suria

SPR Diminta Buka Kaunter Daftar Pengundi Di Kampus

MELAKA: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang memandang berat isu 3.7 juta rakyat yang masih belum mendaftar sebagai pengundi telah mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka kaunter pendaftaran pemilih secara tetap di semua kampus universiti.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali, juga meminta SPR menggunakan kenderaan bergerak ke kawasan kilang sebagai kaunter pendaftaran.

"SPR perlu memastikan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada jumlah tersebut didaftarkan sebagai pemilih sebelum pilihan raya umum berlangsung," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Perkasa Melaka di sini malam tadi.

Ibrahim berkata, beliau memandang serius masalah berkenaan dan telah mengarahkan semua ketua wira dan wira Perkasa di peringkat negeri dan daerah di seluruh Semenanjung Malaysia mengambil tindakan membantu anak muda yang telah berusia 21 tahun berdaftar sebagai pemilih.

Beliau juga menyarankan rakyat khususnya golongan muda supaya tidak memberikan sokongan kepada ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Masalahnya anak muda ini tidak kenal siapa Anwar sebenarnya dan kebetulan mereka terdedah dengan media baru yang hanya memaparkan kehebatan beliau sehingga terpengaruh dengan lakonan dan sandiwaranya," kata Ibrahim.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain