suria

UMP Meterai MoU Dengan Hexagon Green Dalam Projek Agroteknologi & Bioteknologi

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan syarikat Hexagon Green Sdn Bhd pada Jumaat menandatangani memorandum persefahaman (MoU)dalam usaha meningkatkan pengkomersilan produk-produk penyelidikan universiti dalam bidang agroteknologi dan bioteknologi.

Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Industri UMP, Prof Dr Mashitah Yusof yang menyaksikan pemeteraian perjanjian itu berkata projek kerjasama itu bakal meningkatkan produktiviti sayur-sayuran dan tumbuh-tumbuhan hiasan untuk pasaran dalam dan luar negara.

"Kerjasama ini adalah selaras dengan inisiatif kerajaan negeri Pahang yang mahu meningkatkan pengeluaran sayur-sayuran dan tumbuhan hiasan di negeri ini terutama kawasan Cameron Highlands," katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut yang diadakan sempena Perasmian Karnival Sains dan Teknologi (EZ-SCIMAT) 2012 di sini, Jumaat.

Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim mewakili UMP manakala Hexagon Green, syarikat yang memfokuskan bidang agroteknologi dan bioteknologi, diwakili Pengarahnya, Dr Mohd Yusof Husin.

Turut hadir, Setiausaha Bahagian Inovasi dan Pengkomersilan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datin Norwahidah Wong Abdullah.

Pada majlis itu juga UMP turut memeterai MoU dengan HEJ Research Institute of Chemistry International Center For Chemical And Biological Sciences (ICCBS) University Of Karachi bagi kerjasama dalam bidang kejuruteraan sains.

"Menerusi MoU dengan institut tersebut, kedua-dua pihak akan berkongsi kepakaran, kakitangan serta bekerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan dalam bidang kejuruteraan sains," katanya.

ICCBS yang diwakili oleh Pengarahnya, Prof Dr M Iqbal Chaoudary, adalah sebuah pusat penyelidikan kimia bagi kimia semula jadi, protein kimia, farmakologi, kimia perubatan dan juga bioteknologi pertumbuhan.

Terdahulu Norwahidah dalam ucapan perasmian berkata penganjuran karnival itu bertepatan dengan konsep Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional 2012 dalam usaha menyemarakkan pembudayaan sains dan inovasi dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya golongan belia.

"Karnival ini bermatlamat untuk menyedarkan masyarakat Malaysia mengenai kepentingan sains, matematik dan teknologi sekaligus dapat membudayakannya sebagai amalan harian," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain