tanpa bukti kandungan tidak mencukupi. Kita mesti walk the talk.Untuk makluman saudara-saudari, dua bulan yang lepas sekali lagi kita perlu menjawab kepada Parlimen kenapa nama UPM tidak perlu ditukarkan semula kepada ‘Universiti Pertanian Malaysia’.Ini menunjukkan ekspektasi tinggi rakyat terhadap peranan dan prestasi UPM dalam menunjangi pembangunan dan kemajuan sektor pertanian negara.Untuk mentransformasikan ladang UPM, kita perlukan pendekatan baharu. UPM hanya membayar gaji pekerja sahaja seperti model yang kita laksanakan di Penerbit UPM.Mungkin pendekatan ini akan menjadikan kolam kita menghasilkan ikan, sawit kita menghasilkan buah, dusun kita berbuah lebat dan sebagainya.Untuk mencapai hasrat ini, kita perlu terbuka dan bersedia menggalas tanggungjawab dan cabaran baharu. Saya menyeru seluruh warga UPM yang terlibat dalam bidang pertanian khususnya pegawai Taman Pertanian Universiti dan Fakulti Pertanian serta fakulti dan institut berasaskan agrobio memberikan komitmen dalam mentransformasikan ladang UPM dan meninggalkan legasi yang menjadi kebanggaan generasi akan datang.EKONOMI PERTANIAN BERPENDAPATAN TINGGISelaras dengan bidang niche UPM, kita seharusnya menjadi pemangkin dalam pembentukan ekonomi pertanian berpendapatan tinggi.Dalam hal ini kreativiti,inovasi dan pemikiran di luar kotak merupakan pra-syarat lonjakan kejayaan. Sebagaimana termaklum, UPM adalah Lead University for Aerospace Malaysia Innovation Centre (AMIC).Sebagai Lead University, UPM telah diberi kepercayaan untuk mengembangkan teknologi berkaitan aeroangkasa yang dihasilkan di Malaysia dapat dimanfaatkan ke seluruh dunia.Ia merupakan pusat penyelidikan pelbagai disiplin kerana pakar UPM yang terlibat dengan AMIC datangnya dari Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Sains dan Fakulti Pertanian.Saya menyeru, jangan kita sempitkan bidang kerjasama ini kepada kejuruteraan aeroangkasa sahaja. Sebaliknya ini adalah peluang untuk meletakkan bidang pertanian di peta dunia kerana industri aeroangkasa adalah industri multi-bilion ringgit dan strategik.Kita telah membida untuk membawa international industrial players seperti Rolls Royce, European Aerospace Defence System yang merupakan parent company kepada Airbus, Astrium, Cassdium dan Eurocopter dan local players seperti CTRM, Spirit dan sebagainya ke UPM.Kerjasama dengan Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT)akan membawa geran penyelidikan kepada UPM dan juga membuka peluang mendapatkan geran penyelidikan daripada industry players yang disebut tadi.Saya melihat agenda penyelidikan algae untuk dijadikan bio fuel standard untuk kapal terbang sebagai satu agenda pertanian.Begitu juga dengan penyelidikan gentian kenaf untuk dijadikan biokomposit bagi struktur kapal terbang. Kejayaan dalam penyelidikan akan menyebabkan peningkatan mendadak dalam perusahaan algae dan kenaf.Ini akan merangsang pertumbuhan ladang untuk menghasilkan bahan berkenaan. Oleh itu, kita tidak boleh mendefinisikan pertanian dalam skop yang konservatif yakni hanya untuk manfaat petani atau makanan semata-mata.Sebaliknya, kita seharusnya menggunakan biosumber ini untuk merangsang industri strategik untuk menterjemahkan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi menerusi agenda pertanian.Begitu juga dengan industri enzim. Negara mengimport enzim industri bernilai RM16 bilion setahun dan kita tahu enzim tersebut adalah hasil dari biosumber.Tidakkah kita harus menyahut cabaran ini supaya skop dan definisi pertanian dikembangkan untuk agenda negara berpendapatan tinggi?SISTEM BARU PERKHIDMATAN AWAMPelaksanaan Perkhidmatan Awam yang kejat memberi penekanan ke atas saiz Perkhidmatan Awam dan penggunaan tenaga kerja secara optimum.Langkah kearah merasionalisasikan saiz Perkhidmatan Awam meliputi penjajaran semula fungsi utama agensi, kajian pertindihan fungsi, pengenalpastian perkhidmatan yang boleh diserah urus dan perekayasaan proses kerja serta semakan skim perkhidmatan.Di bawah SBPA, penekanan diberikan kepada prestasi dan multitasking. Dasar Pemisah atau Exit Policy diperkenalkan untuk mengambil tindakan tegas untuk mengeluarkan pegawai berprestasi rendah dan bermasalah.Dasar ini juga menyediakan laluan keluar bagi pegawai berprestasi yang tiada peluang kemajuan kerjaya serta pegawai yang menghadapi masalah kesihatan yang menjejaskan keupayaannya untuk menjalankan tugas.Perubahan semasa memerlukan Perkhidmatan Awam yang relevan untuk menarik dan mengekalkan modal insan terbaik dan menguasai kemahiran pelbagai (multi-skilling) selaras dengan peningkatan ekspektasi pelanggan.Begitu juga dengan UPM. Kita perlu melonjakkan prestasi kita ke tahap yang lebih tinggi. Staf perlu mempunyai anjakan paradigma yakni daripada mahir membuat satu kerja khusus sahaja kepada mahir membuat lebih banyak kerja.Dengan ini barulah kita dapat mengoptimumkan penggunaan modal insan secara lebih efektif sekali gus meningkatkan kecekapan sumber UPM.Mulai tahun ini UPM telah mengurangkan lantikan pegawai kontrak sebanyak 25 peratus secara keseluruhannya.Ini tidak bermakna mereka diberhentikan apatah lagi dibuang kerja. Apa yang berlaku ialah UPM tidak menyambung kontrak mereka khususnya jawatan yang bertindih.Mereka yang telah berkhidmat tidak kurang daripada 3 tahun diberi keutamaan untuk penyambungan kontrak. Kesemua ini bergantung pada merit.Pelantikan kontrak seharusnya tidak dibuat secara sewenang-wenangnya tetapi berteraskan kepada nilai yang diperoleh universiti.Dengan ini, Insya-Allah kita boleh mewujudkan organisasi yang kejat, modal insan yang lebih efisien dan berupaya menjalankan tugas secara multitasking dengan meningkatnya keupayaan dalam multi-skilling.Saya yakin dengan teknologi dan sistem kerja yang lebih cekap hasrat ini dapat dicapai.Di bawah SBPA, penggunaan KPI yang mantap amatlah penting untuk mengurangkan subjektiviti dalam penilaian prestasi tahunan dan proses kenaikan pangkat.Dengan ini, Insya-Allah kita dapat mengurangkan ketidakpuasan hati mana-mana pihak berhubung keputusan pemberian anugerah kecemerlangan dan kenaikan pangkat dan menjunjung prinsip keadilan bak prosa lama – Tiba di mata tak dipejamkan Tiba di perut tak dikempiskan Tiba di bahu tak dielakkan. Sayang tidak membutakan Kasih tidak membinasakanINOVASI DALAM PENYELIDIKAN DAN PENDIDIKANMengikut Global Innovation Index 2011 yang dikeluarkan oleh INSEAD Business School, Malaysia menduduki tangga ke-31 dengan skor 44.05.Untuk menggalakkan pertumbuhan inovasi, kita perlu meningkatkan bilangan rakyat berpendidikan tinggi. Korea yang satu ketika pernah mengambil model FELDA untuk dijadikan program Saemaul Undong (New Community Movement) pada dekad 1970-an untuk membangunkan taraf hidup komuniti kampung kini menduduki tempat ke-16 sebagai negara berinovatif.Kemajuan yang dicapainya adalah menerusi impak program Brain Korea 21 untuk membangunkan graduan siswazah bertaraf dunia dan pembangunan modal insan dalam penyelidikan dan pembangunan di abad ke-21.Sistem universiti mereka juga telah menjalani proses reformasi untuk menjana modal insan yang