suria

USM Cipta Kit Diagnosis Artritis

GEORGE TOWN: Sekumpulan penyelidik dari Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia (USM) membangunkan kit diagnosis penyakit artritis, khusus untuk kegunaan saintis dalam mengkaji penyakit itu pada tikus eksperimen mereka.

Ketua Penyelidik, Dr Yam Mun Fee berkata rekaan itu menggunakan teknik "in vivo" dan menerusi kaedah berkenaan data mengenai tahap kesakitan artritis bahan spesimen dihubungkan terus pada meter penunjuk bacaan dan akan terpapar pada skrin komputer secara automatik.

"Ia memudahkan proses analisis dan dapat mengesan bahagian anggota badan spesimen yang terkena jangkitan artritis dengan lebih tepat tanpa mengorbankan lebih banyak haiwan eksperimen," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima anugerah Saintis Muda Altech 2012 daripada Pengurus Besar Altech Malaysia, Loo Chia Chen di kampus USM, dekat sini.

Dr Yam berkata, kit itu juga berperanan mengkaji tindak balas spesimen terhadap ubat-ubatan yang digunakan saintis untuk merawat artritis dan keberkesanan kaedah perawatan berkenaan.

Beliau berkata, kit seumpamanya yang berada dalam pasaran sekarang hanya mempunyai fungsi diagnosis penyakit dan harganya 10 kali ganda lebih mahal berbanding ciptaannya yang hanya menelan kos RM20,000.

Hasil cetusan ideanya yang mengambil masa empat tahun untuk disiapkan itu, Dr Yam memenangi tempat pertama bagi kategori Asia Pasifik setelah bersaing dengan 6,900 peserta lain.

Beliau menerima wang tunai US$1,000, trofi dan sijil penyertaan.

Sementara itu, Loo berkata pertandingan itu bertujuan menggalakkan penyelidikan yang boleh membantu meningkatkan mutu kehidupan haiwan di seluruh dunia.

"Ia adalah program tahunan syarikat kami sejak 2006 dan kepada yang berminat menyertainya pada tahun depan boleh melayari laman sesawang www.altechyoungscientist.com . Tarikh tutup penyertaan adalah 31 Disember 2012," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain