KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bersedia untuk mengkomersialkan hasil kajian rawatan air dari kilang sagu yang mendapat anugerah CEO terbaik dalam pertandingan ECOPRENEUR 2012 di Mongolia minggu lalu.Naib canselornya Prof Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid berkata melalui pengiktirafan tersebut, UNIMAS bersedia untuk bekerjasama dengan pihak industri terbabit dalam memastikan kualiti alam sekitar di Sarawak kekal bersih dan bebas daripada pencemaran. "UNIMAS sebenarnya telah banyak membuat kajian-kajian saintifik berkenaan langkah menjaga alam sekitar dan yang terbaru ialah hasil kajian rawatan air dari kilang sagu yang akan kita komersialkan untuk faedah industri sagu di Sarawak," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.Beliau berkata selain kajian rawatan air dari kilang sagu, Unimas juga akan melanjutkan kajian tersebut ke atas kilang sawit tentang kaedah terbaik merawat air kumbahan sebelum ia dilepaskan ke persekitaran semulajadi.Menurutnya, Unimas kini juga sedang dalam proses kajian untuk menghasilkan formula bagi mengatasi masalah tumpahan minyak di laut melalui kaedah mendapan ataupun menggunakan bakteria sebagaimana yang pernah dilakukan pada air tawar. Pada pertandingan ECOPRENEUR 2012 Mongolia bermula 16 Jun hingga 22 Jun lalu, Unimas yang diwakili pensyarah kanannya Dr Azham Zulkharnain menungguli pertandingan itu melalui anugerah "Best CEO Award' dengan ganjaran US$100,000 melalui projek yang mengetengahkan pelan perniagaan untuk perkhidmatan rawatan air kepada kilang pemprosesan sagu.Projek tersebut adalah kerjasama Fakulti Sains dan Teknologi Sumber serta Fakulti Ekonomi dan Perniagaan yang dianggotai oleh Prof Madya Dr Zainab Ngaini, Prof Madya Dr Nazlina Shaari, Nordiana Ahmad Nordin dan dua pelajar iaitu Mohd Ismail Salim dan Vanessa Lawai.Kajian tersebut mendapat dana daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. -BERNAMA