kreatif. Hasilnya, teknologi Korea yang dahulunya ‘inferior’ tetapi kini duduk dan berdiri sama tinggi dengan negara maju di barat.Jenama Samsung, LG, Hyundai, Daewoo dan Kia, sekadar contoh, telah memenuhi pasaran dunia dan menghiasi rumah kita. Mengambil iktibar daripada kejayaan Korea dan selaras dengan strategi My Brain 15 di bawah Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN), UPM perlu menggiatkan usaha untuk mengeluarkan lebih ramai graduan PhD dari kalangan rakyat Malaysia khususnya dalam bidang sains dan teknologi untuk memenuhi keperluan negara dalam sektor penyelidikan dan pembangunan.Peningkatan rakyat berkelulusan PhD akan dapat melonjakkan daya inovatif negara menerusi penyelidikan yang dijalankan. Untuk itu mutu penyeliaan perlu diperkasa untuk mengeluarkan lebih ramai graduan setiap tahun.Pemerkasaan dalam inovasi adalah sangat penting untuk menyuntik pertumbuhan ekonomi dan menjana pendapatan negara menerusi produk dan perkhidmatan baharu. Subjek inovasi perlu diinstitusikan dalam program pengajian di peringkat siswazah dan prasiswazah untuk menjadi pemangkin kepada inovasi khususnya dalam mewujudkan nilai ciptaan (value creation) sesuatu penyelidikan.Proses inovasi atau nilai ciptaan ini boleh diajar secara saintifik untuk pelajar dapat memahami dan menghayati kaedah, proses serta kepentingan penjanaan inovasi dan seterusnya menyumbang kepada pengukuhan ekonomi negara.Ini juga akan mentransformasikan penyelidikan sebagai sumber penjanaan inovasi dan bukan setakat meneroka sesuatu bidang ilmu.Justeru, UPM akan menawarkan kursus baru RSB 4630 Metodologi Inovasi dalam program pengajian kita mulai Semester Kedua Sesi Akademik 2011/2012. Melalui kursus ini, pelajar akan mendapat pendedahan secukupnya kepada pengetahuan dan aplikasi berkaitan dengan metodologi dan proses inovasi dan penciptaan nilai.Penekanan juga akan diberikan kepada tadbir urus insan dan etika dalam inovasi supaya integriti akan terpelihara. Reka bentuk kursus ini juga berpandukan model 5 disiplin inovasi yang telah diperkenalkan oleh Stanford Research International(SRI International) Amerika Syarikat dan ia merangkumi penjanaan idea hinggalah penjanaan kekayaan.Mod pengajaran dan pembelajaran lebih berteraskan pembelajaran berpusatkan pelajar melalui kaedah kajian kes, bengkel, pencarian maklumat kendiri serta pembentangan secara individu dan berkumpulan.Ini akan dapat memberi sumbangan kepada pembudayaan inovasi, kreativiti dan keinsanan yang mampu melahirkan keunikan graduan UPM. Pada peringkat permulaan, kursus ini akan dimasukkan dalam kurikulum pengajian siswazah khususnya sebagaimana subjek metodologi penyelidikan yang menjadi kursus asas untuk memperkasa kemampuan penyelidikan pelajar.Pelajar prasiswazah juga boleh mengambil kursus ini sebagai elektif.Pada masa yang sama, UPM juga dipilih menjadi peneraju dan sedang bekerjasama rapat dengan SRI International, melalui projek khas daripada Kementerian Pengajian Tinggi, untuk melatih jurulatih dari kalangan IPT untuk memperkasa inovasi dan komersialisasi.Saya dengan sukacitanya ingin berkongsi dengan saudara dan saudari bahawa sepanjang tahun lepas sebanyak 26 produk penyelidikan kita telah memasuki perjanjian untuk dikomersialkan.Ini merupakan satu lagi kemajuan yang dicapai oleh UPM.CABARAN MENGHAYATI SEMANGAT AUKUSalah satu topik bualan hangat di seluruh Negara ialah keputusan Mahkamah Rayuan, memutuskan Seksyen 15 (5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti atau AUKU yang melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam dan luar negara, adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.Dengan pindaan AUKU terbaharu pada tahun 2009, kita lihat lebih banyak hak pelajar telah diberi pengiktirafan misalnya di bawah Seksyen 15D yang mana antara lainnya:–(a). Pelajar yang dikenakan tahanan pencegahan atau dipenjarakan, boleh dengan persetujuan Senat, menduduki peperiksaan Universiti tertakluk kepada apa-apa perintah pihak berkuasa berwibawa;(b). Pelajar yang digantung di bawah sub-seksyen di atas boleh diterima masuk ke mana-mana Universiti yang ditubuhkan di bawah Akta ini dengan kelulusan bertulis Menteri dan syarat-syarat dikenakan oleh Menteri;(c). Pelajar yang terhenti menjadi pelajar di bawah Akta ini turut boleh diterima masuk ke Universiti lain;(d). Pelajar yang digantung daripada pengajian Universiti atau menjalani tempoh pemenjaraan tetapi dibebaskan akibat rayuan, boleh menyambung pengajiannya dan tempoh penggantungan atau pemenjaraan itu tidak diambil kira dalam pengiraan tempoh maksimum pengajian dan keputusannya.Apa yang saya ingin sentuh di sini bukanlah soal pihak mana yang benar atau pun salah tetapi lebih kepada tanggungjawab kita menunaikan hak pelajar selaras dengan semangat AUKU memberi peluang pendidikan seluas-luasnya kepada pelajar.Ini bermakna jam kontak mesti dipenuhi, maklum balas terhadap tugasan, projek dan tesis perlu diberi segera, kalau ada temu janji penyeliaan mesti dikotakan dan sebagainya.Begitu juga dengan perkhidmatan lain dan kemudahan yang patut disediakan khususnya dari kalangan staf sokongan, pengurusan dan profesional. Tambahan lagi dewasa ini, semakin ramai pelajar menggunakan wang sendiri sama ada daripada keluarga, simpanan ataupun pinjaman untuk membayar yuran pengajian.Justeru, mereka tentulah lebih sensitif terhadap hak mereka.Kepada pelajar, saya ingin berpesan bahawa AUKU hendaklah dilihat dalam skop yang lebih luas dan tidak terhad kepada Seksyen 15. AUKU bukan terhad kepada ruang untuk berpersatuan dan berpolitik.AUKU sebenarnya adalah Akta untuk menentukan struktur, tadbir urus, punca kuasa, tanggungjawab, liabiliti dan lain-lain keperluan dalam mentadbir urus sesebuah universiti.Tanpa AUKU, universiti tidak berpelembagaan dan tidak mungkin boleh berfungsi. Kebelakangan ini, isu kebebasan akademik sering dibangkitkan oleh pelajar.Sukacita dingatkan dalam peruntukan sedia adapun telah banyak kebebasan yang diberi dan saya lihat masih belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar.Gunakanlah semua peruntukan tersebut dengan sepenuhnya. Pihak universiti sentiasa membuka ruang dan peluang untuk pelajar memperkasa kemahiran insaniah mereka melalui semua program dan aktiviti yang sihat asalkan sedia bertanggungjawab atas apa yang mereka lakukan dan dalam lingkungan undang-undang negara.Jadilah pelajar yang seimbang, dinamik dan bertanggungjawab.Dalam hal ini saya berharap Bahagian Hal Ehwal Pelajar dapat mengadakan lebih banyak engagement process dengan pelajar supaya mereka dapat memahami AUKU dalam konteks yang sebenarnya.Bagi agenda yang melibatkan pelajar terutama sekali berkaitan kebajikan, pandangan dan maklum balas mereka hendaklah diperoleh supaya kita memahami kehendak mereka dan mereka memahami hasrat kita.Ini juga dapat memupuk semangat kerjasama dan saling memahami antara pelajar dengan pihak universiti.CABARAN MENJADI UNIVERSITI BERAUTONOMI PENUHPemberian autonomi kepada UPM sebenarnya menimbulkan rasa berbelah bagi kepada saya dan pengurusan UPM. Jika kita masih berada di prestasi yang sama