KUALA LUMPUR: Sikap hormat menghormati perlu ditanam dalam diri setiap mahasiswa supaya mereka tidak bertindak biadap, kata tokoh pendidikan Tan Sri Arshad Ayub.Arshad, yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya (UM) berkata hormat ialah satu perkara penting yang perlu dihayati setiap mahasiswa baharu supaya UM dapat melahirkan mahasiswa berkualiti."Perkara paling penting dalam hidup ialah menghormati, kehormatan (dan) jangan biadap. Jangan sekali-kali, sebab itu (biadap) tiada dalam ajaran agama dan bangsa kita. "Kita mesti hormat bendera kita, pemimpin kita, anda boleh berbeza pendapat dengan mereka tetapi anda mesti ingat hormat menghormati adalah perkara paling penting dalam kehidupan," katanya pada perasmian Minggu Haluan Siswa dan Lafaz Ikrar Aku Janji Penuntut Baru UM di sini, Selasa.Hadir sama Naib Canselor UM Tan Sri Dr Ghauth Jasmon yang turut menyaksikan bacaan lafaz ikrar aku janji lebih 3,330 penuntut baru UM diketuai penuntut Tahun Pertama Fakulti Sastera dan Sains Sosial Mohamad Zulkarnain Kamisan, 20, di Dewan Tunku Canselor, universiti itu di sini.Arshad, yang juga Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata di samping pengajian di bilik kuliah, UM turut memberi ruang penuntutnya melibatkan diri dalam kokurikulum seperti bersukan, debat dan berpolitik, bagaimanapun ia perlu mengikut peraturan yang digariskan."Selagi masih ada undang-undang dan peraturan, kita mesti mematuhinya. Jika anda melanggar undang-undang dan peraturan, anda mesti menerima hukumannya. Kembang jarak kembang jagung, kalau berani berarak berani tanggung, jangan kita lupa itu," katanya.Arshad turut mengingatkan mahasiswa kini supaya menghayati nilai teras UM iaitu integriti, hormat, kebebasan akademik, berfikiran terbuka, kebertangunggjawaban, profesionalisme, meritokrasi, semangat kerja berpasukan, kreativiti dan tangunggjawab sosial.Pada sambutan ambang merdeka di Dataran Merdeka di sini 30 Ogos lepas, beberapa individu yang dipercayai perserta Himpunan Janji Bersih bertindak memijak dan menunjuk punggung ke atas gambar pemimpin negara serta membawa bendera 'Sang Saka Malaya' dan bukan bendera Jalur Gemilang.Pada Selasa, seorang pelajar lelaki sebuah kolej swasta di Cheras di sini ditahan untuk siasatan berhubung insiden menunjuk punggung ke atas gambar pemimpin negara pada perhimpunan itu. -BERNAMA