suria

Pelajar Tahun Akhir Program Pengajian Media UiTM Melaka Anjur Pameran Komunikasi Islam

ALOR GAJAH: Pelajar semester akhir dari Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, UiTM Melaka akan menganjurkan Pameran Komunikasi Islam (Islamic Communication Exhibition) pada Sabtu dan Ahad ini di Dataran Pahlawan, Melaka.

Dengan bertemakan; ‘Reviving The Spirit of Islam’, program ini membuka ruang kepada masyrakat untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang komunikasi dan Islam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dijadualkan hadir sebagai tetamu kehormat pada majlis tersebut sekaligus merasmikan program berkenaan pada jam 2 petang Sabtu.

Program dua hari itu akan bermula pada jam 10.30 pagi dan berakhir pada 10 malam.

Antara program yang diatur sepanjang pameran itu meliputi ceramah oleh pakar-pakar komunikasi dan pengamal seni Islam seperti Dr Mahadi J. Murad, Ashraf Muslim, Wardina Safiyyah dan ramai lagi.

Mereka akan membincangkan pelbagai topik berkenaan dengan isu semasa serta persembahan dari perspektif Islam.

Dalam pada itu, perkusi terkenal, Steve Thornton akan turut bergandingan dengan mahasiswa UiTM untuk memeriahkan lagi majlis ini.

Sebanyak 38 kiosk akan dipamerkan kepada pengunjung sepanjang pameran dua hari itu untuk mendedahkan kepada masyarakat tentang kajian-kajian yang dilakukan oleh pelajar komunikasi dan pengajian media sepanjang semester ini.

Program tersebut adalah sebahagian daripada keperluan bagi kerja kursus Projek Profesional (COM 363).

Kemuncak kepada pameran ini adalah pertunjukan fesyen Islamik pada malam terakhir iaitu Ahad 26 Februari yang turut dikendalikan oleh para pelajar UiTM.

Beberapa pereka fesyen tempatan akan mempamerkan rekaan eksklusif mereka.

Antara pereka fesyen yang akan turut serta pada malam tersebut ialah Sheila Mohamad, Sophiaton Alias, Etha Baharom, Butik Gee Cantik dan Butik Pengantin Wiwin.

Malam tersebut akan dimeriahkan dengan persembahan penyanyi terkemuka iaitu Nora dan Aishah.

Pameran Komunikasi Islam 2012 ini ditaja oleh Dataran Pahlawan, Prudential, Bank Rakyat, MyNewsHub dan pelbagai lagi.

Ia melibatkan penyertaan lebih 400 pelajar Program Diploma Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Melaka.

Artikel Lain