dan gagal respons serta proaktif kepada perubahan persekitaran ditambah lagi dengan pengurusan yang tidak efisien termasuk pembaziran sumber maka pemberian autonomi boleh menimbulkan masalah kepada kita.Ini disebabkan pemberian autonomi bermakna kurang kebergantungan kepada peruntukan kerajaan. Pada masa ini lebih kurang 70% daripada belanja mengurus UPM adalah daripada geran kerajaan.Dengan adanya status autonomi, peratusan geran kerajaan akan dikurangkan secara berperingkat. Jika kita tidak dapat menjana pendapatan maka kita tidak mampu untuk membiayai kos pengurusan. Jika peruntukan tidak dibelanjakan secara berhemat, pembaziran tentu akan berlaku. Kesannya, banyak rancangan dan aktiviti akan tergendala.Sungguhpun demikian, jika kita telah membuat persiapan yang sepatutnya, pemberian autonomi akan membolehkan kita lebih luwes dan mempertingkat prestasi dan produktiviti serta menjana pendapatan tinggi.Dengan adanya autonomi kita dapat menarik modal insan yang lebih berkualiti dan berdaya saing kerana kita dibenarkan menyediakan sistem saraan sendiri.Justeru, pemberian autonomi menuntut prestasi kerja dan akauntabiliti yang jauh lebih tinggi. Warga UPM perlu bersedia menggalas cabaran ini. Kita mesti menghayati pengurusan berprestasi tinggi supaya autonomi yang akan diberi membawa kepada kecemerlangan universiti bukannya kehancuran.BUDAYA INTEGRITI DAN MEMBERI SUMBANGANMungkin ramai yang telah ketahui tentang penubuhan Wakaf Ilmu yang telah disempurnakan perasmiannya oleh DYMM Tuanku Canselor sempena Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih pada tahun lepas.Hasrat utama wakaf ini adalah untuk mewujudkan dana untuk membiayai pendidikan di UPM. Setiap keuntungan yang dijanakan khususnya oleh UPM Holdings akan disumbangkan ke dalam wakaf ini.Begitu juga pelaburan dan pembangunan hartanah yang akan kita lakukan. Selain itu, sumbangan staf lebih-lebih lagi Kumpulan JUSA dan Gred Khas yang mendapat durian runtuh di bawah Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam, alumni dan rakan industri amat diperlukan.Jom kita sama-sama infakkan sebahagian daripada rezeki kita kerana dalam rezeki kita itu ada hak orang lain. Jika negara barat menjadikan sumbangan tabung endowment sebagai satu budaya, saya kira warga UPM lebih-lebih lagi kerana majoritinya beragama Islam patut menjadikan wakaf untuk ilmu sebagai wahana ‘fi sabilillah’ yang merupakan prinsip dan sistem yang diperkenalkan oleh Islam sejak dahulu.Kita perlu menginfakkan sebahagian harta kita dengan memberi sumbangan kepada wakaf untuk ilmu untuk kelangsungan kecemerlangan UPM demi mencapai keredaan Allah. Sempena amanat tahun ini, setiap PTJ akan menyampaikan 'pledges" dari kalangan staf, pelajar dan Alumni mereka sebentar lagi dan borang-borang sumbangan sama ada sumbangan melalui potongan gaji, jangkamasa pendek atau panjang bagi yang masih belum berkesempatan akan diedarkan dan boleh diserahkan kepada petugas-petugas di luar dewan ini.KPI YANG LEBIH MENCABARMemandangkan pencapaian UPM pada 2011 yang lalu amat memberansangkan, saya kira kita perlu meletakkan KPI yang lebih mencabar tetapi masih mampu dicapai.Untuk itu antara KPI utama 2012 yang perlu dipertingkatkan sasarannya ialah pencapaian SETARA sebanyak 85 markah, mengeluarkan 400 graduan PhD, skor MyRA 130, faktor impak 2,300, CIJ 2,700, 85% peratus graduan mendapat pekerjaan selepas 6 bulan bergraduat dan penjanaan pendapatan sebanyak RM268 juta.Penetapan KPI ini juga perlu mengambil kira kriteria MyRA2 yang lebih mencabar yang akan diperkenalkan pada masa hadapan.Walaubagaimanapun, kita akan pastikan proses perundingan antara pengurusan Universiti dengan semua Ketua PTJ dibuat dengan lebih berkesan untuk memuktamadkannya dan mempermantap perkongsian dan semangat saling sokong-menyokong antara semua PTJ dengan pengurusan Universiti.Meskipun kita mengamalkan sistem KPI dalam mengurus prestasi tinggi UPM,ingin diingatkan bahawa roh dan matlamat kita bukannya pada nombor atau angka semata-mata.Ia adalah 'beyond numbers’. Ini amat penting demi kelestarian kecemerlangan UPM dan saya berharap semua warga UPM mengambil pendekatan ini dan mengutamakan integriti dalam tugas sebagai asas utama bukannya sekadar memenuhi KPI.INTEGRITIIntegriti yang sebenar-benarnya dapat diukur tatkala kita bersendirian tanpa diperhatikan oleh manusia lain. Ini adalah kerana kebanyakan manusia akan dapat meninggalkan dosa dan maksiat bila berada dikhalayak ramai kerana sifat malu dan segan kepada manusia.Namun ketikabersendirian, seseorang itu belum tentu mampu mengawal hawa nafsunya dari melakukan dosa. Semuanya ini bergantung kepada kekuatan iman.Jawatan pensyarah dan guru adalah satu jawatan yang sangat mulia kerana ilmu yang diajarnya dalam pelbagai medium, khidmat perundingan dan profesional untuk manfaat masyarakat dan orang ramai.Saya percaya ramai yang biasa mendengar hadis Rasulullah Salallah Alaihi Wasalam yang bermaksud, “Apabila mati anak Adam, maka telah terputuslah amalannya melainkan tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan keatasnya” (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, al-Nasaa'i, dan al-Bukhari).PENILAIAN SEMULA SISTEM INSENTIFOleh itu, saya fikir sudah tiba masanya kita meneliti semula sistem insentif UPM khususnya bagi penulisan jurnal. Saya tidak mengatakan sistem ini salah sebab ia adalah bertepatan semasa diperkenalkan untuk ‘jump start’ budaya menulis sesuai dengan kedudukan UPM sebagai Universiti Penyelidikan yang baru bertapak.Kini, saya yakin kita telah dapat membudayakan penulisan jurnal. Ini dapat dilihat daripada peningkatan penerbitan yang memberangsangkan beberapa tahun kebelakangan ini. Penerbitan juga merupakan salah satu kriteria utama kenaikan pangkat.Kenaikan pangkat merupakan satu ganjaran terhadap kecemerlangan dan sistem insentif yang telah wujud. Justeru, alangkah manisnya jika penulisan kita bermatlamatkan pengembangan ilmu, penginstitusian kesarjanaan untuk kemaslahatan manusia sejagat dan ilmu yang dimanfaatkan bukannya sekadar untuk imbuhan dan kenaikan pangkat semata-mata.Untuk mempertingkat citra dan integriti pensyarah, saya kira insentif penulisan perlu digantikan daripada berbentuk wang tunai kepada geran untuk peningkatan penyelidikan untuk mempertingkat lagi produktiviti.Ia juga boleh berbentuk sumbangan yang disalurkan kepada Waqaf Ilmu sebagai amal jariah. Ini lebih bermakna dari sudut falsafah, nilai dan budaya kesarjanaan berbanding sindrom 'berkira membuat kerja' dan menjadikan insentif penerbitan sebagai satu sumber pendapatan tambahan.Sindrom ini sering membawa penyakit individualistik dan etika buruk seperti manipulasi dalam menghasilkan penerbitan jurnal atau merompak hasil kreativiti dan usaha orang lain. Kita hendaklah membebaskan diri daripada budaya ‘ada habuan ada kerja’ sebab kita telah menerima gaji dan elaun kerana telah jelas bahawa penyelidikan dan penerbitan memang sebahagian daripada tugas pensyarah.Begitu juga H-indeks, ianya satu indeks yang penting namun kita tidak mahu mendabik dada dengan ketinggian indeks yang diperoleh; sebaliknya H-Indeks itu harus digunakan sebagai tanda aras sejauh mana ilmu kita dirujuk orang atau dalam perkataan lain mendatangkan manfaat.Bukankah pengajaran termasuk penerbitan merupakan satu kerja mulia dan pelaburan untuk Hari Pembalasan nanti? Saya berharap para pensyarah dapat merenung kembali perkara ini.Justeru saya menyeru kepada diri saya dan seluruh warga UPM agar sentiasa mengutamakan integriti dalam tugas.Integriti merangkumi juga keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai, boleh dipegang cakapnya, dan kalau berjanji boleh diharap hasilnya, kalau membuat tuntutan pula tidak melebihi hak yang sebenar kerana takut nanti Allah membuat tuntutan terhadap kita.Jika kita dapat memperkukuhkan integriti peribadi, Insya-Allah prestasi kita akan bertambah baik, pembaziran dapat dibasmikan, dan citra kita bertambah baik. Sebagai hamba Allah, kita sentiasa diperhatikan.CONTOHI KHALIFAH UMAR ABDUL AZIZMungkin ramai yang telah ketahui kisah Khalifah Umar Abdul Aziz salah seorang khalifah Bani Umaiyah yang telah menyediakan dua buah pelita. Satu pelita peribadi dan satu lagi pelita kerajaan.Apabila berurusan dengan perkara peribadi, beliau akan memadamkan pelita kerajaan dan memasang pelita peribadinya; dan apabila berurusan dengan urusan kerajaan beliau memasang pelita kerajaan dan memadamkan pelita peribadinya.Mengambil iktibar kisah ini,saya menyeru supaya warga UPM menggunakan sumber di pejabat termasuklah utiliti dengan wajar dan adil untuk mengelakkan pembaziran, kurang kecekapan atau bukan untuk tujuan yang tidak sepatutnya. Adil ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya dan dengan ini, kita dapat mengelakkan salah guna kedudukan dan sumber serta harta benda universiti.Rasulullah Salallah Alaihi Wassalam pernah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya kuasa adalah amanah. Dan pada hari kiamat ia merupakan kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi yang mengambilnya sesuai dengan haknya dan melaksanakan apa yang menjadi tuntutannya” (Hadis riwayat Muslim).Saya juga berharap semua warga UPM memberikan sokongan padu dan komitmen yang tidak berbelah bagi untuk kita memacu UPM ke tahap yang lebih tinggi. Saya sentiasa terbuka kepada saranan dan pandangan untuk penambahbaikan.Gunalah pelbagai medium yang ada untuk menyatakan pandangan saudara-saudari termasuk e-mel dan face book saya.Ingatlah, apa yang kita rancang dan laksanakan ini adalah untuk kepentingan umah dan menunaikan amanah yang dipikul ke atas bahu kita semua. Semua staf mempunyai peranan penting sesuai dengan tugas dan tanggungjawab masing-masing.Kesatuan, perkongsian, kerjasama dan sokongan padu saudara-saudari amat diperlukan ibarat – Sedencing bagai besi, seciap bagai ayam, setukul bagai palu. Mudik sama mendudu, hilir sama menggenang. Ke hulu sama menongkah, ke hilir sama berhanyut. Bagaikan aur dengan tebing, bagaikan kuku dengan daging. Bagai mata putih dengan mata hitam, rosak putih binasa hitam, rosak hitam binasa putih. Bagaikan itik pulang petang, bagaikan semut pulang ke sarang.Akhir kata, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang terlibat untuk menjayakan majlis ini.Marilah kita berdoa semoga kita sentiasa diberi petunjuk dan kekuatan untuk menjalankan amanah yang diterima dengan sebaik mungkin.Semoga kerjasama antara warga UPM di semua peringkat terus mantap dan kukuh untuk membawa cabaran UPM ke kedudukan yang lebih tinggi di persada antarabangsa.Terima kasih. Wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.